Nelayan Terkandas di Malaysia Kembali ke Laos, Yang Lain Tunggu Giliran

Khas untuk BeritaBenar
2021.01.21
Nelayan Terkandas di Malaysia Kembali ke Laos, Yang Lain Tunggu Giliran Sekeping gambar tanpa tarikh menunjukkan sekumpulan nelayan Laos yang kehilangan pekerjaan susulan penularan pandemik COVID-19 terkandas di negeri Pahang, Malaysia.
[Ihsan nelayan Laos]

Lebih 100 nelayan Laos yang terkandas di Malaysia selama beberapa bulan selepas kehilangan pekerjaan susulan penularan COVID-19 telah pulang ke negara asal mereka dengan menaiki pesawat yang disewa khas untuk penerbangan ke sebuah lapangan terbang di Vientiane pada 17 Jan, menurut sumber dari Laos.

Seramai 177 nelayan, yang merupakan kumpulan pertama daripada sejumlah 328 orang, memulakan perjalanan dari negeri Pahang, Malaysia dengan menaiki pesawat AirAsia yang disewa khas oleh Oudomsin Company, sebuah syarikat pelancongan Laos, kata seorang daripada nelayan yang pulang ke tanah air kepada Radio Free Asia, iaitu entiti BeritaBenar pada 18 Jan.

“Kami terbang dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Wattai di mana kami telah diimbas serta diuji bagi COVID-19 dan dibawa ke sebuah pusat kuarantin di pinggir bandar Vientiane,” kata sumber itu kepada RFA manakala sumber kedua memberitahu sejurus tiba di pusat itu, mereka telah diberikan taklimat mengenai peraturan di situ.

“Kami dilarang mengambil gambar atau merakam video, atau bersiaran secara langsung di laman Facebook untuk bercakap tentang apa yang berlaku di sini. Kami juga dimaklumkan bahawa kami akan dikuarantin sekurang-kurangnya selama 14 hari,” katanya.

Seorang lagi nelayan berkata kumpulan itu telah diminta menanggung sendiri kos pengangkutan bagi membawa mereka pulang ke Laos dan tiap seorang perlu membayar sebanyak 2,050 ringgit Malaysia (US$560) untuk tambang penerbangan sahaja. “Kami juga terpaksa membayar lebih bagi ujian COVID-19 di lapangan terbang dan perjalanan bas dari lapangan terbang ke pusat kuarantin,” katanya.

“Meskipun begitu, kami semua gembira kerana dapat kembali ke pangkuan keluarga selepas menunggu lebih dua bulan di Malaysia,” katanya.

Seorang lagi yang masih menunggu giliran di negeri Pahang, Malaysia memberitahu RFA bahawa sejumlah 328 nelayan Laos telah menunggu sejak 9 Jan bagi mendapatkan penerbangan untuk pulang ke tanah air. “Kemudian pada Ahad iaitu 17 Jan, penerbangan sewa kahas pertama telah membawa 177 daripada kami untuk pulang ke tanah air,” katanya.

“Baki 151 lagi kini menunggu penerbangan kedua yang dijadualkan pada 24 Jan dan lebih ramai nelayan Laos mungkin akan datang dari negeri lain untuk menyertai kumpulan kami,” katanya.

Tinggal dalam keadaan yang teruk

Nelayan Laos yang masih menunggu di Malaysia untuk penerbangan pulang ke tanah air kini tinggal dalam keadaan yang teruk, kata sumber kepada RFA.

“Wang simpanan kami semakin susut dan kami tidak mempunyai wang untuk membeli rokok dan kad sim untuk telefon serta banyak keperluan lain,” katanya.

“Bekas majikan kami membawa nasi dan beberapa jenis makanan lain setiap tiga hingga empat hari namun bantuan makanan itu tidak mencukupi,” kata seorang lagi nelayan sambil menambah bahawa “Kami sudah mencari makanan tambahan di merata-rata tempat dan ada di antara kami yang mencari rebung serta sayur-sayuaran di hutan berhampiran.”

“Yang lain terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan daripada keluarga mereka di tanah air,” katanya.

Menurut laporan awal, sehingga 700 nelayan warga Laos di Malaysia telah dibuang kerja pada awal Oktober susulan kemelesetan ekonomi di negara itu ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19 namun penerbangan sewa khas untuk membawa mereka pulang ke tanah air pada mulanya ditangguh sebelum dibatalkan.

Kumpulan 328 nelayan itu kemudian mengatur penerbangan menggunakan pesawat AirAsia manakala yang lain membuat keputusan untuk pulang ke tanah air sendiri dan kira-kira 100 orang daripada mereka kemudian telah ditahan kerana memasuki Thailand secara haram sebelum dihantar pulang ke Laos.

Sehingga 20 Jan, sekurang-kurangnya 12 nelayan Laos membuat keputusan untuk tidak kembali ke negara asal dan memilih untuk tinggal di Malaysia serta telah memohon untuk bekerja dengan syarikat lain yang kini membantu mereka memperbaharui visa dan permit kerja, kata sumber.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.