Anwar Gagal Dalam Usaha Untuk Ketepikan Sabitan Hukuman Penjara
2016.12.14
Putrajaya

Bekas ketua pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim gagal dalam usaha terakhirnya untuk menggunakan saluran mahkamah bagi mendapatkan semakan kehakiman bagi mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun keatasnya apabila Mahkamah Persekutuan pada Rabu menolak permohonannya itu.
Dengan keputusan mahkamah ini, saluran terakhir bagi Anwar melalui mahkamah tamat, dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu hanya mempunyai pilihan memfailkan permohonan kepada Lembaga Pengampunan.
Keputusan sebulat suara lima panel hakim pada Rabu yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya, Zulkefli Ahmad Makinudin mendapati permohonan Anwar agar sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan disemak semula, tidak mempunyai merit.
“Ini bukannya kes yang sempurna dan layak bagi mahkamah untuk menggunakan bidang kuasanya untuk mengeluarkan sebarang perintah agar kes ini disemak semula” kata Zulkefli dalam keputusannya setebal 60 muka suratnya itu.
Hakim itu turut membacakan Artikel 128 Perlembagaan Persekutuan yang tidak memberi kuasa kepada mahkamah untuk membuat semakan atau keputusan yang pernah dibuat sebelum ini di dalam kes tersebut.
Empat hakim lain dalam panel itu adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Richard Malanjum, Hasan Lah, Abu Samah Nordin dan Zaharah Ibrahim.
Keputusan itu bermakna Anwar terpaksa menjalani hukuman penjara, yang masih berbaki 16 bulan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Sehingga kini, Anwar telahpun menjalani hukuman 22 bulan, sejak Feb tahun lepas dan dijangka berakhir menjelang tahun 2020.
Sekiranya permohonan semakan semula itu berjaya, Anwar boleh dibebaskan daripada penjara kerana tidak akan ada lagi sabitan dan beliau layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang perlu diadakan tidak lewat daripada Jun 2018.
Anwar, yang sebelum ini seorang tokoh yang berpengaruh dalam parti yang memerintah, UMNO, merupakan ancaman terbesar kepada Perdana Menteri Najib Razak dan parti perikatannya Barisan Nasional (BN), setelah memimpin pakatan pembangkang yang terdiri daripada tiga parti yang menang besar dalam pilihan raya 2013.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar, 68, daripada tuduhan meliwat.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mensabitkan Anwar setelah membenarkan rayuan pihak pendakwa.
Semasa sidang mahkamah hari ini, Ahmad Kamal Md Shahid, pendakwaraya kanan telah mengetuai pasukan pendakwaan dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Zhafran Rahim Hamzah.
Manakala Anwar pula, diwakili peguam Gopal Sri Ram, Sangeet Kaur Deo, N Surendran, Latheefa Koya, R. Sivarasa, J.Leela dan Shahid Adli Kamaruddin.
Panel hakim itu telah mendengar hujah permohonan Anwar pada 12 Oktober lalu sebagai usaha akhir mengikut saluran perundangan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara keatasnya.
Saksi boleh dipercayai
Anwar memfailkan permohonan semakan agar Mahkamah Persekutuan mengguna pakai Aturan 137, Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Arifin Zakaria.
Pada 10 Feb tahun lepas, panel lima hakim menolak rayuan Anwar agar dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara di mana Ariffin berkata mahkamah mendapati Saiful ialah saksi yang boleh dipercayai.
Sebelum itu, Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun keatas Anwar setelah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya.
Pada 9 Jan 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu dan berkata mahkamah tidak boleh seratus peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Saiful kerana sampel itu mungkin telah dikompromi.
Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Keputusan mahkamah bukan pengakhiran
Ramai penyokong Anwar berhimpun di luar mahkamah sebelum keputusan mahkamah dikeluarkan hari ini. Isteri, anak-anak dan cucu beliau turut hadir di mahkamah.
Anwar yang ditemui wartawan sebelum dibawa keluar dari mahkamah menegaskan bahawa keputusan pada Rabu itu bukan pengakhiran kepada kesnya dan beliau akan membincangkan tindakan selanjutnya.
“Saya akan membuat pengumuman dalam tempoh dua hari. Saya menyedari bahawa ini merupakan perjalanan yang jauh untuk mengecapi kebebasan,’’ katanya sebelum dibawa pergi oleh pegawai-pegawai penjara pada Rabu.
Isteri Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat Wan Azizah Wan Ismail kelihatan sedih dengan keputusan itu dan enggan memberi komen berhubung keputusan itu ketika didekati pemberita di lobi mahkamah.
Bagaimanapun, Wan Azizah menyampaikan ucapan ringkas kepada penyokong-penyokong Anwar di luar Istana Kehakiman dengan meminta mereka untuk terus berjuang.
“Saya lihat sokongan terus diberikan kepada perjuangan sehingga kini dan ini telah membantu saya untuk menguatkan semangat untuk terus berjuang,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peguam Anwar, N Surendran berkata barisan peguam akan meneliti butiran penghakiman sebelum mengumumkan tindakan susulan dalam masa terdekat.
“Kita akan menyemak semula dan mengkaji butiran penghakiman sebelum mengumumkan tindakan selanjutnya secepat mungkin. Anwar tidak dapat menerima keputusan ini, keluarganya juga tidak dapat terima,” katanya sambil memberitahu pihaknya masih belum menerima salinan penghakiman.
Menyentuh mengenai persoalan permohonan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Surendran menjelaskan ia satu perkara lain yang akan dilakukan kemudian.
Menurut laporan MalaysiaKini, Anwar telah menggunakan segala peluang untuk mencabar sabitan dan hukuman terhadapnya.
Pada 24 Feb 2015, Wan Azizah serta dua anaknya Nurul Izzah dan Nurul Nuha telah menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong terdahulu iaitu Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan tersebut, namun, ia telah ditolak dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac tahun yang sama.
Keputusan mahkamah tersebut "benar-benar satu tragedi terhadap keadilan", kata Phil Robertson, timbalan pengarah kawasan Asia kumpulan hak asasi berpangkalan di New York, Human Rights Watch.
Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan ringkas kepada penyokong Anwar Ibrahim selepas keputusan mahkamah, 14 Dis. 2016 [Hata Wahari/BeritaBenar].