Anwar Ibrahim Fail Saman Minta Dibebaskan Atas Kesalahan Meliwat

Hata Wahari
2017.04.17
Kuala Lumpur
170417-MY-anwar-620.jpg Presiden Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan satu salinan saman yang difailkan bagi pihak suaminya, Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 17 April, 2017.
[HataWahari/BeritaBenar]

Ketua Pembangkang de fakto, Anwar Ibrahim, pada Isnin memfailkan saman baru dengan mendakwa bukti yang ada pada kerajaan Malaysia adalah palsu, di dalam usahanya untuk membebaskan diri daripada hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat.

Saman itu mendakwa Anwar telah disabitkan dengan tuduhan yang berasaskan kepada sumpah bohong oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, iaitu saksi utama, yang terlibat dalam kes kesalahan meliwat tersebut.

Peguam beliau memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

"Saiful memberi keterangan berdasarkan sumpah bohong yang diketahui oleh defendan sebagai palsu," demikian menurut saman tersebut.

"Defendan mereka keterangan palsu dalam bentuk sampel DNA dan menggunakannya untuk menyokong bukti sumpah bohong Saiful."

Pada Disember 2016, Anwar, 69, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk dibebaskan dari penjara selepas Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia, menolak permohonannya untuk menyemak semula sabitan tuduhan oleh Mahkamah Rayuan.

Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2012 tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya pada 2014.

Pada Januari lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan Anwar untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap tindakan Lembaga Pengampunan yang menolak permohonannya pada Mac 2015.

Melainkan Anwar mendapat pengampunan, bekas ketua pembangkang itu tidak boleh mencabar Najib dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada pertengahan 2018 kerana undang-undang Malaysia membatalkan kelayakan seseorang yang telah disabit kesalahan oleh Mahkamah, untuk bertanding.

Dalam tuntutan mahkamah yang dibuat Anwar pada Isnin menyatakan, kerajaan Malaysia secara sengaja menipu dan membawa pembantu beliau sebagai saksi utama dalam pendakwaan walaupun mempunyai bukti yang pembantunya itu tidak boleh dipercayai.

Kerana penipuan yang didakwa Saiful, tuntutan mahkamah menyatakan, penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah tidak sah dan mesti diketepikan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan 1950.

Peguam Anwar berkata, fakta-fakta baru akan dikemukakan semasa pendengaran kes tuntutan itu.

"Anwar tidak bersalah. Kami akan membuktikan dia tidak bersalah di mahkamah," kata peguam N. Surendran, sambil menambah dia telah memfailkan sijil perakuan segera selaras dengan tuntutan mahkamah berkenaan.

Isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, dan anak perempuan Nurul Nuha bersama-sama dengan Surendran berada di mahkamah ketika saman itu dikemukakan.

“Walaupun sehari di dalam penjara merupakan hukuman yang sangat kejam, terutama bagi seseorang yang tidak bersalah," kata Wan Azizah, yang juga adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat yang diasaskan oleh suaminya.

Anwar dibebaskan pada 2004 daripada tuduhan meliwat yang difailkan pada tahun 1998. Beliau mendakwa bahawa beliau telah diperangkap oleh parti UMNO yang diketuai pada masa itu oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Para pemimpin kerajaan dan parti UMNO telah menafikan dakwaan Anwar itu.

Mahathir telah meninggalkan UMNO, dan bekas perdana menteri itu telah menyertai Anwar, mengkritik Perdana Menteri Najib Razak.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.