Malaysia Bakar Bot Ceroboh Perairannya

Hata Wahari
2017.08.30
Kuala Lumpur
170830-my-apmm3-1000.jpg Dua bot nelayan asing yang dilucut hak kerana menceroboh perairan negara dibakar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] di kedudukan 7.9 batu nautika dari perairan Kuala Tok Bali, Kelantan, 30 Ogos 2017.
[Ihsan APMM]

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] buat pertama kalinya membakar dua buah bot nelayan asing yang ditangkap kerana menceroboh perairan negera itu sebagai mesej yang kerajaan Malaysia serius dalam menangani isu berkenaan

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Mohd Taha Ibrahim berkata, kedua-dua bot nelayan asing yang telah dilucutkan hak itu dibakar di sekitar 7.9 batu nautika perairan Tok Bali, di negeri utara Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Kelantan, yang bersempadan dengan Thailand.

Tindakan itu dilihat sebagai satu langkah yang diambil berikutan negara jiran Indonesia, yang turut membakar kapal yang menceroboh perairan negara itu.

Mohd Taha berkata, pembakaran kapal itu adalah kali pertama, di mana biasanya agensi itu mengambil tindakan dengan melupus bot nelayan asing yang didapati bersalah menceroboh perairan negara melalui kaedah menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan.

“Kaedah menjadikannya tukun tiruan tidak memberikan sebarang impak yang mendalam terhadap bot nelayan asing yang menceroboh dan mencuri hasil laut di perairan negara” katanya dalam satu kenyataan yang salinannya diterima BeritaBenar pada Rabu.

Justeru itu, Mohd Taha menegaskan, kaedah pelupusan secara membakar bot berkenaan akan menjadi satu lagi alternatif yang bertujuan untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia amat peka dan serius dalam menangani isu berkenaan.

Pembakaran itu dilihat datang beberapa hari selepas APMM menahan kapal milik nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia.

Bagaimanapun, Mohd Taha tidak menyatakan asal dua bot yang dibakar itu, tetapi ia dipercayai berasal dari Vietnam.

Pada Jun lepas, Jabatan Perikanan Malaysia berkata Malaysia telah kehilangan sebanyak 980,000 ton makanan laut bernilai sehingga RM6 bilion setiap tahun kerana pencerobohan haram di perairan negara itu.

Dalam pada itu, Mohd Taha menjelaskan, proses untuk pelupusan bot nelayan asing sebenarnya mengambil masa yang lama untuk mendapat kelulusan perundangan.

Katanya, agensi itu perlu mendapatkan kebenaran daripada pelbagai agensi berkaitan, proses perundangan dari Mahkamah, selain kelulusan dari Jabatan Alam sekitar (JAS)

Mohd Taha berkata, sehingga kini sebanyak 285 bot nelayan asing telah dijadikan tukun di seluruh Malaysia dan proses pelupusan itu dibuat bertujuan untuk mengurangkan kesesakan bot nelayan asing yang di tahan di Pusat Tahanan Bot.

Indonesia telah memusnahkan sebanyak 317 buah bot nelayan yang dirampas daripada pencerobohan haram sejak Joko Widodo menjadi Presiden pada Oktober 2014 sebagai tindak balas untuk melindungi perairan negara itu.

Kebanyakan bot nelayan yang dimusnahkan adalah dari Vietnam, Filipina dan Malaysia. Pihak berkuasa Maritim Indonesia juga telah beberapa kali bertembung dengan kapal nelayan dan kapal pengawal pantai dari China di sekitar perairan Pulau Natuna.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.