Kegusaran Awam: Malaysia Henti Guna AstraZeneca Dalam Program Imunisasi
2021.04.28
Kuala Lumpur

Malaysia telah memutuskan untuk tidak menggunakan vaksin COVID-19 keluaran syarikat AstraZeneca dalam program imunisasi kebangsaan negara itu ekoran kegusaran sesetengah pihak "walaupun sains dan data menunjukkan ia adalah selamat dan efektif", kata seorang Menteri Kabinet pada Rabu, ketika jumlah kes positif baharu mencecah rekod tertinggi dalam tempoh dua bulan.
Vaksin keluaran syarikat farmaseutikal milik bersama United Kingdom dan Sweden melalui perjanjian belian terus sejumlah 12.8 juta dos dengan AstraZeneca serta fasiliti COVAX, sebuah badan perolehan vaksin global yang dipacu oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia bersama organisasi global yang lain, bagaimanapun akan ditawarkan kepada mereka yang bersetuju mengambilnya secara sukarela, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada Rabu.
"Kita umum hari ini vaksin AstraZeneca tidak akan digunapakai dalam Pusat Pemberian Vaksin yang biasa. Ia tidak akan dipakai dalam program arus perdana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," kata Khairy semasa sidang media bersama Menteri Kesihatan Adham Baba di Putrajaya.
"Kami telah bersetuju untuk mengambil satu langkah proaktif, di mana kita dapat terus menggunakan vaksin AstraZeneca, tetapi dalam masa yang sama juga kita mengatasi ketakutan sesetengah pihak, walaupun ketakutan itu sebenarnya tidak berasas kepada sains," tambah Menteri itu lagi.
Katanya, inokulasi menggunakan vaksin AstraZeneca akan dibuat mengikut giliran siapa yang pantas mendaftar untuk mendapatkannya (first come first serve) tanpa mengikut fasa PICK, dan akan dimulakan di negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merekodkan jumlah kes positif koronavirus yang tinggi.
“Pusat Pemberian Vaksin khas akan dibuka untuk mereka yang mahu mengambil AstraZeneca, dan ia terbuka kepada semua penduduk berumur 18 tahun ke atas yang bersetuju selepas mempertimbangkan semua fakta mengenai vaksin itu. Mereka yang mahu mengambil suntikan boleh membuat temujanji secara atas talian melalui satu platform yang akan dibuka dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, Putrajaya juga telah menawarkan vaksin AstraZeneca kepada kerajaan negeri Sarawak untuk digunakan dalam PICK di negeri itu, memandangkan ia perlu mengadakan pilihan raya negeri selewat-lewatnya pada Ogos depan.
Keputusan kerajaan untuk tidak menggunakan AstraZeneca dalam arus perdana PICK itu dibuat hanya dua hari selepas Adham mengumumkan bahawa vaksin itu adalah selamat, dan akan diberikan kepada warga emas melalui fasa kedua program tersebut, walaupun terdapat kegusaran di kalangan orang ramai mengenai kesan sampingannya.
Untuk rekod, beberapa negara di Eropah telah menghentikan penggunaan AstraZeneca selepas pesakit yang mengambilnya didapati mengalami pembekuan darah, termasuk sebahagian daripada mereka meninggal dunia.
Malaysia kini mempunyai stok sebanyak 268,000 dos vaksin AstraZeneca selepas penghantaran pertama vaksin itu tiba pada 23 April lalu, dan penghantaran seterusnya dijangka tiba pada Mei depan.
AstraZeneca adalah vakin kedua terbanyak bilangannya dalam senarai vaksin yang ditempah Putrajaya, yang pertama ialah Pfizer dengan jumlah 32 juta dos, AstraZeneca (12.8 juta), Sinovac (12 juta), CanSinaBio (3.5 juta) dan Sputnik V (6.4 juta).
Dalam sidang media tersebut, Khairy juga memberikan jaminan bahawa warga emas akan menerima vaksin daripada Pfizer dan Sinovac.
Beliau turut memberikan statistik mengenai risiko pembekuan darah dari pengambilan vaksin AstraZeneca, menyatakan bahawa kebarangkaliannya adalah empat per sejuta, atau 0.0004 peratus, berbanding risiko 165,000 per sejuta jika seseorang itu dijangkiti virus COVID-19.
Perokok juga dikatakan mempunyai risiko yang tinggi mendapat komplikasi berkenaan dengan kebarangkalian 1,763 per sejuta.
Langkah bijak kerajaan
Lim Chee Han, seorang pakar kesihatan dari kumpulan pengkaji Third World Network, berkata ia adalah satu langkah bijak oleh kerajaan untuk memberikan vaksin AstraZeneca kepada mereka yang inginkannya secara sukarela.
"Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan cuba melakukan kawalan kerosakan (damage control) dengan mengambil satu langkah kebelakang, sebelum mara lebih jauh lagi selepas ini.
"Ia akan menjadi satu situasi menang-menang jika penerimaan secara sukarela itu menunjukkan tiada banyak komplikasi. Ia menjadi satu keuntungan kepada mereka yang sukarela mengambil AstraZeneca kerana dapat vaksin lebih awal berbanding dijadualkan, dan situasi menang untuk Kementerian Kesihatan juga yang telah mengeluarkan belanja bagi mendapatkan vaksin tersebut serta prosedurnya.
