Malaysia Pertingkatkan Kerjasama Kongsi Maklumat Penguatkuasaan Maritim

Hata Wahari
2016.02.03
160203-apmm620 Anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan pendatang tanpa izin dari Indonesia yang cuba memasuki Malaysia dalam satu operasi di kawasan perairan Johor baru-baru ini, 3 Januari 2016.
Ihsan APMM

Malaysia mempertingkatkan kerjasama penguatkuasaan sempadan maritim dengan pelbagai agensi negara-negara serantau dalam usaha untuk mengawal ancaman dari militan terutamanya di sekitar perairan Sabah.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Ahmad Puzi Ab. Kahar dalam satu temubual bersama BeritaBenar berkata, pertukaran maklumat risikan antara negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan beberapa kawasan 'titik panas' terutamanya di zon wilayah maritim di Sabah dan Sarawak.

Katanya, pengawasan di perairan yang dikenalpasti sebagai kawasan 'titik hitam' di sekitar sempadan antara perairan Malaysia dan Filipina dilakukan 24 jam dengan menempatkan pasukan elit dan aset pertahanan yang berada dalam siap siaga.

Baru-baru ini, pakar keganasan, Rohan Gunaratna, yang juga kolumnis BeritaBenar, dalam ruangannya bulan lepas menyatakan kumpulan militan tempatan di selatan Filipina telah melafazkan ikrar taat setia kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) dan Abu Bakr al-Baghdadi.

Gunaratna yang mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura, ketika ditemubual BeritaBenar semasa Persidangan Deradikalisasi Antarabangsa di Kuala Lumpu minggu lepas telah mencadangkan Malaysia dan Filipina bekerjasama untuk mencegah IS daripada berkembang dari selatan Filipina ke Sabah.

"Malaysia sepatutnya merasa bimbang kerana ia secara langsung akan berkembang ke sempadan Borneo, termasuk Sabah,” kata Gunaratna.

‘Tambahan aset’

Mengulas mengenai perkembangan tersebut Ahmad Puzi berkata, “kumpulan Abu Sayyaf sering kali menceroboh masuk ke negeri Sabah dengan melakukan penculikan serta rompakan dan yang lebih membimbangkan agensi itu kini cuba menyusup masuk pengebom bunuh diri dengan tujuan untuk menyerang Malaysia.

Sehubungan itu, Ahmad Puzi berkata, agensi berkenaan telah meletakkan tiga sistem radar yang boleh mengesan pergerakan bot pancung yang digunakan penyeludup di timur Sabah serta beberapa kawasan strategik yang dirahsiakan.

“Sistem radar yang sama juga ditempatkan di sembilan kawasan di Semenanjung Malaysia dengan yang terbaru di Pulau Jarak dan Pulau Perak, iaitu di Selangor dan Perak,” kata Ahmad Puzi yang dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi itu September lepas.

Beliau berkata, peningkatan kerjasama pelbagai agensi telah berjaya meningkatkan keupayaan mengawal ancaman dengan cepat dan berkesan, dan bukan saja untuk mengawal kawasan perairan tetapi juga mencegah berlakunya penculikan, pencerobohan perairan dan jenayah siber.

‘Pujian’

Menyentuh isu pelanunan di kawasan perairan negara, Ahmad Puzi berkata sejak kewujudan APMM pada tahun 2009, agensi itu telah berjaya mengurangkan kes kapal diserang oleh lanun.

“Malaysia menerima pujian dari Maritim Biro London kerana keupayaan menangani masalah lanun di kawasan perairan Selat Melaka apabila APMM berjaya mematahkan pelbagai cubaan serangan lanun di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata, siasatan APMM mendapati kebanyakan serangan lanun bermula di perairan antarabangsa, tetapi apabila kegiatan mereka diketahui pihak berkuasa, mereka cuba memasuki ke perairan Malaysia untuk mendapatkan perlindungan keselamatan.

Ahmad Puzi berkata, agensi itu mengambil tindakan luar biasa dengan menyiasat setiap pancaran komunikasi  melalui radio dari kumpulan lanun, dan mengenalpasti rangkaian mereka.

Tegas beliau, rangkaian lanun ini bukan sahaja berkaitan dengan pelaku jenayah tetapi juga membabitkan pelanggan mereka yang mungkin berada di negara-negara lain.

Mengenai kegiatan pemerdagangan manusia, beliau menambah, laluan haram until keluar masuk berjaya dipatahkan oleh agensi itu setelah berjaya mengenal pasti ‘hot-spot’ terutamanya di selatan perairan Selat Melaka.

Tambah Ahmad Puzi, kawasan berkenaan bagaimanapun berubah-ubah dan melalui risikan dan gerakan yang dilaksanakan oleh APMM, banyak kawasan pendaratan kumpulan penyeludupan manusia itu berjaya dineutralkan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.