Malaysia Mahu Tamatkan Moratorium Bauksit, Cetuskan Kerisauan Ramai
2019.02.19
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia bersetuju untuk menamatkan moratorium perlombongan dan pengekspotan bauksit mulai 1 April ini yang sekaligus mengundang kebimbangan pelbagai pihak berhubung impaknya terhadap alam sekitar.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar pada Selasa memberitahu BeritaBenar bahawa keputusan kerajaan tidak melanjutkan tempoh moratorium yang berakhir pada 31 Mac depan itu telah mendapat persetujuaan kabinet.
“Keputusan untuk tidak meneruskan moratorium datang dari Kabinet. Kerajaan merasakan terdapatnya permintaan yang tinggi terhadap bahan itu yang turut menjana keuntungan besar kepada kerajaan negeri,” katanya semasa dihubungi di Kuala Lumpur.
Terdahulu itu, Menteri berkenaan seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia [Bernama] pada Isnin berkata, “Moratorium tidak akan dilanjutkan selepas 31 Mac ini.. Kementerian dengan kerjasama pihak yang berkenaan telah menyediakan satu SOP baharu dan meminta semua pihak supaya mematuhi syarat dan peraturan yang telah tetapkan,”
Tambah beliau, SOP baharu yang akan diperkenalkan itu hanya membenarkan bauksit yang telah dicuci, boleh dieksport demi menjaga alam sekitar.
Kegiatan perlombongan bauksit, bijih mineral yang mempunyai aluminium hidroksida di Kuantan, terutamanya di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng dipercayai bermula sejak pertengahan tahun 2014, tidak lama selepas Indonesia, iaitu pengeluar utama, mengharamkan eksport bahan mineral berkenaan pada Januari 2014.
Perlombongan itu telah menyebabkan berlaku pencemaran alam sekitar sehingga air sungai dan laut bertukar menjadi merah dan menjejaskan kehidupan marin, selain pencemaran yang melibatkan infrastruktur dan kemudahaan awam di sekitar kawasan yang terlibat.
Pada Januari 2016, kerajaan Barisan Nasional [BN] pimpinan Perdana Menteri Najib Razak pada masa itu telah mengenakan moratorium setiap tiga bulan, keatas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit selepas mendapat bantahan penduduk tempatan dan aktivis alam sekitar akibat daripada aktiviti perlombongan yang tidak terkawal.
Sejak itu, semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang telah dihentikan dan tempoh halangan tersebut yang sepatutnya tamat pada 2018 telah dilanjutkan selama tiga bulan lagi oleh Putrajaya melalui hasil mesyuarat pada 21 Disember lepas.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh kesal dengan tindakan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang tidak mengadakan perbincangan dengan orang awam mengenai SOP yang dimaksudkan sebelum membuat keputusan untuk menamatkan moratorium berkenaan.
Fuziah berkata jika perkara itu telah dipersetujui, kerajaan perlu mempamerkan garis panduan SOP kepada orang awam dengan cara yang telus.
“Saya khuatir dengan aspek SOP yang diperkatakan oleh Menteri, di mana hanya bauksit yang telah dicuci dibenarkan di eksport, dan proses pembersihan bijih bauksit ini sebenarnya boleh mengakibatkan sisa air mengandungi logam berat serta turut akan mencemarkan sungai,” kata Fuziah.
Beliau menambah, perlombongan yang mampan melibatkan membasuh bauksit adalah lebih sukar dicapai berbanding dengan apa yang dilakukan pada masa lalu.
"Saya masih ingat, sungai bertukar kepada kelas lima disebabkan kandungan logam berat yang mengalir dari lombong. Kita ada masalah penguatkuasaan sebelum ini. Dulu kita tidak buat pembasuhan, itupun sudah membawa kepada bencana alam sekitar, inikan pula hendak buat ‘processing’ dan ‘washing’, ini satu perkara yang baru, ia perlu dikongsi dahulu SOP yang dimaksudkan dengan jelas kepada orang awam,” tambah Ahli Parlimen Kuantan itu.
SAM kecewa
Dalam pada itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) SM Mohamad Idris semasa dihubungi BeritaBenar melahirkan rasa kecewa dengan keputusan kerajaan berhubung perkara tersebut.
“SAM amat kecewa dengan keputusan ini kerana menteri tidak memperdulikan kesannya kepada orang ramai dan alam sekitar sebaliknya meletakkan kepentingan industri mengatasi kepentingan awam.
"Menteri yang bertanggungjawab juga tidak mempedulikan isu alam sekitar dan tidak berunding dengan komuniti tempatan yang terjejas atau kumpulan alam sekitar tetapi dilihat tunduk kepada industri bauksit.
"Kesannya kepada orang ramai perlu diambil kira terlebih dahulu.. Sudahkah menteri berunding dengan MESTECC (Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), pihak berkuasa yang mempunyai kaitan dalam isu alam sekitar,” persoal SM Mohamad.
Pahang merupakan pengeluar utama bauksit di Malaysia selain dari Terengganu dan kegiatan perlombongan itu dipercayai tidak terkawal selain mengganggu rutin harian penduduk yang terpaksa berdepan dengan debu, jalan raya bertukar menjadi merah terutama di sepanjang 30 km (19 batu) bahan itu di bawa ke destinasi terakhirnya di Pelabuhan Kuantan.
Bernama dalam laporannya pada Januari 2016 yang memetic Felo Penyelidik Kualiti Udara Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Azman Azid sebagai berkata, bauksit mengandungi aluminium hidroksida dan debu bahan itu yang terbebas ke udara apabila dihidu dalam tempoh yang lama boleh menyekat pengaliran oksigen dalam darah sekali gus ke sistem saraf.
"Apabila otak kekurangan oksigen ia boleh menyebabkan seseorang itu terdedah dengan risiko untuk menghidap penyakit Azheimer atau penyakit lupa," katanya seperti dilaporkan agensi berita itu.
Menurut laporan, Malaysia membekalkan lebih 40 peratus bahan mentah itu bagi menghasilkan aluminium untuk China, yang kemudiannya menghasilkan kira-kira separuh daripada produk berasaskan aluminium di dunia seperti pesawat, rangka pintu dan bekas minuman.
Sementara itu menurut agensi berita Reuters, China merupakan pengimport utama bahan bauksit dari Malaysia dengan jumlah penghantaran pada satu masa pernah mencapai sehingga 3.5 juta tan.
Dalam pada itu, pegawai media kepada Xavier, Surach Gunasegaran memberitahu BeritaBenar bahawa satu arahan telah dikeluarkan supaya SOP aktiviti itu akan dipamerkan kepada media dengan secepat mungkin dan bagi mereka yang pernah mempunyai lesen aktiviti perlombongan bahan itu, sebelum ini perlu memohon semula lesen selepas 31 Mac.
“Proses permohonan akan mengambil masa sebulan. Kita akan saring dan lakukan siasatan untuk memastikan syarikat yang akan diberi lesen itu tidak mempunyai rekod buruk atau dalam permerhatian pihak berkuasa. Kita akan pantau,” kata Surach lagi.
Sehingga kini terdapat sebanyak 435,000 tan metrik bauksit yang masih berada di kawasan penyimpanan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman yang perlu dikosongkan segera dalam masa sebulan, sebelum SOP baru diperkenalkan.