Malaysia Perlu Gubal Undang-undang Jika Mahu Ekstradisi Sirul Azhar, TPM
2018.08.01
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia berkata undang-undang berkaitan hukuman mati perlu digubal terlebih dahulu jika mahu mengekstradisi Sirul Azhar Umar dari Australia selepas bekas anggota pasukan khas Polis DiRaja Malaysia itu dijatuhkan hukuman gantung oleh mahkamah Malaysia atas kesalahan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Ismail berkata Malaysia perlu meneliti semula undang-undangnya yang menetapkan hukuman mati sebelum membuat sebarang permohonan mengekstradisi kerana Australia tidak akan menghantar pulang seseorang ke negara asalnya jika individu itu berdepan dengan hukuman mati.
“Kita perlu mengubah undang-undang hukuman mati terlebih dahulu untuk mendapatkan ekstradisi. Ini kerana kita tahu bahawa Australia tidak akan mengekstradisi seseorang suspek ke negara yang mempunyai hukuman mati,” kata Wan Azizah selepas menerima kunjungan hormat oleh Menteri Luar Australia, Julie Bishop di Parlimen pada Rabu.
Sirul yang kini berada di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Malaysia selepas beliau dan seorang lagi tertuduh, yang juga bekas pegawai pasukan elit polis Unit Tindak Khas, Azilah Hadri, didapati bersalah membunuh Altantuya pada tahun 2009.
Pada 2013 Mahkamah Rayuan Malaysia telah membatalkan sabitan kesalahan terhadap Sirul dan Azilah, menyebabkan kedua-dua anggota polis itu dibebaskan. Dua tahun kemudian, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan untuk mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap Sirul yang kemudian melarikan diri ke Australia sebelum keputusan itu dibuat. Beliau ditahan di bawah undang-undang Imigresen negara itu dan berada di pusat tahanan imigresen di Sydney sehingga kini.
Bishop semasa bercakap kepada media turut mengesahkan bahawa Australia tidak menerima sebarang permohonan dari kerajaan Malaysia bagi mengekstradisi Sirul serta sekali lagi mengulangi pendirian negara itu mengenai amalan hukuman mati.
Menteri Luar Australia itu bagaimanapun enggan membuat spekulasi sama ada Australia akan menghantar pulang Sirul sambil berkata “Dia [Sirul] masih berada dalam tahanan Imigresen dan seperti dimaklumkan oleh Perdana Menteri Mahathir baru-baru ini, Malaysia masih belum membuat sebarang permohonan untuk mengekstradisi (Sirul).”
"Maka adalah tidak sesuai bagi saya membuat sebarang spekulasi untuk menjawab soalan ini, sehinggalah Malaysia membuat permohonan ekstradisi di bawah perjanjian sedia ada di antara kedua negara," kata Bishop di sidang media apabila ditanya mengenai syarat dan tempoh masa untuk Australia menghantar Sirul pulang.
Ketika ditanya mengenai hukuman mati yang digunapakai Malaysia, Bishop menegaskan bahawa ia adalah pendirian yang dipegang Australia menentang hukuman mati "di negara sendiri dan di luar negara".
"Kami adalah penyokong kuat bagi penghapusan hukuman mati. Kami (Australia) hari ini adalah anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dan penghapusan hukuman mati adalah salah satu tonggak advokasinya." tambah Bishop.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Isnin dilaporkan berkata kepada media tempatan yang beliau hanya mahu mengetahui pendirian Australia mengenai isu Sirul.
“Saya mahu mengetahui apa pendirian Australia mengenai perkara ini,” katanya di sidang media di lobi parlimen selepas ditanya mengenai rangka pertemuan beliau dengan Menteri Luar yang dalam lawatan rasmi ke Malaysia dan Singapura, Indonesia serta Timur-Leste.
Sementara itu Wan Azizah apabila ditanya mengenai kemajuan terkini kerajaan Pakatan Harapan terhadap status Sirul berkata, mereka belum membincangkannya lagi.
"Kita belum membincangkannya secara khusus. Tidak ada perbincangan spesifik mengenai Sirul dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad," kata Wan Azizah seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan The Sun.
Altantuya berusia 28 tahun dan hamil ketika dia ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan khas di kawasan hutan yang terletak di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006.
Model itu pernah berkhidmat sebagai penterjemah dalam siri rundingan kerajaan Malaysia dengan Perancis semasa urusan membeli dua kapal selam kelas Scorpene pada tahun 2002, dan dilaporkan menjadi wanita simpanan Abdul Razak Baginda, seorang penganalisa pertahanan Malaysia yang rapat dengan bekas perdana menteri Najib Razak.
Siasatan polis terhadap pembunuhan Altantuya membawa kepada penahanan Sirul dan Azilah, yang kemudiannya dihadapkan ke mahkamah.
Sirul kirim surat kepada Mahathir
Baru-baru ini, Sirul menawarkan kepada kerajaan Malaysia untuk memberi keterangan penuh mengenai pembunuhan itu, termasuk terhadap individu yang dikatakan bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan itu.
Sirul membuat tawaran itu dengan syarat dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan yang memenangi pilihanraya negara yang ke-14 pada Mei lalu.
Bekas pemimpin UMNO Khairuddin Abu Hassan turut diminta menyampaikan satu surat peribadi kepada perdana menteri Mahathir Mohamad pada akhir Jun lepas.
Walaupun kandungan surat tersebut adalah rahsia, Sirul dikatakan sekali lagi meluahkan kesanggupan beliau untuk memberitahu apa sebenarnya yang berlaku kepada Altantuya.
Khairuddin bertemu dengan Sirul pada 28 Jun di pusat tahanan imigresen itu dan menghabiskan masa lebih kurang satu jam setengah berbual dengannya.
“Saya tidak tahu kandungan surat itu dan ianya sudahpun diserahkan pada Perdana Menteri sejurus saya tiba di Malaysia,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi di Sydney baru-baru ini.
Kes Altantuya antara kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan kerajaan Pakatan Harapan dalam memenuhi janji 100 hari manifesto Pakatan Harapan jika ia menang Pilihan Raya Umum ke 14.
Bapa Altantuya, Shariibuu Setev turut ke Malaysia pada awal Jun untuk berjumpa dengan Peguam Negara Tommy Thomas dan juga perdana menteri Mahathir Mohamad.
Dalam kunjungan beliau ke Malaysia, Shariibuu turut membuat laporan polis baru berkenaan kes pembunuhan anak perempuannya dan meminta supaya pihak berkuasa menyiasat semula kes tersebut berpandukan kepada maklumat terbaru yang diperolehi.