Panel Bebas Cegah Rasuah Ditempelak Berhubung Isu Pemilikan Saham Ketua SPRM
2022.01.05
Kuala Lumpur

Badan pemantau rasuah dan netizen Malaysia pada Rabu menempelak pengumuman sebuah panel bebas yang bertindak membersihkan pegawai tertinggi badan pencegah rasuah negara itu dari salah laku pembelian saham korporat dalam jumlah yang besar dengan menggunakan namanya.
Azam Baki yang merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam sidang media bersama Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menafikan adanya kesalahan jenayah berhubung pembelian saham tersebut dengan memberi alasan ianya tidak melibatkan sebarang konflik kepentingan.
Beliau turut berkata tuduhan terhadapnya itu adalah cubaan sesetengah pihak menjatuhkan imej beliau dan agensi pencegahan rasuah negara, manakala Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang memaklumkan bahawa panel berkenaan berpuas hati dengan penjelasan serta berpendapat Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan sendiri terhadap saham atas namanya itu.
Cynthia Gabriel, Pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) semasa dihubungi BenarNews berkata, tindakan LPPR membersihkan nama Azam Baki daripada sebarang salahlaku berkaitan saham korporat yang dimiliki beliau adalah satu tindakan yang kurang bijak.
“Siasatan LPPR tidak bersifat bebas untuk mengesahkan kebenaran dan perincian maklumat. Hanya badan bebas sahaja yang boleh membersihkan nama Azam Baki dan mengembalikan integriti SPRM.
“Adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk menggunakan nama individu lain untuk membeli saham, termasuk di kalangan ahli keluarga,”
“Azam Baki melanggar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berdasarkan pemilikan saham itu dan untuk ini, mengapa tiada tindakan tatatertib diambil terhadapnya?
Gabriel turut menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bebas bagi menyiasat isu ini tanpa bertangguh.
“Azam juga melanggar Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) yang memperuntukkan mana-mana akaun sekuriti yang dibuka mestilah atas nama pemilik benefisial,” tambah Pengarah C4 itu lagi.
Ahli Panel letak jawatan
Isu pemilikan saham oleh Azam mendapat perhatian umum bulan lalu apabila ahli akademik dan pakar ekonomi Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.
Gomez mendakwa “panel tersebut didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM” antara lain membabitkan dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Azam dalam sebuah syarikat senaraian awam.
Dalam surat yang tular di media sosial, Gomez mendakwa telah menulis kepada pengerusi panel berkenaan, Borhan Dolah dan juga pengerusi LPPR, Abu Zahar berhubung isu tersebut namun gagal mendapat sebarang maklumbalas.
Gomez menyifatkan ketiadaan perbincangan mengenai isu tersebut sebagai ‘sangat tidak bertanggungjawab’ dan ‘tidak berhati perut’.
Gomez sebelum ini dilantik sebagai panel untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jun 2020 hingga 31 Mei ini.
Pada 14 Disember, Anggota Parlimen Sungai Buluh Sivarasa Rasiah memfailkan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membincangkan dakwaan pemilikan hampir dua juta saham oleh Azam dalam sebuah syarikat tersenarai awam.
Sivarasa mendakwa Azam, sebagai pengarah siasatan SPRM antara 2015 dan 2016, menjadi pemilik 930,000 saham dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.
Beliau juga mendakwa Azam, setakat 21 Mac 2016, memiliki 2,156,000 waran dalam senarai awam Excel Force MSC Bhd manakala adik lelakinya memiliki 3,728,000 saham dalam Gets Global.
Pembohongan besar
Dalam pada itu, Azam semasa tampil memberi penjelasan pada sidang media bersama LPPR itu telah menafikan tuduhan yang beliau mempunyai banyak syarikat dibawah kawalannya dengan berkata, ia merupakan satu pembohongan yang besar.
“Dalam isu saham, saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tuduhan terdapat "conflict of interest" di pihak saya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas….
“Mengenai tuduhan yang mendakwa saya mengawal atau ‘control’ banyak syarikat, ini adalah satu ‘total lie’ atau satu pembohongan besar bagi mewujudkan satu persepsi negatif terhadap saya,” kata Ketua Pesuruhajaya SPRM itu.
“Saya telah jelaskan kepada Panel LPPR bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urusniaga beliau dan saya tiada kepentingan atau benefisial ke atas saham-saham yang dibeli itu.
“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.
