PRU15 mungkin peluang terakhir Anwar Ibrahim jadi PM Malaysia - Penganalisis

Sekiranya kalah, Pakatan Harapan akan mencari muka baharu untuk menjadi pemimpin dan calon PM pada masa akan datang.
Iskandar Zulkarnain & Iman Muttaqin Yusof
2022.11.04
Kuala Lumpur
PRU15 mungkin peluang terakhir Anwar Ibrahim jadi PM Malaysia - Penganalisis Ketua Pembangkan Anwar Ibrahim semasa berucap pada satu majlis pengumuman calon pilihan raya daripada Parti Keadilan Rakyat di Taman Kosas, Ampang, Selangor, 28 Oktober, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Rakyat Malaysia berseloroh bahawa Anwar Ibrahim, ketua blok pembangkang utama, sentiasa menjadi pengapit namun tidak pernah menjadi pengantin. Ini kerana beliau telah menghabiskan masa berdekad lamanya dalam penantian untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Pilihan raya umum bulan ini mungkin peluang terakhir Anwar untuk menyandang jawatan tertinggi negara itu, kerana parti komponen dalam PH akan mencari pemimpin baharu jika beliau kalah, kata penganalisis. Apatah lagi reformis berusia 75 tahun itu agak sukar meraih undi orang Melayu konservatif bagi menyokong gabungan politik pelbagai kaumnya, tambah mereka.

“Saya rasa peluangnya semakin mengecil,” kata Tunku Mohar Mokhtar, seorang profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

“Jika beliau gagal kali ini, sukar baginya untuk mendapat peluang sebegini lagi. Mungkin laungan beliau ke arah reformasi tidak lagi meyakinkan generasi pasca-Reformasi,” kata Tunku Mohar yang merujuk kepada protes Anwar di seluruh negara pada penghujung tahun 1990-an.

“Jika kesihatan beliau mengizinkan dan gabungan politiknya mampu memenangi pilihan raya umum akan datang, para penyokongnya mungkin masih berkeras mahukan Anwar semula sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, jika beliau gagal kali ini, gabungan itu mungkin menjauhkan diri daripadanya,” kata Tunku Mohar, merujuk kepada Pakatan Harapan yang diterajui Anwar bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Azmi Hassan, seorang felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, bersetuju bahawa masa depan Anwar sebagai Perdana Menteri bergantung kepada sama ada beliau mampu meraih kemenangan pada pilihan raya umum 19 Nov ini.

"Jika Pakatan Harapan mengalami kekalahan besar pada pilihan raya akan datang, ia mungkin pilihan raya terakhir Anwar Ibrahim dan hasrat beliau untuk menjadi Perdana Menteri harus dikuburkan pada saat itu," katanya.

Anwar menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak 1993 di bawah mentornya Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri ketika itu, dan pernah dianggap bakal menggantikan beliau sebagai pemimpin Malaysia.

Bagaimanapun, hubungan mereka semakin merosot sehingga Mahathir memecat anak didiknya itu daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Anwar kemudian ditahan oleh kerajaan Mahathir atas tuduhan liwat dan dihukum penjara selepas disabitkan dengan kesalahan itu.

Kedua-dua musuh ketat itu kemudian mengejutkan semua pihak apabila bergabung tenaga selepas hampir dua dekad bersengketa semata-mata untuk menentang gabungan politik Barisan Nasional pimpinan UMNO.

Pakatan Anwar dan Mahathir berjaya melakar sejarah memenangi pilihan raya umum pada 2018 yang menyaksikan kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Mahathir akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Mahathir sebaliknya bertindak melepaskan jawatan susulan pergolakan politik pada awal tahun 2020 dan Anwar sekali lagi kehilangan peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Ketiga dalam tinjauan politik

Beberapa penganalisis memberi peluang kepada Pakatan Harapan yang memiliki parti berbilang kaum pada pilihan raya umum kali ini, dan menyatakan gabungan itu masih bergelut untuk menembusi kubu kuat pengundi Melayu di negeri-negeri yang didominasi oleh Perikatan Nasional pimpinan Bersatu.

Pada 2018, Pakatan Harapan terdiri daripada Bersatu, yang berpaksikan orang Melayu dan diketuai oleh Mahathir. Kini Bersatu bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Harapan sebaliknya dipimpin oleh seorang lagi bekas Perdana Menteri iaitu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin telah menjalin kerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif manakala Mahathir mengetuai satu lagi gabungan politik dikenali sebagai Gerakan Tanah Air.

“PKR tidak pernah menjadi faktor yang menarik undi orang Melayu sejak ia ditubuhkan. Keadaan akan menjadi agak sukar buat Pakatan Harapan,” kata Azmi.

"Semasa pilihan raya umum yang lepas, Bersatu atau lebih khusus Mahathir, adalah faktor yang menarik undi orang Melayu."

Tinjauan yang dikeluarkan minggu ini mengenai pilihan pengundi bagi jawatan Perdana Menteri menunjukkan Anwar berada di tempat ketiga di belakang Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin.

Ismail Sabri mendahului dengan sokongan 19 peratus responden. Muhyiddin pula menduduki tempat kedua dengan 13 peratus diikuti Anwar dengan 11 peratus sokongan dalam tinjauan membabitkan 1,662 responden yang dijalankan oleh firma penyelidikan politik Ilham Center dan dikeluarkan pada Selasa.

Minggu ini, Anwar sendiri mengakui cabaran yang bakal dihadapi Pakatan Harapan.

"Sudah tentu kita perlu menembusi kawasan luar bandar," kata Anwar kepada pemberita pada Rabu selepas melancarkan manifesto Pakatan Harapan di daerah Klang berhampiran Kuala Lumpur.

"Naratif di luar bandar kadang-kadang boleh menjadi lebih kompleks kerana kecenderungan Bersatu, UMNO dan PAS hanya dengan menekankan isu kaum dan agama - bahawa orang Melayu terancam oleh monopoli Cina."

Bagaimanapun, sekiranya gabungan politik Anwar menang, beliau akan "memulakan satu siri pembaharuan struktur yang sangat diperlukan seperti merombak peranan kerajaan dalam ekonomi," kata Oh Ei Sun.

“Pembaharuan sebegini akan menjejaskan kepentingan ramai pemegang taruh lama dalam jangka pendek tetapi akan memberi manfaat kepada negara bagi jangka panjang sekali gus menjadikan ia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik,” kata penganalisis dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu.

“Dan Anwar, dengan reputasinya yang sudah begitu berpengaruh di peringkat antarabangsa, juga mungkin membawa dasar luar yang lebih proaktif untuk negara yang bakal melonjakkan lagi nama Malaysia di pentas antarabangsa.”

Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.