Mahkamah Persekutuan Tangguh Keputusan Semakan Anwar

Hata Wahari
2016.10.12
Putrajaya
16102-MY-ANWAR-620.jpg Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberi ucapan, selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menangguhkan keputusan semakan bapanya di Putrajaya, 12 Oktober 2016.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Mahkamah Persekutuan pada Rabu menangguhkan keputusan semakan yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam usaha terakhirnya menggunakan saluran perundangan dalam mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara lima tahun terhadap kes liwat yang membabitkan pembantu khas beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan, ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya, Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan keputusan berkenaan selepas selesai mendengar hujah yang dikemukakan peguam utama Anwar, Gopal Sri Ram, dan hujahan balas oleh pendakwa raya Ahmad Kamal Md Shahid.

Panel lima hakim terdiri daripada Zulkefli turut dianggotai oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Richard Malanjum, Hasan Lah, Abu Samah Nordin dan Zaharah Ibrahim.

Mahkamah berkenaan dalam penghakimannya, mengemukakan 20 alasan untuk menolak rayuan Anwar, antaranya isu kredibiliti Saiful Bukhari, cabaran perayu terhadap kesahihan DNA, teori konspirasi dan saksi pembelaan yang tidak berwibawa.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara, kini menjalani hukumannya di Penjara Sungai Buloh sejak 20 bulan lepas.

Bekas ketua pembangkang itu  telah membuat permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan hukuman bersalah dan penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya.

Prosiding semakan dikemukakan Anwar mengikut Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 diteruskan.

Aturan 137 membenarkan pihak yang kalah perbicaraan memohon Mahkamah Persekutuan membuat semakan semula terhadap keputusan sekiranya terdapat bukti-bukti baharu yang kukuh untuk menyokong fakta kes.

Anwar diwakili peguam, Gopal , N Surendran, R Sivarasa, Sangeet Kaur Deo, J. Leela dan Latheefa Koya semasa prosiding semakan sehari oleh Mahkamah Persekutuan itu.

Pasukan pendakwa raya pula diwakili Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Kanan, Ahmad Kamal, Timbalan Ketua Bahagian Rayuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, dan tiga  orang pendakwa raya iaitu Wan Shaharuddin Wan Ladin, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Zhafran Rahim Hamzah.

Ia juga merupakan rayuan terakhir Anwar supaya dibebaskan daripada tuduhan terbabit selepas Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat pada 16 Mac tahun lalu, menolak petisyen pengampunan Anwar dan menyatakan hukuman penjara lima tahun terhadapnya perlu diteruskan.

Semasa prosiding hari ini, barisan peguam Anwar turut meminta lima panel hakim yang mendengar semakan terhadap anak guam mereka supaya menarik diri dari mendengar kes berkenaan memandangkan panel hakim yang sama telah mendengar permohonan Anwar untuk memanggil bekas Ketua Jabatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia, Ramli Yusuf sebagai saksi pada 23 Mei lepas.

Ketua Hakim Malaya itu bagaimanapun, menolak permohonan tersebut dengan alasan ianya tidak mempunyai merit sambil menegaskan bahawa mereka tidak akan menarik diri dan tidak mungkin mereka akan berat sebelah kepada Anwar.

"Kami akan memastikan bahawa pemohon (Anwar) akan memperoleh pembicaraan yang adil berdasarkan bukti yang ada," kata Hakim Zulkefli.

Sementara itu, Mahkamah yang bersidang juga diberitahu bahawa tiada campur tangan oleh Pejabat Perdana Menteri berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar.

Ahmad Kamal yang mengetuai pasukan pendakwaraya memberitahu Mahkamah Persekutuan  hari ini bahawa PMO langsung tidak mengetahui hasil keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun lepas.

Sebelum itu, Gopal mengemukakan hujah bahawa kenyataan PMO yang dikeluarkan dalam tempoh 15 minit selepas keputusan mahkamah disampaikan menunjukkan adanya konspirasi politik terhadap anak guamnya selain PMO mempunyai kepentingan peribadi dalam kes itu.

Gopal berkata, bukan amalan PMO untuk mengeluarkan kenyataan media atau komen dalam kes jenayah.

Anwar, 69, pada mulanya dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun, pada 7 Mac 2014.

Keputusan keluar Januari depan

Dalam pada itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan Ketua Pembangkang serta isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail semasa ditemui BeritaBenar memberitahu, penghujahan yang dibuat oleh pendakwa raya lebih bersifat teknikal tanpa memberikan pengesahan sahih berhubung kenyataannya.

“Keputusan bertulis semakan semula kehakiman itu hanya akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan dengan tarikh akhirnya pada 11 Januari tahun depan. Panel hakim hari ini tidak boleh membuat keputusan segera berhubung kes Anwar,” katanya.

Beliau berkata, penghujahan yang dibuat oleh barisan peguam perayu telah membuktikan melebihi keraguan munasabah bahawa Anwar tidak melakukan perbuatan liwat tersebut dan merupakan sesuatu yang sengaja diadakan.

Perkara yang sama dibangkitkan oleh anak sulung Anwar yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah semasa memberi penjelasan kepada penyokong mereka yang berkumpul di hadapan perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya itu, dengan menyatakan bahawa pendakwaan dan sabitan kes keatas bekas Ketua Pembangkang itu disifatkan tidak masuk akal dan wujudnya keraguan melampau.

“Ia jelas bermotifkan politik apabila hakim menggunakan keputusan sabitan terdahulu untuk menghakimi Anwar, sedangkan keputusan tersebut langsung tiada kaitannya, jelas proses keadilan itu telah dicemari yang akhirnya menyebabkan beliau dipenjarakan,” katanya.

Nurul Izzah turut melancarkan petisyen dalam talian di www.freeanwarnow.com bagi ayahnya untuk menerima pengampunan DiRaja oleh Yang di-Pertuan Agong sambil menyeru orang ramai supaya menandatangani petisyen itu.

“Kita perlu memastikan bila waktu itu akan tiba, kita boleh menghantar petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pekenannya bagi memaafkan Anwar,” katanya.

Wan Azizah yang turut berucap dihadapan penyokong bekas timbalan perdana menteri itu menegaskan, Anwar telah menyeru kepada penyokongnya supaya meneruskan perjuangan untuk mengubah kerajaan yang ada sekarang.

“Anwar menyampaikan pesan … soalan sama ada Anwar hendak bertanding atau tidak, tak penting, yang penting ialah tukar kerajaan yang menindas kita, kira perlu menegakkan keadilan dalam negara ini,

“Tidak penting untuk bertanding pada pilihan raya akan datang,  tidak penting bagi Anwar menjadi perdana menteri,  tidak penting untuk mendapatkan habuan ataupun jawatan, yang penting negara kita dapat diselamatkan”’ kata Wan Azizah semasa berucap dihadapan lebih 1,000 penyokong yang datang dari beberapa negeri yang membanjiri perkarangan Istana Kehakiman itu.

Sementara itu, penyokong  Mohd Saiful pula berkumpul di sudut berlainan di Istana Kehakiman itu, untuk menunjukkan sokongan mereka kepada mangsa liwat Anwar dengan membawa slogan “Mati Anwar”, “Mati PKR” dengan memegang sepanduk yang melaungkan, “Keadilan untuk Saiful”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.