Pemimpin Filipina, Malaysia bincang usaha damai di Laut China Selatan, Myanmar
2023.03.01
Manila, Filipina

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau membincangkan mengenai pertikaian di Laut China Selatan dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. di Manila pada Rabu, dan mereka memilih pendekatan pelbagai hala dalam usaha mencapai resolusi bersama.
Kuala Lumpur dan Manila mempunyai tuntutan bertindih di kawasan yang turut dituntut Beijing di perairan yang menjadi pertikaian itu selain terpaksa berhadapan dengan pencerobohan berleluasa China di zon ekonomi eksklusif negara mereka.
“Sebagai negara berjiran di Asia Tenggara, Malaysia dan Filipina mengakui perlunya menjaga keamanan dan keselamatan rantau itu,” kata Marcos berkata dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan Anwar, yang kini dalam rangka lawatan pertamanya ke negara itu sebagai Perdana Menteri.
Anwar tiba di ibu negara Filipina itu pada tengah hari sebelum diberikan sambutan permaidani merah semasa kunjungan hormatnya ke atas Marcos di Istana Presiden.
Oleh itu, kami bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam hal ehwal politik dan keselamatan, menggerakkan semula mesyuarat suruhanjaya dan inisiatif bersama untuk memerangi jenayah dan keganasan rentas negara,” kata Marcos.
Anwar kemudiannya memberitahu pemberita bahawa beliau dan Marcos bersetuju bahawa negara lain dalam blok serantau, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang turut menuntut kawasan di Laut China Selatan, perlu mengambil bahagian dalam rundingan penyelesaian pertikaian dengan China.
“Seperti mana Presiden Marcos, saya juga khuatir dengan isu kerumitan dan sensitiviti di mana kita harus mencuba dan melibatkan diri selain mengambil pendirian di pelbagai hala antara ASEAN supaya kita mempunyai pendekatan yang komprehensif dan dapat mencapai resolusi yang baik bagi mengatasi masalah luar biasa ini,” katanya kepada pemberita.
Negara anggota ASEAN iaitu Brunei dan Vietnam mempunyai tuntutan terhadap perairan itu, yang turut bertindih dengan China. Walaupun Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam pertikaian itu, Beijing bagaimanapun menuntut hak bersejarah ke atas bahagian laut yang bertindih di perairan zon ekonomi eksklusif Indonesia.
'20,000 pelarian' di Malaysia
Marcos dan Anwar turut menyatakan tentang perlunya meningkatkan usaha untuk membawa keamanan di Myanmar, satu lagi negara anggota ASEAN.
"ASEAN menjadi paksi dalam pandangan serantau kita," kata Marcos. “Oleh itu, kami telah memutuskan untuk menyokong inisiatif-inisiatif pembangunan dan pembentukan damai dalam badan serantau ini termasuk pentingnya mencapai penyelesaian bagi situasi di Myanmar.”
Tentera Myanmar menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat pada 1 Februari 2021, dan memenjarakan mereka yang menentangnya termasuk Aung San Suu Kyi, yang pernah menerajui kerajaan, dan menyerang serta membunuh anggota kumpulan pembangkang. Junta telah mengingkari konsensus lima perkara yang dirangka sebagai pelan tindakan untuk mengembalikan keamanan dan demokrasi, yang disepakati pemimpin ASEAN dua bulan selepas rampasan kuasa itu.
Sidang kemuncak pada November, Marcos menyeru supaya mengadakan penglibatan langsung dengan junta Myanmar walaupun beliau menyatakan bahawa badan serantau itu berpegang kepada dasar tidak campur tangan dan pencapaian konsensus. Malaysia, sebaliknya, berkata bahawa persatuan 10 negara itu harus merangka satu pelan baharu yang turut melibatkan mekanisme penguatkuasaan.
Anwar menyatakan bahawa pergolakan di Myanmar telah memberi kesan buruk kepada negaranya, “kerana sejumlah besar pelarian yang melebihi 200,000 orang, kini berada di Malaysia.
“Presiden, dalam kebijaksanaan beliau, telah mengulangi tentang perlunya konsensus lima perkara ini tetapi saya mahu menyarankan supaya menggunakan pengalaman dan kebijaksanaannya untuk meneroka kaedah baharu dengan mencari cara untuk memujuk junta Myanmar supaya berusaha dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam ASEAN dan menyelesaikan isu tertangguh yang tidak boleh dianggap sebagai isu dalaman semata-mata kerana ia menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mengakui perlunya usaha berterusan dilakukan bagi membawa kedamaian di pulau Mindanao yang terletak di selatan Filipina, di mana Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk perjanjian damai yang menamatkan pemberontakan penduduk Islam selama beberapa dekad dan membawa kepada penubuhan wilayah autonomi.
“Kami mengiktiraf sumbangan besar Malaysia kepada proses damai di selatan Filipina dan kami berharap sokongan yang mereka tunjukkan sejak beberapa tahun lalu akan berterusan dan terus menyumbang kepada kejayaan proses damai dan penubuhan Wilayah Autonomi Bangsamoro,” kata Marcos.
Anwar berjanji bahawa negaranya akan terus membantu rakyat Bangsamoro melalui apa yang dipanggilnya “program pembentukan kapasiti.”
Sebelum berlepas pulang pada Khamis, Anwar dijadualkan meletak kalungan bunga di pusara wira Filipina, Jose Rizal, dan menghadiri satu syarahan umum di Universiti Filipina yang dikendalikan kerajaan.
Jojo Riñoza dan Basilio Sepe di Manila, Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.