“Akhirnya semua saham-saham tersebut telah dipindahkan kepada akaun saham beliau kemudiannya,” kata Azam dalam menjelaskan isu tersebut.
Berkaitan penggunaan akaun oleh adiknya, Azam berkata beliau tidak melihatnya sebagai perkara yang bertentangan dengan undang-undang.
“Saya tidak melihat ia menjadi satu isu jadi saya benarkanlah. Siapa-siapapun boleh menggunakan akaun untuk membeli saham di pasaran terbuka. Buktikan pada saya kalau ia satu kesalahan.
“Di sini saya ingin mengatakan bahawa setelah mendapatkan nasihat peguam, saya telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yg telah mencemarkan reputasi saya dan juga SPRM,” kata beliau.
Tiada keperluan tubuh RCI
Dalam sidang media yang sama Abu Zahar turut memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam kerana lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan diberikan oleh Azam pada November lepas.
“LPPR yang saya pengerusikan telah adakan satu mesyuarat khas pada 24 Nov bagi mendapatkan penjelasan Azam.
“Dalam pertemuan itu, Azam telah jelaskan kedudukan sebenar kepada kami bahawa nama beliau digunakan adiknya Nasir Baki untuk beli saham-saham berkaitan pada 2015 yang mana beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan diri bagi pembelian mahupun pemilikan saham-saham berkenaan.
“Dalam masa sama, pembelian saham dibuat di pasaran terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan semasa pembelian pada 2015. Bagaimanapun semua telah dipindahkan kepada Nasir Baki pada tahun berkaitan,” katanya.
Cubaan BenarNews mendapatkan komen daripada Gomez atas penjelasan yang dibuat oleh LPPR dan Azam bagaimanapun gagal kerana tidak mendapat sebarang jawapan.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam pada itu menzahirkan kebimbangan di atas pengumuman Abu Zahar berhubung dapatan inkuiri badan itu.
“Pada pandangan kami, kenyataan berkenaan tidak sepenuhnya menangani kebimbangan masyarakat awam mengenai integriti SPRM,” ujar ketua pegawai eksekutif IDEAS Tricia Yeoh.
“LPPR tidak menjalankan tugas dengan baik sekiranya membuat kesimpulan hanya berdasarkan penjelasan oleh Azam semata-mata.
"Yang penting ialah LPPR perlu menjelaskan kepada masyarakat awam sama ada Azam Baki telah memenuhi kriteria pengisytiharan harta berdasarkan kepada pekeliling kerajaan bertajuk ‘Surat Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2002 (Pemilikan dan Perisytiharan Harta oleh Pegawai Awam)’ yang memerlukan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka," tegasnya lagi.
Maklumbalas netizen
Rata-rata netizen memberikan maklumbalas negatif terhadap langkah LPPR membebaskan Azam daripada sebarang salah laku.
Zamzari Ahmad dalam ciapan balasnya berkata: “Adik dia tak tau yang dia (Azam) penjawat awam kenapa nak guna nama dia? Beli saham berjuta-juta di pelbagai syarikat pulak tu.”
Pengguna Twitter Patrick K C Chong pula membalas: “Tidak kukuh. Mudah untuk membuka akaun. Mengapa perlu menggunakan nama abang? Mengarut.”
Md Yousoff Noor Mohamed dalam ciapnya pula berkata: “Hanya dengan membenarkan atau menutup suatu kesilapan, kamu mungkin membuka lebih banyak pekung. SPRM mesti dilihat mempunyai Integriti. Ketua SPRM mungkin tidak bersalah namun kenyataan oleh Panel (LPPR) tidak akan menyakinkan masyarakat umum.”
Manakala Mahfuz Omar, ahli Parlimen pembangkang dari Parti Amanah Negara dalam ciapannya turut mempersoalkan mengapa adik Azam tidak menggunakan akaunnya sendiri bagi urusan pembelian saham berkenaan.
“Kenapa adik Tan Sri (Azam) tak guna akaun dia sendiri dan mengapa Tan Sri benarkan dia guna nama Tan Sri?” soalnya.
Adzman Kamaruddin, pemimpin dalam sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat di Selangor pula mempersoalkan penjelasan tersebut dalam ciapannya: “Jadi Najib Razak bolehlah guna alasan sama adik dia guna akaun untuk masukkan duit? Mungkin Azam Baki lupa terma “conflict of interest”.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.