Pesawat peribadi terhempas, 10 nyawa terkorban termasuk exco negeri Pahang

Bahagian Siasatan Keselamatan Udara sudah dikerah ke tempat kejadian untuk mencari kotak hitam - Menteri Pengangkutan
Noah Lee dan Iman Muttaqin Yusof – Kuala Lumpur
2023.08.17
Kuala Lumpur
Pesawat peribadi terhempas, 10 nyawa terkorban termasuk exco negeri Pahang Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memeriksa serpihan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berhampiran Bandar Elmina di Selangor, 17 Ogos 2023.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Sebuah pesawat peribadi terhempas serta musnah terbakar di lebuh raya di luar Kuala Lumpur pada Khamis telah mengorbankan 10 orang termasuk lapan individu yang menaikinya dan dua pengguna lebuh raya itu kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

Antara mangsa yang terkorban ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang Johari Harun. Perkara itu disahkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang Mohd Sharkar Shamsudin dalam satu hantaran di media sosial beberapa jam selepas kejadian.

"Pesawat tersebut dijadualkan mendarat pada jam 2.50 petang namun dua minit sebelum mendarat, ia dipercayai hilang kawalan dan terhempas lalu melanggar motosikal dan kereta yang  melalui jalan berkenaan.

"Kesemua lapan mangsa serta dua pengguna jalan raya telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka akan dihantar ke hospital untuk pengecaman serta bedah siasat," kata Hussein dalam sidang media di lokasi kejadian.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media khas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di Selangor berkata pesawat malang itu dalam perjalanan dari Pulau Langkawi, Kedah dan bersiap sedia untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan sebelum terhempas di lebuh raya berhampiran.

"Pada jam 2.47 petang, pesawat telah meminta kebenaran untuk mendarat dan kebenaran diberi pada jam 2.48 petang. Tiga minit selepas itu, Pusat Kawalan Trafik Udara melihat satu asap tebal dari arah pesawat itu terhempas.

"Tiada panggilan kecemasan diterima dan semua protokol keselamatan telah diaktifkan sejurus selepas insiden itu berlaku," katanya.

Menurut Loke, Bahagian Siasatan Keselamatan Udara kemudian digegaskan ke lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati pesawat itu telah tersimpang sedikit dari laluan asal sejurus sebelum terhempas namun punca kejadian masih belum dapat dipastikan.

"Misi pertama adalah untuk mencari kotak hitam," kata beliau.

Beliau turut mengeluarkan senarai mangsa yang menaiki pesawat itu termasuk dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim manakala lima penumpang lain ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki, dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia mengepung lokasi kejadian di mana pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dikatakan terhempas berhampiran susur Lebuhraya Guthrie dan Bandar Elmina di Selangor, 17 Ogos 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia mengepung lokasi kejadian di mana pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dikatakan terhempas berhampiran susur Lebuhraya Guthrie dan Bandar Elmina di Selangor, 17 Ogos 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Identiti dua pengguna lebuh raya yang maut masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk proses ujian forensik dan pengecaman.

Johari adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang bagi kawasan Pelangai serta exco Kerajaan Negeri Pahang yang mempengerusikan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau.

Pesawat itu telah disahkan milik syarikat Jet Valet Sdn Bhd.

Menerusi kenyataan media, syarikat itu memaklumkan ia "akan memberi sepenuh komitmen dan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung insiden terbabit."

Sementara itu, seorang saksi memberitahu BenarNews bahawa dia melihat api marak di lokasi pesawat terhempas ketika melewati jalan tersebut pada jam 3.10 petang.

Azmil Hisham, seorang pekerja swasta, berkata dia dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat ketika melihat asap berkepul-kepul di lokasi kejadian dan bertindak keluar dari kenderaannya untuk meninjau apa yang berlaku.

"Saya jangka kemalangan berlaku lebih kurang 30 minit sebelum itu. Saya tanya penunggang motosikal di situ, mereka yang banyak maklumat. Mereka nampak kapal terbang berlegar-legar dan berpusing empat, lima kali sebelum terhempas," katanya.

Nahas itu turut dikongsi secara meluas di media sosial dalam bentuk gambar dan rakaman kamera papan pemuka kereta yang memaparkan pesawat yang terbakar itu meluncur laju sebelum terhempas serta serpihannya berterbangan dan berselerakan di atas lebuh raya.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.