Menteri Pertahanan ASEAN Seru Keamanan, Kestabilan di Laut China Selatan
2019.07.11
Bangkok, Thailand

Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN pada Khamis komited untuk mewujudkan “suasana aman” di Laut China Selatan, rantau yang dilanda ketegangan susulan tuntutan wilayah bertindih oleh negara anggota serta Taipei dan Beijing, sehingga membawa kepada kehadiran tenteranya di kawasan itu.
Bermesyuarat di Bangkok, ketua-ketua pertahanan yang mewakili 10 anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara itu menandatangani satu deklarasi, yang membabitkan garis panduan bagi mencapai tatakelakuan di Laut China Selatan sambil meningkatkan perkongsian maklumat dalam kalangan negara anggota.
“Kami menegaskan kepentingan mempromosi keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan untuk belayar di Laut China Selatan,” kata Menteri Pertahanan Thailand Prawit Wongsuwan kepada pemberita selepas para menteri terbabit menandatangani deklarasi itu, yang kemudian diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN Dato Lim Jock Hoi.
Deklarasi itu menekankan komitmen “semua pihak untuk bekerjasama dengan cara yang konstruktif dan aman bagi membolehkan Laut China Selatan menjadi kawasan laut yang aman, stabil dan makmur menerusi pelaksanaan penuh dan efektif Deklarasi 2002 berhubung Tatakelakuan Pihak-Pihak di Laut China Selatan serta kesimpulan awal tatakelakuan yang berkesan di Laut China Selatan pada garis masa yang dipersetujui bersama.”
Ia tidak memperincikan bagaimana perkara ini dan matlamat lain akan dicapai namun Prawit mengumumkan bahawa menteri-menteri pertahanan terbabit telah mencapai satu kata sepakat.
“Kami bersetuju untuk mempromosi kepercayaan dan kekangan bersama bagi mengelak tindakan yang boleh menjadikan situasi lebih sukar serta menggalakkan penyelesaian konflik secara aman menerusi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut,” kata Prawit semasa menjawab soalan pemberita.
Ketegangan di Laut China Selatan
Bulan lepas, ketegangan memuncak antara Manila dan Beijing selepas sebuah tongkang China didakwa merempuh sebuah bot nelayan Filipina berhampiran Tebing Recto dan menyebabkan 22 nelayan Filipina terkandas di laut.
Susulan ketegangan yang kian memuncak di dalam negeri berhubung insiden bot Filipina yang tenggelam itu, Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada lewat Jun bersetuju dengan tawaran Beijing untuk menjalankan penyiasatan bersama berhubung insiden itu.
China menuntut kebanyakan kawasan Laut China Selatan sebagai miliknya, termasuk perairan zon ekonomi eksklusif Filipina. Selain membina fasiliti ketenteraan di beberapa pulau, ia menjalankan ujian peluru berpandu pada awal bulan ini.
Amerika Syarikat menyertai Filipina dan beberapa negara lain mengeluarkan amaran terhadap usaha China meluaskan wilayahnya. Selain itu, jabatan negara AS mengumumkan bahawa Washington kini membekalkan dron kepada empat negara anggota ASEAN – Filipina, Indonesia, Malaysia dan Vietnam untuk digunakan bagi mengawasi Laut China Selatan.
Filipina, Malaysia dan Vietnam, bersama-sama negara anggota ASEAN iaitu Brunei dan bukan anggota iaitu Taiwan, mempunyai tuntutan mereka sendiri di Laut China Selatan.
Negara anggota ASEAN yang lain ialah Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar dan Singapura.
Pada Jun, susulan sidang kemuncak ke-34 pemimpin-pemimpin ASEAN, Thailand selaku pengerusi blok itu tahun ini, mengumumkan bahawa terdapat kemajuan dalam rundingan “ke arah kesimpulan awal tatakelakuan yang berkesan dan substantif” bagi negara anggota ASEAN dan China.
Kenyataan itu merujuk kepada pusingan pertama daripada tiga rundingan yang dirancang dilakukan berhubung cadangan berkaitan tatakelakuan tersebut, dengan lebih banyak perkara sukar seperti sama ada ia perlu mengikat secara undang-undang atau dibincangkan dalam pusingan seterusnya, menurut para diplomat. Para pegawai menjangkakan bacaan pertama tatakelakuan itu pada akhir 2019.
Deklarasi pada Khamis mengulangi “kepentingan mengekal dan mempromosi keamanan, keselamatan dan kebebasan navigasi dan lintas udara di Laut China Selatan selain keperluan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, kekangan dalam menjalankan aktiviti dan mengelak tindakan yang boleh menyulitkan lagi keadaan serta mencari penyelesaian aman dalam sebarang pertikaian.”
Selain usaha-usaha di Laut China Selatan, kesemua menteri semasa pertemuan mereka di Bangkok menerima pakai beberapa pelan bagi menangani isu-isu keselamatan serantau termasuk mewujudkan hotline.
Mejar Jeneral Tikumporn Chuleelang, seorang perancang pertahanan Thailand, berkata menteri terbabit mewujudkan satu talian khas telfon dengan negara-negara Campur ASEAN – Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat – selain sekumpulan negara dari Kesatuan Eropah.
“Ia akan berupa panggilan telefon secara terus atau hot line, menteri-menteri pertahanan boleh menghubungi antara satu sama lain bagi membincangkan isu-isu secara langsung,” kata beliau.