Malaysia Beri Tindak Balas, Kenyataan AS Mengenai ‘Kleptokrasi Paling Buruk’
2017.12.05
Kuala Lumpur

Seorang pegawai kerajaan Malaysia mengumumkan pada Selasa bahawa Perdana Menteri Najib Razak tidak terlibat dalam skandal 1MDB, sehari selepas Peguam Negara Amerika Syarikat [AS] memanggil dana kekayaan kerajaan itu sebagai "kleptokrasi paling buruk."
Bercakap di Washington semasa Forum Global mengenai Pemulihan Aset, Peguam Negara Jeff Sessions mendedahkan bahawa Amerika Syarikat telah merampas atau menghalang kira-kira AS$3.5 bilion (RM14.2 bilion) yang dikaitkan dengan rasuah, di mana hampir separuh daripada tuntutan saman Jabatan Kehakiman AS (DOJ) adalah terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan hanya satu tindakan penguatkuasaan.
"Para pegawai yang dikatakan terlibat di dalam rasuah dan sekutu mereka dilaporkan menggunakan dana 1MDB untuk perbelanjaan mewah," kata pegawai kanan AS itu.
Di Kuala Lumpur, Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, berkata Najib tidak mempunyai peranan dalam skandal 1MDB.
"Nah, saya telah mengatakan sepanjang masa bahawa saman sivil tidak ada kaitan dengan perdana menteri," katanya kepada pemberita.
1MDB yang sarat dengan hutang itu menjadi sasaran penyiasatan pengubahan wang haram di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura, tetapi tidak ada tindakan undang-undang yang diambil di Malaysia. Najib menubuhkan dana berkenaan pada 2009 untuk menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia.
Pada Julai 2015, nama Najib terikat dengan skandal berkenaan apabila terdapat laporan yang menyatakan AS$700juta wang berkaitan 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank persendiriannya.
Perdana Menteri menafikan sebarang salah laku dalam kes berkenaan dan mengatakan bahawa jumlah tersebut adalah "sumbangan peribadi" dari keluarga diraja Arab Saudi.
Tuduhan Peguam Negara AS
Semasa beliau membuka forum tiga hari di Washington mengenai pemulihan aset yang berkaitan dengan rasuah, Jeff Sessions merujuk kepada sejumlah besar wang yang terikat dengan 1MDB yang dibelanjakan di Amerika Syarikat: AS$200 juta (RM812 juta) dibelanjakan untuk hartanah di California dan New York; AS$130 juta (RM528 juta) untuk karya seni; AS$100 juta (RM406 juta) untuk sebuah syarikat muzik; dan AS$265 juta (RM1bilion) untuk kapal layar.
DOJ telah memfailkan satu siri tuntutan undang-undang, dan yang paling baru, adalah pada Jun lepas, termasuk cubaan merampas aset bernilai AS$ 1.7 bilion (RM6.9 bilion) yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri itu.
"Secara keseluruhannya, pegawai 1MDB didakwa melakukan penggubahan wang haram lebih daripada AS$4.5 bilion (RM18.2 bilion) dalam dana menerusi urus niaga haram yang kompleks dan syarikat cengkerang dengan akaun bank di pelbagai negara dari Switzerland dan Singapura ke Luxembourg dan Amerika Syarikat," kata Jeff dalam ucapannyan. "Ini adalah kleptokrasi paling buruk."
"Hari ini, Jabatan Kehakiman AS berusaha untuk memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa skim yang dikatakan ini," katanya.
Penyiasatan Malaysia
Peguam Negara Malaysia Apandi Ali, yang membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB turut menyatakan Najib tidak dinamakan dalam tuntutan undang-undang DOJ itu, tidak menjawab pertanyaan BeritaBenar pada Selasa untuk mendapatkan reaksinya berhubung kenyataan Jeff Sessions itu.
Bagaimanapun, perdana menteri adalah orang yang dirujuk dalam saman AS sebagai "Pegawai Malaysia 1," demikian menurut sumber kerajaan AS.
Pada Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bertulis yang menyatakan bahawa polis Malaysia telah menghantar semula laporan siasatan 1MDB kepada Peguam Negara.
"Polis telah melakukan siasatan (tambahan) seperti yang diarahkan oleh Apandi dan telah merujuk kembali kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya. "Polis sedang menunggu arahan dari Peguam Negara."
Polis Malaysia tidak membantu penyiasatan AS kerana ia bukan kes jenayah.
Sementara itu, Bersih, sebuah platform pengawas piliharaya yang demokratik dan saksama menjawab kenyataan Jeff Sessions sambil berkata:
"Tidak hairanlah, perdana menteri, menteri kabinet dan kementerian kewangan senyap sunyi mengenai dakwaan yang ditimbulkan oleh Peguam Negara AS.
"Kami mengulangi seruan kami kepada semua komuniti antarabangsa untuk terus menyokong usaha kami untuk mendapat semula aset dana 1MDB yang dicuri, untuk dikembalikan kepada rakyat Malaysia, yang sepatutnya menerima wang berkenaan," kata Bersih dalam satu kenyataan
Hata Wahari dan N. Nantha di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.