"Ini dapat meningkatkan keyakinan masyarakat yang lain, menunjukkan kepada mereka bahawa vaksin itu sebenarnya adalah selamat berbanding apa yang mereka sangkakan. Saya sendiri sanggup mengambilnya dengan senang hati," kata beliau kepada BenarNews.
Sehingga kini, Malaysia telah menjalankan inokulasi sebanyak 1.36 juta dos vaksin COVID-19. Daripada jumlah itu, seramai 844,000 telah menerima vaksin dos pertama, manakala lebih 524,000 telah melengkapkan kedua-dua dos untuk imunisasi mereka.
Malaysia merekodkan jumlah kes COVID-19 harian yang tinggi secara konsisten sejak akhir-akhir ini.
Pada Rabu, bilangan kes harian mencecah angka 3,000, dan menjadikan jumlah kes kumulatif memecah rekod lebih 400,000.
Menurut data dibekalkan Kementerian Kesihatan, sejumlah 3,142 kes baharu dilaporkan pada Rabu, satu rekod tertinggi dalam tempoh dua bulan, dan dengan angka berkenaan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dilapor setakat ini meningkat kepada 401,593.
Pada hari yang sama, sebanyak 15 kematian lagi dicatatkan, menjadikan jumlah kematian berkaitan pandemik di dalam negara itu meningkat kepada 1,477 orang.
Peperiksaan dibatalkan
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia pada Rabu mengumumkan bahawa ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) - satu peperiksaan utama untuk pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun - dibatalkan bagi tahun ini disebabkan pandemik.
"Keputusan ini diambil selepas mempertimbangkan masa yang terhad untuk para pelajar membuat persediaan (untuk peperiksaan), terutama dari segi pembelajaran secara berdepan dengan guru. Ditambah dengan situasi COVID-19 masih belum dapat dikawal," kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin dalam satu sidang media.
Berdepan dengan risiko kes COVID-19 yang semakin meningkat termasuk penularan di sekolah, Radzi baru-baru ini mengumumkan bahawa semua sekolah di seluruh negara akan kembali melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah selama dua minggu selepas cuti sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri pada bulan hadapan. Ini adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan di sekolah selepas cuti.
Sesi belajar dari rumah selama dua minggu itu akan disusuli dua minggu cuti semester, sebelum sekolah dibuka semula pada minggu kedua Jun.
Dalam sidang media itu, Radzi turut mengumumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dimansuhkan bermula tahun ini, selepas menjalankan sesi libaturus dengan semua pemegang taruh termasuk guru-guru, ibubapa dan pelajar mengenai keberkesanan ujian berkenaan. UPSR adalah ujian yang wajib diambil semua pelajar sebelum menamatkan pelajaran mereka di sekolah rendah Malaysia.
Dalam pada itu keputusan kerajaan berhubung penggunaan vaksin AstraZeneca mendapat pujian ramai, pengumuman mengenai pemansuhan UPSR pula menerima reaksi sebaliknya.
Choo Wei Lynn, seorang ibu, berkata ia adalah satu langkah yang salah untuk memansuhkan UPSR memandangkan peperiksaan itu berfungsi untuk menilai prestasi pelajar di puncak pendidikan rendah mereka.
"Jika sebelum ini para pelajar mempunyai UPSR untuk menjadi sasaran mereka, sekarang apakah yang boleh dijadikan sasaran?
"Ia juga mengenepikan cara standard bagi menilai para pelajar di Malaysia. Tanpanya, akan wujud percanggahan di antara sekolah bandar dan luar bandar, serta sekolah berprestasi tinggi dengan sekolah bermasalah," katanya.
Seorang guru pula yang bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan kerana tidak dibenar bercakap dengan media, menyatakan bahawa langkah pemansuhan UPSR akan membebankan para guru dengan lebih banyak kerja serta tanggungjawab dalam menilai pelajar, kerana ia akan diletakkan ke bahu sekolah.
"Apabila kerajaan melaksanakan Penilaian Berasaskan Sekolah pada tahun 2012, para guru terbeban dengan kerja mengumpulkan bukti prestasi setiap pelajar. Kami perlu menilai semua pelajar dalam setiap kelas, di samping tanggungjawab hakiki kami untuk mengajar. Ini hanya akan menjadikannya lebih buruk," kata guru itu.
Perkembangan ekonomi Asia
Sementara itu, Bank Pembangunan Asia (ADB) dalam kenyataan medianya pada Rabu menjangka perkembangan ekonomi di Asia akan kembali pulih tahun ini dengan didokong pemulihan global serta pencapaian awal vaksin COVID-19. Ini termasuk Malaysia, yang dijangka akan merekodkan GDP sebanyak 6 peratus tahun ini berbanding -5.6 peratus tahun lepas.
"Momentum sedang meningkat untuk perkembangan ekonomi di Asia, tetapi penularan baharu COVID-19 menimbulkan ancaman kepada pemulihan ekonomi," kata Ketua Pakar Ekonomi ADB Yasuyuki Sawada.
"Ekonomi di rantau ini berada di laluan yang menyimpang. Trajektori ditentukan sejauh mana penularan peringkat domestik, kepantasan vaksinasi, dan berapa banyak mereka mendapat faedah daripada pemulihan global,” kata bank asia itu.
Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.