ASEAN kutuk serangan konvoi kemanusiaan di Myanmar
2023.05.10
Labuan Bajo, Indonesia

Pemimpin-pemimpin ASEAN yang berhimpun pada satu sidang kemuncak telah mengutuk serangan yang dilakukan ke atas sebuah konvoi yang membawa diplomat dan pekerja bantuan kemanusiaan di Myanmar pada hujung minggu lalu, ketika keganasan semakin berleluasa di negara Asia Tenggara yang berada di bawah pemerintahan junta tentera.
Semasa sidang kemuncak pemimpin-pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara yang bermula pada Rabu di Labuan Bajo, sebuah kota pantai indah di pulau Flores, Indonesia, blok sepuluh negara itu menerima tekanan supaya mereka mengambil tindakan tegas ke atas Myanmar, yang merupakan negara anggotanya. Myanmar dilanda pergolakan dan pertumpahan darah sejak tentera merampas kuasa daripada kerajaan yang sah lebih dua tahun lalu dan melancarkan serangan ke atas sesiapa sahaja yang menentang mereka.
Dalam satu kenyataan bersama, pemimpin ASEAN berkata mereka "mengutuk serangan" ke atas konvoi kemanusiaan di negeri Shan pada Ahad dan "menegaskan bahawa semua pelaku mesti bertanggungjawab."
Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo, pengerusi ASEAN bagi tahun ini, menggesa semua ahli blok itu supaya bersatu dalam menghadapi masalah berkenaan.
"Pada masa ini, ekonomi global belum pulih sepenuhnya. Perseteruan antara negara-negara kuasa besar semakin meruncing. Dinamik global menjadi semakin tidak menentu," kata beliau dalam ucapan perasmian sidang kemuncak itu.
"Adakah ASEAN akan terus menjadi pemerhati? Adakah ASEAN akan terus berdiam diri? Dan, adakah ASEAN akan mampu menjadi pemacu kedamaian dan perkembangan ekonomi?" tanya Jokowi. "Saya yakin bahawa kita semua tahu ASEAN ada kemampuan, selagi mana kita mendukung tonggak utama: Kesatuan ASEAN."
Dalam kenyataan bersama mereka, para pemimpin Asia Tenggara itu menyuarakan sokongan ke atas usaha Jakarta untuk mendesak pelaksanaan konsensus lima perkara mengenai kedamaian, yang dipersetujui oleh ASEAN dan pemimpin tentera Myanmar pada sidang kemuncak tergempar yang diadakan pada April 2021.
Konsensus itu menggesa supaya dihentikan keganasan; mengadakan dialog yang membina antara semua pihak; melantik utusan khas ASEAN sebagai perantara rundingan itu; menyediakan bantuan kemanusiaan yang diselaraskan ASEAN serta delegasi ASEAN mengadakan lawatan ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak terbabit.
Junta Myanmar bagaimanapun telah mengingkari konsensus lima perkara itu, dan menyebabkan ASEAN melarang pemimpin negara berkenaan daripada menyertai sebarang sidang kemuncak diadakan blok mereka.
Asas penubuhan ASEAN telah menetapkan prinsip-prinsip kumpulan itu mengenai konsensus dalam membuat keputusan dan tiada campur tangan dalam urusan dalaman negara-negara anggota. Perkara tersebut telah menyebabkan ASEAN dikritik sebagai badan serantau yang tidak efektif.
Antara mereka yang mengkritik isu membabitkan Myanmar ialah Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang turut menghadiri sidang kemuncak di timur Indonesia itu.
Pada Rabu, beliau menggesa supaya konsensus lima perkara mengenai Myanmar itu dilaksanakan dengan sepenuhnya.
"Malaysia berasa kecewa kerana masih ada kekurangan kemajuan yang bermakna dan sebenar terhadap konsensus lima perkara itu," kata Anwar, seperti dilaporkan media tempatan Malaysia.
Penganalisis: Tarikh akhir, tekanan hebat diperlukan
Kejadian ganas pada Ahad itu berlaku ketika konvoi ASEAN sedang menghantar bantuan kemanusiaan ke pekan Hsihseng di negeri Shan.
Antara mereka yang berada dalam konvoi itu ialah diplomat dari Indonesia dan Singapura ketika ia diserang oleh tembakan senjata api.
Tiada laporan mengenai sebarang kecederaan daripada insiden tembakan itu, yang didakwa oleh tentera Myanmar telah dilakukan oleh kumpulan-kumpulan yang menentang mereka.
Kumpulan yang menentang junta bagaimanapun menafikan penglibatan mereka dalam serangan tersebut, menurut laporan oleh Radio Free Asia (RFA), sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews.
Marina Ika Sari, seorang pengkaji Program Pengajian ASEAN di Pusat Habibie, sebuah kumpulan pemikir di Jakarta, berkata blok Asia Tenggara itu patut menetapkan satu jadual bagi memastikan konsensus lima perkara tersebut dilaksanakan.
"Apa yang diperlukan ialah satu rancangan yang praktikal - untuk jangka pendek, sederhana, dan panjang serta sasaran dan jangka masa," kata beliau kepada BenarNews.
Marina berkata ASEAN patut berbincang bagaimana untuk melindungi diplomat asing serta pekerja bantuan kemanusiaan yang berdepan risiko di Myanmar.
"Perlindungan keselamatan untuk orang awam seperti diplomat asing dan pekerja bantuan kemanusiaan di Myanmar adalah perkara penting yang perlu dibincangkan susulan kejadian serangan itu," kata beliau.
Muhammad Waffaa Kharisma, seorang pengkaji ASEAN di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa di Jakarta, berkata situasi di Myanmar kini bukan lagi semata-mata isu politik dalaman.
"Ia semakin buruk dan menjadi perang saudara, dengan kesan limpahan seperti pelarian dan jenayah rentas sempadan," kata beliau kepada BenarNews.
Kharisma mengakui bahawa sistem konsensus yang diamalkan ASEAN mengehadkan apa tindakan yang boleh diambil blok serantau tersebut. Beliau berpandangan bahawa tindakan melarang pemimpin junta Myanmar daripada menghadiri sidang-sidang kemuncak ASEAN adalah sesuatu yang tidak mencukupi untuk mengubah tindakannya.
"Tekanan yang lebih banyak dan hebat diperlukan," kata beliau.
Tentera Myanmar telah menghadapi tentangan besar daripada penunjuk perasaan prodemokrasi, kumpulan bersenjata etnik-etnik, dan kumpulan lain yang menentang rampasan kuasa pada Februari 2021 itu.
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. (kiri) berbual dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, 10 Mei 2023. [Bay Ismoyo/pool via AP]
Sidang kemuncak ASEAN minggu ini juga dijangka membincangkan isu-isu lain seperti cadangan Timor Leste menyertai ASEAN sebagai ahli penuh blok itu, pertikaian di Laut China Selatan dan keselamatan maritim, dan kempen hak asasi manusia dan demokrasi di rantau tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, Jokowi berkata ASEAN, yang mempunyai populasi gabungan seramai 650 juta dan keluaran dalam negeri kasar sejumlah AS$3 trilion, mempunyai aset-aset besar sebagai "pusat pertumbuhan" seperti ekonomi yang berkembang pesat, tenaga kerja muda dan dinamik serta suasana politik yang stabil.
Beliau menggesa semua pemimpin blok untuk bekerja bersama bagi mengukuhkan integrasi ekonomi, kerjasama inklusif, pelan kesihatan serantau, keterjaminan makanan, ketahanan tenaga dan kestabilan kewangan.
Tria Dianti di Jakarta, Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.