SPRM Tahan Bekas Ketua Eksekutif 1MDB Arul Kanda

Ali Nufael
2018.12.11
Kuala Lumpur, Malaysia
181211-MY-Arul1000.jpg Arul Kanda Kandasamy yang berbaju kemeja berwarna bir umuda hadir di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] di Putrajaya, 12 Disember, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas ketua eksekutif 1Malaysia Development Berhad [1MDB] Arul Kanda Kandasamy pada Selasa, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] selepas hadir di ibupejabat agensi itu untuk siasatan berhubung kes meminda laporan audit syarikat pelaburan negara, demikian menurut pihak berkuasa pencegahan rasuah itu.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya berkata, Arul akan didakwa bersama bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak pada Rabu selepas mendapat kebenaran daripada Pejabat Peguam Negara.

“Arul Kanda ditahan pada 10.32 pagi pada hari ini (Selasa) ketika hadir untuk memberikan keterangan. SPRM sebelum ini menahan Mohd Najib pada Isnin, bagi melengkapkan proses akhir siasatan. Beliau [Najib] kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari yang sama,

“Kedua-dua mereka [Arul dan Najib] bakal didakwa di bawah pertuduhan yang sama berhubung kes meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB akan tetapi bacaan pertuduhan akan dibuat berasingan di mahkamah Seksyen Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu lagi.

Peguam N Sivananthan yang mewakili Arul memberitahu pemberita yang menunggu di pintu utama pejabat SPRM bahawa hanya satu pertuduhan akan dikenakan ke atas anak guamnya itu.

“Saya difahamkan hanya satu pertuduhan ke atas beliau membabitkan Seksyen 23 (1) Akta SPRM,” katanya semasa ditemui media.

Mengikut akta tersebut, Seksyen 23 berkaitan dengankesalahan menyalahgunakan kuasa atau kedudukan bagi mendapatkan keuntungan.

Pada Isnin, SRPM menahan Najib beberapa jam sebelum beliau dibebaskan dengan jaminan berhubung dakwaan salahguna kuasa dalam kes laporan audit kerajaan mengenai syarikat pelaburan 1MDB.

Penahanan Najib disahkan oleh seorang pegawai kanan SPRM yang memberitahu BeritaBenar bahawa bekas perdana menteri ditahan selepas diminta hadir ke ibupejabat badan pencegahan rasuah di pusat pentadbiran persekutuan di Putrajaya untuk memberi keterangan pada jam 11 pagi.

Najib walaubagaimanapun dilepaskan dengan jaminan selepas penyiasat selesai merekodkan keterangannya.

Siasatan ke atas kes meminda laporan audit 1MDB dibuka selepas Ketua Audit Negara, Madinah Mohamad mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan bahawa Najib dan beberapa orang lagi bertanggungjawab meminda kandungan laporan itu pada 2016, bagi mengeluarkan nama ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, daripada laporan tersebut.

"Seterusnya pada 26 Februari 2016, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri itu telah mengarahkan bekas Pengarah Audit untuk menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran Low Taek Jho dalam salah satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB atas alasan ia sensitif dan untuk mengelakkan fakta diputar belit oleh pihak pembangkang," kata Madinah di dalam kenyataan itu.

Najib berhadapan dengan kemungkinan dipenjarakan selama 20 tahun dan didenda sebanyak RM10,000 atau lima kali ganda dari jumlah keuntungan jika didapati bersalah.

Sehingga hari ini, Najib yang juga ahli parlimen Pekan sudah berdepan dengan 38 pendakwaan rasuah dan salahguna kuasa bersabit 1MDB dan anak syarikat pelaburan itu manakala isteri beliau, Rosmah Mansor pula didakwa dengan 19 pertuduhan jenayah termasuk rasuah dan pengubahan wang haram.

Turut didakwa berkaitan 1MDB sebelum ini adalah bekas pengerusi syarikat 1MDB Irwan Serigar Abdullah.

Irwan juga merupakan bekas Setiausaha Perbendaharaan Negara di Kementerian Kewangan sebelum ditamatkan kontraknya apabila kerajaan baru Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya susulankemenangan gabungan parti yang diterajui perdana menteri Mahathir Mohamad pada PilihanRaya Umum ke 14 bulan Mei lalu.

Siasatan SPRM selesai


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull berkata bahawa siasatan dan pertuduhan yang dibuat agensi rasuah terhadap Najib dan Arul tidak akan mengganggu siasatanJawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"PAC tidak ada kuasa untuk membuat pertuduhan, dan yang melakukan siasatan adalah SPRM. Kami sudah selesai menyiasat dan biarlah mahkamah menentukan."

"Siasatan PAC sama seperti SPRM, tetapi saya tidak tahu apa tindakan PAC," kata Shukri kepada wartawan di Bukit Mertajam.

Dilaporkan sebelum ini bahawa PAC juga menyiasat dakwaan memindalaporan audit yang dibentangkan pada Mac 2016.

Sebelum penahanan Najib dan Arul, SPRM telah merakam percakapan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad pada Khamis lepas.

Kes skandal kewangan 1MDB merupakan salahsatu kes berprofil tinggi yang menjadi keutamaan kerajaan baru PH dalam menunaikan janji-janji manifesto pilihanraya gabungan tersebut.

Siasatan kes 1MDB yang dibuka semula oleh pihak polis dan SPRM diikuti dengan beberapa penggeledahan di premis-premis yang berkaitan dengan Najib dan sekutunya.

Hasil operasi polis, pasukan siasatan yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh pada Jun mendedahkan bahawa barang-barang kemas yang terdapat di hartanah yang dikaitkan dengan Najib pada Mei bernilai RM686.37 juta, tetapi nilainya dalam pasaran semasa boleh meningkat antara RM910 juta sehingga RM1.1 bilion.

Amar Singh berkata barang rampasan itu terdiri daripada wang tunai berjumlah RM116.7 juta, barang-barang kemas bernilai RM440 juta, 272 daripada 567 beg tangan bernilai RM51.3 juta (sejumlah 295 beg tangan lagi masih belum dinilai).

Turut dirampas termasuk 423jenis jam tangan bernilai RM78 juta dan 234 pasang cermin mata hitam bernilai RM374,0000.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.