Lapan Didakwa Di Mahkamah, Dua Lagi Terus Ditahan
2015.09.14

Malaysia akan memfailkan tuduhan pada Selasa terhadap lapan orang yang disyaki menyokong kumpulan militan Negara Islam (IS) selepas mereka ditangkap bulan lalu, selain terus menahan dua orang lagi untuk siasatan lanjut di bawah undang-undang baru POTA.
Dua orang individu ini merupakan tahanan pertama dibawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) yang berkuatkuasa mulai 1 September lepas.
Undang-undang baru ini bertujuan untuk menangani keganasan dan ancaman dari pelbagai kumpulan militan termasuk kumpulan Negara Islam (IS) dan melaluinya pihak berkuasa boleh menahan mana-mana suspek sehingga 59 hari (termasuk tempoh reman awal), sebelum dibawa menghadap Lembaga Pencegahan Keganasan yang boleh mengenakan tahanan lanjut sehingga 2 tahun.
Tempoh tahanan boleh dilanjutkan jika lembaga memutuskan terdapat alasan yang munasabah dan ia juga boleh mengarahkan supaya seseorang itu dibebaskan jika difikirkan perlu.
Sepuluh individu ini kini ditahan di beberapa lokasi di seluruh negara sejak 19 Ogos lepas.
Polis Malaysia telah menahan sepuluh warga tempatan termasuk dua orang wanita kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS) serta mengumpul dana dan mengatur perjalanan ke Syria.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, kesemua 10 individu itu terdiri daripada enam orang anggota pasukan keselamatan, dua orang kakitangan kerajaan, seorang guru tadika dan seorang bekas pereka bentuk dalaman yang kesemuanya berusia antara 24 tahun dan 42 tahun ditahan di beberapa lokasi di seluruh semenanjung Malaysia.
Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay pada lewat Isnin berkata, mereka yang ditahan dibawah POTA itu ialah seorang guru tadika wanita berusia 35 tahun dan seorang anggota polis bantuan yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, kedua-duanya ditahan dibawah POTA untuk siasatan lanjut selama 38 hari dibawah Seksyen 4 (2) (II) memandangkan pihaknya mendapati suspek terlibat dalam kegiatan IS.
Tahan Tentera
Beliau berkata, dua daripada kesemua mereka yang ditahan bulan lepas itu adalah anggota komando dari Rejimen 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, mereka ialah Mohd Zuraidi Shafiq Zulkeflee, 27, dan Muhammad Adibzakir Zahri, 28.
Katanya, kedua-duanya akan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor kerana dipercayai menggalakkan orang awam untuk menjadi ahli kumpulan pengganas.
Tambah beliau, Mohammad Rosdan Mohammad Khir, 24, seorang anggota tentera di Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah akan didakwa di Mahkamah Majistret Gerik, Perak kerana dipercayai memiliki pelbagai maklumat berkaitan kumpulan militan IS
Ayub berkata, pendakwaan keatas seorang lagi anggota tentera iaitu Mohd Azidi Said, 28, akan dibuat di Mahkamah Majistret Port Dickson, Negeri Sembilan.
Katanya, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pula akan menjalankan pendakwaan terhadap seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Zakariya Ahmad, 27, kerana dipercayai memilihi maklumat berkaitan kumpulan IS.
“Dua pegawai kerajaan iaitu seorang wanita, Poziah Harun, 42, seorang Pegawai Perangkaan di Jabatan Perangkaan Negeri Kedah akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah manakala seorang juru x-ray Hospital Tuanku Fauziah Kangar, Perlis, dan Ahmad Kamil Ghazali, 24 akan di dakwa di Mahkamah Majistret Kangar kerana memiliki bahan-bahan berkaitan dengan kumpulan militan IS seperti majalah dalam talian DABIQ,’’ kata Ayub.
Katanya, seorang lagi akan didakwa di Mahkamah Majistret Kangar ialah seorang pereka grafik dalaman, Azlee Md Salleh, 30.
Sehingga kini, Malaysia telah menahan seramai 121 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu sejak tahun lepas. Daripada jumlah itu, enam telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Seramai 66 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS dipercayai berada di Syria dan Iraq dengan 11 dilaporkan terkorban sehingga Jun.