Tentera Laut Malaysia: Nelayan Filipina Tidak Dipukul
2016.05.25
Kuching, Sarawak

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Rabu menafikan dakwaan tiga nelayan Filipina yang mereka telah dipukul apabila ditahan semasa menceroboh perairan Malaysia berhampiran Kepulauan Spratly, di Laut China Selatan, lebih dua minggu lalu.
"TLDM telah menjalankan satu penyiasatan untuk mengkaji dakwaan itu dan perkara sebenar yang berlaku dalam kejadian itu. Sehingga kini, dakwaan nelayan Filipina itu didapati tidak benar'' kata Panglima TLDM Laksamana Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Ketiga-tiga nelayan itu, Nelson Plamiano, Arlon Sandro dan Odelin Baisa, adalah sebahagian daripada 22 anak kapal bot nelayan Justin Lloyd yang dipercayai mencerobohi perairan Malaysia di Laut China Selatan.
Pada Isnin, ketiga-tiga mereka memberitahu media Filipina bahawa mereka telah digari dan dipukul semasa penahanan empat jam pada 9 Mei lalu. Dua hari kemudian, saudara-mara ketiga mereka memberitahu media Filipina tentang penderaan yang didakwa, tetapi Tentera Laut dan Pengawal Pantai Filipina tidak memberi sebarang tindak balas terhadap penahanan nelayan negara itu.
Minggu ini, ketiga-tiga nelayan berkenaan telah meminta kerajaan Filipina untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam ‘serangan’ terhadap mereka, menurut Philippine Daily Inquirer. Tentera Laut Filipina memberitahu sebuah lagi akhbar negara itu – Inquirer, bahawa aduan yang diterima itu, sedang ditangani, tetapi tidak menamakan Malaysia.
Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Kamarulzaman berkata, siasatan awal menunjukkan bot Filipina itu, telah memasuki Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, berhampiran Gugusan Semarang Peninjau yang memerlukan pemeriksaan oleh bot peronda TLDM.
"Kesemua mereka yang berada di dalam bot berkenaan telah diarahkan untuk menunjukkan pengenalan diri masing-masing. Ketua bot pukat tunda itu, kemudiannya menghantar tiga awak-awaknya dalam sebuah bot yang kecil untuk menghampiri bot kami [TLDM]. Dua awak-awak mematuhi arahan manakala seorang lagi mengambil keputusan untuk melompat ke dalam laut untuk mengelakkan daripada diperiksa,"katanya.
Beliau berkata, anggota tentera laut Malaysia kemudiannya menyelamatkan nelayan itu. Selepas memeriksa identiti mereka, ketiga awak-awak itu diperintah meninggalkan kawasan EEZ dengan pukat tunda mereka.
TLDM sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan teliti berikutan laporan media Filipina itu, kata Ahmad Kamarulzaman sambil menambah pihak tentera laut Filipina juga telah dimaklumkan mengenai siasatan tersebut.