Raja Arab Saudi Meterai Perjanjian Tangani Keganasan dengan Malaysia, Indonesia
2017.03.01
Kuala Lumpur & Jakarta

Arab Saudi pada Rabu menandatangani perjanjian bagi menangani keganasan dengan dua negara Islam terbesar di Asia Tenggara, selepas Raja Salman bin Abdul Aziz al-Saud mengakhiri lawatannya ke Malaysia dan melakukan kunjungan ke Indonesia.
Raja Salman tiba di Indonesia untuk lawatan sembilan hari – kunjungan pertama ke negara itu oleh seorang raja Arab Saudi dalam tempoh hampir 50 tahun – susulan lawatan empat hari baginda di negara jiran, Malaysia. Baginda merancang untuk melawat China, Brunei, Jordan, Maldives dan Jepun.
Sebelum baginda berlepas ke Indonesia, Arab Saudi dan Malaysia mengeluarkan kenyataan bersama yang mengumumkan penubuhan Pusat Raja Salman bagi Keamanan Antarabangsa, yang dijadual dilancarkan dalam masa tiga bulan dan memberi tumpuan kepada memerangi keganasan global.
Selain keganasan, Raja Salman dan pegawai-pegawai Malaysia membincangkan isu Palestin, keadaan di Syria, krisis kemanusiaan di Yaman serta dakwaan campur tangan Iran dalam hal ehwal dalaman negara lain.
"Kedua-dua pihak bersetuju sepenuhnya mengenai keperluan untuk memperhebat dan menyepadukan usaha dunia Islam untuk berdepan dengan ekstremisme, menolak sektarianisme dan menggerakkan dunia Islam ke arah masa depan yang lebih baik seiring objektif dan tujuan Pertubuhan Kerjasama Islam bagi mencapai keamanan antarabangsa dan keselamatan, "kata kenyataan bersama itu.
Para pegawai Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk meningkatkan usaha bersama untuk memerangi keganasan dalam semua bentuk tanpa mengaitkannya kepada "mana-mana bangsa, warna kulit dan agama."
Pusat Raja Salman akan ditubuhkan dengan kerjasama Pusat Intelek Peperangan di Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Pusat Keselamatan dan Pertahanan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Liga Islam Sedunia, menurut kenyataan itu.
Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo (tengah) menyambut ketibaan Raja Salman dari Arab Saudi di Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma di Jakarta, 1 Mac, 2017. (Biro Pers Presiden Indonesia)
Perjanjian Indonesia
Pada hari yang sama kemudiannya, Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo menyambut ketibaan Raja Salman di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat.
"Saya percaya Indonesia boleh menjadi rakan strategik dalam mencapai wawasan 2030 Arab Saudi menerusi kerjasama ekonomi yang rapat sebagai sebuah negara Islam," kata ‘’Jokowi "Widodo.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Presiden. Saya berharap lawatan ini dapat meningkatkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara," titah Raja Salman dalam ucapan balas baginda.
Kemudian, kedua-dua negara menandatangani 11 memorandum persefahaman termasuk memberi tumpuan kepada keganasan di seluruh dunia.
"Menentang jenayah merentas sempadan di antara Indonesia dan Arab Saudi telah ditandatangani oleh Ketua Polis Indonesia Jeneral Tito Karnavian dan Ketua Polis Arab Saudi," umum Jakarta dalam satu kenyataan dari Istana Presiden.
Walaupun kenyataan itu tidak memperincikan tahap kerjasama tersebut, Osama bin Mohammed Abdullah Al Shuaibi, Duta Arab Saudi ke Indonesia pada Selasa memberitahu pemberita bahawa satu daripada matlamat utama lawatan diraja itu adalah untuk menandatangani memorandum bagi menangani keganasan.
"Kami tahu bahawa Indonesia mengalami sengsara dengan pengeboman dan keganasan. Kami akan bekerjasama dengan Indonesia dalam bidang ini. Kita boleh bertukar-tukar data, berkongsi pengalaman, dan kita boleh menewaskan mereka ini, "kata Osama kepada pemberita di Kedutaan Arab Saudi di Jakarta.
Zuhairi Misrawi, pakar dalam politik Islam di Timur Tengah, berkata, Arab Saudi percayakan Indonesia - negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia - untuk memerangi keganasan dan menawarkan program deradikalisasi.
"Kita boleh bertukar-tukar maklumat mengenai keganasan di Timur Tengah kerana Arab Saudi lebih mengetahui tentang keadaan negara Islam dan al-Qaeda di sana," kata Zuhairi kepada BeritaBenar.
Perjanjian minyak dengan nilai berbilion
Semasa lawatan Raja Salman setakat ini, baginda juga memeterai perjanjian minyak utama dengan kedua-dua negara Asia Tenggara itu.
Pada Selasa, Arab Saudi mengumumkan pelaburan sebanyak $7 bilion dalam firma tenaga negara Malaysia, Petronas, bagi meningkatkan usaha Aramco, syarikat minyak negara Arab Saudi, untuk disenarai awam tahun depan.
Sehari kemudian, kerajaan diraja itu dan Indonesia telah menandatangani perjanjian bernilai $6 bilion di antara Aramco dan syarikat tenaga milik Indonesia, Pertamina, lapor Agence France-Presse.
Sementara itu, Malaysia dan Arab Saudi mengumumkan pemeteraian empat memorandum dan usaha sama bernilai RM9.74 bilion (US$2.19 bilion) dalam usaha sama minyak dan gas, kewangan Islam, produk dan pembuatan halal.
Perdagangan dua hala di antara Arab Saudi dan Malaysia terus kukuh dan meningkat sejak beberapa tahun lalu, dengan bertambah sebanyak 27.8 peratus pada 2016 kepada sejumlah RM13.99 bilion ($3.14 bilion), kata Perdana Menteri Najib Razak dalam catatan blog beliau semasa menyambut ketibaan Raja Salman minggu lepas.
Najib berkata hubungan di antara Kuala Lumpur dan Riyadh sentiasa berada pada "tahap tertinggi" dan menyifatkan Raja Salman dengan menggunakan istilah "tahap tertinggi yang pernah" atau "hubungan terbaik pernah" dijalinkan di antara kedua-dua negara semasa lawatan itu.
Kaitan 1MDB
Sementara itu, seorang pemimpin pembangkang di Malaysia melihat lawatan Raja Arab Saudi itu sebagai peluang untuk menarik perhatian kepada dakwaan rasuah terhadap Najib yang melibatkan dana negara yang dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Laporan pada 2015 mendakwa Najib telah menerima beratus-ratus juta dolar daripada dana 1MDB, tetapi beliau mendakwa wang itu adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi untuk membiayai calon pada pilihan raya umum 2013. Tahun lalu, Peguam Negara Malaysia telah membersihkan nama Perdana Menteri dalam siasatan rasuah berhubung pemindahan dana itu.
"Membisunya Arab Saudi semasa lawatan Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini, dengan enggan menyatakan bahawa sumbangan itu adalah daripada keluarga diraja Arab Saudi, berbunyi kuat dan bergema," kata pemimpin Parti Tindakan Demokratik Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.
Hata Wahari di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.