Keputusan kerajaan potong bajet pembangunan wakil rakyat dikritik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan memotong bajet adalah kerana kekangan ekonomi yang dihadapi negara.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2023.02.06
Kuala Lumpur
Keputusan kerajaan potong bajet pembangunan wakil rakyat dikritik Penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) berbaris untuk menaiki bas perantara percuma yang disediakan di stesen LRT Masjid Jamek di Kuala Lumpur, 9 November 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang Malaysia mengkritik keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan peruntukan pembangunan wakil rakyat secara drastik tahun ini, satu langkah yang dikatakan akan memberi kesan kepada golongan miskin di kawasan mereka.

Anwar pada Jumaat lalu telah mengumumkan yang Putrajaya akan mengurangkan elaun pembangunan bagi setiap ahli Parlimen daripada RM3.8 juta (AS$892,437) kepada hanya RM1.3 juta (AS$305,307) setahun, bertujuan mengawal kewangan negara.

Keputusan itu dibuat ketika kerajaan baharu pimpinan Anwar sedang bertungkus lumus menyiapkan dokumen Belanjawan bagi tahun 2023 yang dijangka akan dibentangkan pada 24 Februari nanti.

"Peruntukan pembangunan Ahli Parlimen, yang diselaras melalui Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Pembangunan Negeri, akan dikurangkan disebabkan kekangan ekonomi... Ia akan dibuat secara berperingkat, " kata Anwar kepada pemberita di Negeri Sembilan, minggu lepas.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, yang juga merupakan Ahli Parlimen Kapit pada Isnin berkata keputusan mengurangkan peruntukan itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan menyukarkan penyaluran peruntukan kepada rakyat, terutama di kawasan pedalaman.

"Sebagai Ahli Parlimen Kapit, kawasan yang berada jauh di pedalaman dengan cabaran geografi dan luas, tentulah peruntukan ini tidak mencukupi dan akan memberi cabaran yang lebih besar kepada saya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan yang amat diperlukan oleh rakyat.

"Kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Sarawak juga berada jauh di pedalaman yang tentunya amat bergantung kepada peruntukan ini. Peruntukan sebelum ini banyak membantu ahli Parlimen untuk membantu penduduk secara lebih efisien dengan bantuan dapat disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah dan jabatan Kerajaan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Seorang lagi Ahli Parlimen kerajaan dari Sabah menyifatkan keputusan memotong elaun wakil rakyat adalah tindakan "tidak betul", terutama bagi kawasan di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis dari parti Warisan yang menyokong kerajaan Anwar, menggesa supaya Putrajaya mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

"Pemotongan peruntukan pembangunan ini bukanlah permulaan yang baik bilamana Kerajaan Perpaduan bertekad merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi di antara wilayah di dalam Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963. Mengambil kira faktor-faktor yang disebutkan ini sepatutnya kerajaan mengekalkan peruntukan sedia ada malah sepatutnya ditambah bukannya dipotong atau dikurangkan," kata beliau dalam satu kenyataan.

"Berbeza dengan bantuan-bantuan semasa yang disediakan oleh kerajaan, Peruntukan Ahli Parlimen ini mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan dan disebabkan itulah, rakyat lebih cenderung memohon bantuan daripada Ahli Parlimen melalui peruntukan khas yang lebih cepat dan dekat.

"Justeru, saya mohon Perdana Menteri mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat dan mencadangkan agar diadakan perjumpaan dengan semua Ahli Parlimen serta agensi yang terlibat disamping mengutamakan penambahbaikan tadbir urus, tatakelola dan integriti berbanding langkah pemotongan peruntukan," tambah beliau.

Keputusan Anwar itu turut tidak diterima baik oleh Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan bahawa peruntukan pembangunan itu tidak seharusnya diganggu kerana memberikan manfaat kepada rakyat.

"Perikatan Nasional memandang berat kenyataan Perdana Menteri yang mengesahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli-Ahli Parlimen akan dikurangkan pada tahun ini sebanyak 65 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui Ahli Parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu meskipun dikurangkan," kata Takiyuddin Hassan, ketua whip Perikatan Nasional, dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Anwar pada Jumaat juga berkata kerajaan bagaimanapun akan tetap memberikan pertimbangan segera untuk menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya terdapat keperluan mendesak bagi sesuatu projek atau program pembangunan di mana-mana kawasan parlimen, termasuk untuk kerja baik pulih infrastruktur di kawasan tersebut.

"Peruntukan pembangunan Ahli Parlimen, yang diselaras melalui Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Pembangunan Negeri. Ia akan dikurangkan disebabkan kekangan ekonomi... Ia akan dibuat secara berperingkat, " kata Anwar kepada pemberita di Negeri Sembilan pada Jumaat.

Tindakan bernas

Dalam pada itu, pakar ekonomi bersetuju dengan langkah Anwar, di mana mereka melihat pemotongan perbelanjaan tersebut akan dapat membantu kerajaan lebih fokus kepada program sosial semasa negara melihat perkembangan ekonomi lembab dan dijangka berdepan dengan kegawatan ekonomi global.

Pakar ekonomi yang dihubungi BenarNews menyambut baik keputusan kerajaan memotong elaun pembangunan kepada ahli-ahli Parlimen kerana ada yang berpendapat peruntukan sedemikian telah lama disalah guna oleh wakil rakyat bagi kepentingan politik mereka.

Ramon Navaratnam, seorang ahli ekonomi dan bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan negara berkata, beliau tidak melihat langkah berkenaan akan memberikan kesan kepada orang miskin.

"Saya tidak merasakan bahawa pemotongan bajet ini akan memberikan kesan kepada orang miskin, kerana akan ada usaha lebih baik dilaksanakan bagi mengawal kewangan negara. Dan sesetengah peruntukan ini juga sebelum ini disalahguna oleh ahli Parlimen untuk kepentingan politik mereka.

“Jadi lebih baik ia dipotong dan wang itu digunakan untuk membantu rakyat miskin," kata beliau kepada BenarNews.

Navaratnam berkata apa yang Anwar cuba dilakukan adalah satu usaha memperbaiki kedudukan kewangan negara dan kredibiliti ekonomi, dan ia adalah sesuatu yang tepat pada waktunya.

Beliau turut mengkritik pembangkang kerana menentang langkah tersebut, dan menggesa mereka melihatnya dalam gambaran yang lebih besar, iaitu untuk melindungi kewangan dan menyelesaikan masalah defisit serta peningkatan hutang negara.

Barjoyai Bardai, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, dalam nada yang serupa berkata pemotongan elaun adalah satu langkah yang dapat mengurangkan salah guna wang rakyat oleh ahli politik.

Bardai juga menjangkakan bahawa kerajaan akan melaksanakan lebih banyak pemotongan, terutamanya dari segi perbelanjaan mengurus yang dikatakan banyak berlaku pembaziran.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata langkah pemotongan elaun Ahli Parlimen itu dilihat sebagai usaha mengimbangi program sosial untuk rakyat yang lebih fokus dan efektif di peringkat kebangsaan.

"Pemotongan ini juga akan memaksa semua Ahli Parlimen menjaga kawasan mereka dengan lebih efisyen dan bijak. Cuma ia adalah malang kerana pemotongan ini meliputi semua kawasan tanpa mengambil kira keperluan masing-masing serta keberkesanan pengurusan perbelanjaan oleh wakil rakyat itu sendiri," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.