PRU15: Anwar Ibrahim sahkan bertanding Parlimen Tambun
2022.10.21
Kuala Lumpur

Anwar Ibrahim, pengerusi gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), pada Jumaat mengesahkan yang beliau akan bertanding kerusi Parlimen Tambun semasa Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-15 (PRU15) – kawasan yang tidak pernah menjadi tempat tinggalnya sebelum ini, dengan para penganalisis melihat tindakan itu sebagai satu langkah strategik mengalahkan UMNO dan Bersatu di kubu kuat mereka.
Ketua Pembangkang itu juga telah dipilih secara rasmi sebagai calon Perdana Menteri, sekiranya menang dalam PRU-15 yang dijadualkan pada 19 November depan.
Anwar yang kini adalah Ahli Parlimen Port Dickson dan sebelum ini pernah berkhidmar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak beberapa dekad lalu berkata bahawa keputusan untuk bertanding di Tambun itu adalah kerana beliau tidak mahu menjadi seorang pemimpin yang hanya bertanding di kerusi yang mudah dimenangi.
"Apa khabar Tambun? Alhamdulillah, saya telah mengumumkan sebentar tadi bahawa saya akan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 mewakili Harapan.
"Kita akan bekerja kuat dan pastikan Harapan akan menawan Putrajaya sekaligus merampas negeri Perak!," kata Anwar dalam satu muatnaik di Facebook pada awal pagi Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas berakhirnya Konvensyen Pakatan Harapan di Perak, satu majlis yang melihat pimpinan gabungan terbesar pembangkang tersebut berkumpul untuk bermesyuarat sebelum menghadapi PRU15 yang akan bermula pada 5 November depan.
Pengumuman Anwar sekaligus menamatkan persoalan sama ada Ahli Parlimen Port Dickson itu akan mempertahankan kerusinya atau beralih ke kawasan lain dalam pilihan raya berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, Anwar dalam ucapannya di majlis tersebut berkata dia mahu menunjukkan bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil untuk menang di kerusi sukar.
"Saya mengaku bahawa ia adalah sukar. Saya mengaku bahawa ia (Perak) bukanlah gelanggang kami yang biasa. Tetapi saya datang dengan keyakinan untuk merampas Tambun dan Perak.
"Walaupun terdapat beberapa nama besar di Perak, saya bersedia untuk menunjukkan bahawa ia tidak mustahil," kata Anwar, seperti dipetik oleh portal berita The Vibes.
Parlimen P63 Tambun sebelum ini merupakan kerusi tradisi UMNO dan Barisan Nasional sebelum ia dirampas oleh parti Bersatu pimpinan Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018. Ia menyaksikan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mengalahkan penyandang Ahmad Husni Hanadzlah dari parti UMNO.
Susulan daripada pengumuman Anwar, Ahmad Faizal, yang merupakan Menteri Belia Dan Sukan, telah membuat sebuah video pendek berbaur sarkastik mengalu-alukan kehadiran mereka yang ingin mencabarnya di Tambun.
Dalam ucapan ringkas yang dilihat ditujukan kepada Anwar, beliau mengatakan bahawa "bagi mereka yang hendak berhijrah dan datang ke Tambun, saya hendak sebut sikit, di Tambun kita sebut 'ayor' bukan 'ayaq'. Dengar betul-betul. Selamat datang".
Tindakan berani
Sementara itu, penganalisis politik menyifatkan langkah Anwar itu sebagai tindakan berani kerana bertanding di kawasan di luar kebiasaannya dan parti beliau.
"Anwar mengambil risiko dengan keputusannya untuk bertanding di Tambun. Bagaimanapun, ia membawa mesej jelas bahawa Anwar tidak takut untuk berlawan di kawasan yang tidak biasa untuknya, dan bahawa beliau melawan pengkhianat yang terbabit dalam Langkah Sheraton," kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Profesor sains politik itu berkata walaupun Faizal adalah penyandang kerusi Tambun, Anwar mempunyai kekuatan dari segi "reputasinya dan karisma".
Tambah beliau, perlawanan di kerusi Tambun itu juga akan menunjukkan sama ada kemenangan Bersatu di kerusi tersebut pada 2018 adalah disebabkan kekuatan parti itu sendiri, atau kerana dibantu parti rakan yang lain semasa ia masih berada dalam gabungan Pakatan Harapan.
"Secara permukaannya, ia kelihatan seperti langkah hebat kerana Anwar cuba menonjolkan Tambun sebagai kerusi yang bukan kerusi selamat. Bagaimanapun, dari perspektif saya, ia sebenarnya adalah selamat bukan sahaja buat Anwar malah mana-mana calon Pakatan Harapan,” kata Azmi Hassan, felo kanan Akademi Nusantara mengenai keputusan Anwar beralih ke kerusi yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO.
Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa Tambun sebenarnya adalah kerusi yang selamat untuk ketua pembangkang itu memandangkan ia adalah kawasan majoriti pengundi Melayu dan undi kumpulan berkenaan kini berpecah antara tiga parti.
"Walaupun 65 peratus daripada pengundi di situ adalah berbangsa Melayu, tetapi undi mereka kini berpecah kepada tiga iaitu Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, dan saya percaya baki 35 peratus pengundi bukan Melayu pula akan memberikan undi mereka kepada mana-mana calon yang diletakkan Pakatan Harapan," kata beliau kepada BenarNews.
Bersedia temui Mahathir
Dalam perkembangan lain, Anwar pada Jumaat menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mengetuai Gerakan Tanah Air - satu lagi gabungan parti pembangkang yang menjadi lawan Pakatan Harapan.
Kenyataan itu dibuat selepas Mahathir dilaporkan sanggup mengenepikan isu lama antara mereka untuk melawan Barisan Nasional bagi menyelamatkan negara, seperti apa yang pernah dilakukan sebelum ini untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-enam yang kini sedang dipenjarakan atas kesalahan rasuah.
"Tak ada masalah, boleh jumpa boleh bincang. Tetapi selalu saya tekankan, yang penting, mengapa kita nak lawan BN, PN.
"Dasarnya, kita tolak rasuah, soal tata kelola baik, tolak perkauman yang melampau. Kalau isu isu itu saya tiada masalah,” katanya seperti dipetik portal berita Malaysiakini.
Mahathir sebelum itu dilaporkan memberitahu wartawan bahawa beliau sedia memulakan langkah untuk berdamai dengan Anwar.
"Saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan," kata Mahathir yang berusia 97 tahun itu.