AS Kenakan Sekatan Terhadap Ejen Malaysia Bagi Mahan Air Iran

Staf BeritaBenar
2018.07.09
Washington, District of Columbia
mahan.jpeg Sebuah pesawat syarikat penerbangan Iran Mahan Air berada di landasan terbang selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa di Yaman, 1 Mac 2015.
[AFP]

Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin telah mengumumkan sekatan terhadap ejen pelancongan Malaysia bagi syarikat penerbangan Iran, Mahan Air, yang disenarai hitam oleh Washington sebagai penaja keganasan.

Jabatan Perbendaharaan itu berkata semua transaksi di dalam bidang kuasa AS membabitkan aset syarikat Mahan Travel and Tourism Sdn Bhd yang berpangkalan di Malaysia akan “disekat” susulan langkah tersebut.

Pihak berkuasa Amerika telah menuduh Mahan Air membantu Pasukan Qods Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dengan mengangkut senjata dan anggota kumpulan elit itu ke seluruh Timur Tengah.

“Mahan Air adalah syarikat penerbangan yang menjadi pilihan Pasukan Qods Kor Pengawal Revolusi Islam Iran untuk memudahkan sokongannya terhadap keganasan di seluruh Timur Tengah,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven T. Mnuchin.

“Penerbangan tetap Mahan Air ke Syria digunakan untuk menyokong rejim Assad dan menyalurkan senjata, pejuang asing serta gerakan Iran yang menanam keganasan dan kekacauan di seluruh rantau itu,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengumumkan sekatan terhadap entiti Malaysia itu. Beliau merujuk kepada kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad.

Mahan Travel and Tourism Sdn Bhd, yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya lapan tahun dengan Mahan Air, adalah ejen tunggal Mahan Air di Malaysia, dan menyediakan perkhidmatan tempahan serta tiket untuk syarikat penerbangan Iran itu.

“Tindakan ini memberi notis kepada komuniti penerbangan mengenai risiko sekatan terhadap individu dan entiti-entiti yang mengekalkan hubungan komersial dengan Mahan Air serta syarikat penerbangan lain Iran yang telah ditetapkan,”menurut kenyataan Perbendaharaan itu.

Ia memberi amaran kepada mereka yang beroperasi dalam industri penerbangan awam agar  “melaksanakan kawalan sewajarnya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan sekatan.”

“Tindakan hari ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan AS untuk melaksanakan sekatan sedia ada dan menyasarkan mereka yang memberikan sokongan kepada keganasan.”

Amerika Syarikat merancang untuk memulihkan sekatan kewangan dan tindakan punitif lain pada Ogos susulan keputusannya untuk keluar daripada satu perjanjian dalam tahun 2015 yang menarik balik kebanyakan sekatan terhadap Iran sebagai pertukaran bagi batasan ketat berhubung pembangunan nuklearnya.

Minggu lepas, pentadbiran Trump telah memberi amaran kepada negara lain agar berhenti mengimport minyak Iran menjelang awal November.

Malaysia dan Iran secara amnya mempunyai hubungan yang baik.

Presiden Iran Hassan Rouhani telah mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dalam satu perbualan telefon bulan lepas selepas kemenangan bersejarah gabungan parti pimpinan beliau pada pilihan raya umum baru-baru ini, yang menumbangkan blok diterajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang telah memerintah negara sejak merdeka pada 1957.

Rouhani telah meminta agar hubungan dua hala diperluas ketika berbual dengan pemimpin baharu Malaysia itu, menurut laporan.

Mahathir telah mengisytiharkan selepas kemenangannya pada pilihan raya bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara perdagangan, akan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara tanpa memihak kepada mana-mana pihak tertentu atau campur tangan dalam polisi, sistem dan tadbir urusnya, lapor agensi berita nasional Malaysia.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia akan mengambil sikap “berkecuali” tanpa mengambil bahagian dalam sebarang langkah oleh kuasa besar untuk mengenakan sekatan terhadap negara-negara yang tidak bersetuju dengan mereka, menurut Bernama.

“Bagaimanapun, kami sedar akan kuasa-kuasa besar yang ingin mengenakan sekatan ke atas negara-negara yang tidak menghormati atau bersetuju dengan mereka,” kata beliau tanpa menamakan sebarang negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.