Ketua Skuad Badar Bersama Ahli Didakwa di Mahkamah

Ali Nufael & Aiman Abd Razak
2019.02.25
Kuala Lumpur, Malaysia
190116-MY-Badar620.jpg Pasangan belum berkahwin dan ditangkap khalwat oleh Skuad Badar mendengar ceramah yang diberikan di atas tanah perkuburan di Sungai Petani, Kedah, 1 November 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Tujuh lelaki yang menganggotai Skuad Badar - badan bertindak Islam tanpa tauliah di Malaysia - termasuk ketuanya, Azhar Mohamad, didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani di negeri Kedah pada Isnin atas pertuduhan menjadi ahli pertubuhan yang menyalahi undang-undang negara.

Turut didakwa ialah Muhammad Faris Na’im Ahmad Faizal, 21; Shahidan Zakaria, 48; Muhaamad Hasmadi Othman, 40; Johari Awang, 51; Shahrul Nizam Shahrin, 35 dan Muhamad Farid Nazmi Ahmad Faizal, 25.

Azhar, 46, yang juga bekas tentera dan enam lelaki itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arif Mohammad Sharif.

Kesemua lelaki itu didakwa menganggotai Skuad Badar yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 antara 26 Sept 2017 hingga 13 Jan lalu di Pejabat Skuad Badar di Bandar Seri Astana, Sungai Petani.

Seksyen 43 akta itu memperuntuk hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar manakala semua tertuduh diwakili peguam Mohd Amirul Ramli dan Muhammad Arif Shaharuddin.

Majistret Arif Mohammad kemudian membenarkan kesemua diikat jamin RM2,000 (AS$491.80) dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut semula pada 11 Mac ini.

Ketika dihubungi BeritaBenar, Mohd Amirul berkata kesemua anak guamnya sudahpun membayar jaminan dan dibebaskan.

"Masing-masing dijamin oleh ahli keluarga," katanya ringkas.

Menurut Mohd Amirul lagi, Skuad Badar sudah menghentikan sebarang aktiviti sebelum ini seperti operasi maksiat selepas ketuanya Azhar ditangkap pihak polis.

“Tiada lagi operasi seperti dahulu. Sebarang aktiviti selepas ini hanyalah atas kapasiti individu dan hanya melibatkan ketuanya (Azhar) dan jika ditanya jika kumpulan ini sudah dibubarkan, susah juga saya nak jawab sebab ianya tidak pernah didaftarkan jadi pergerakan terhenti begitu sahaja,” kata Mohd Amirul kepada BeritaBenar.

Menurut beliau lagi, Azhar selepas ini hanya akan memberi ceramah agama di majlis-majlis agama yang dianjurkan oleh parti politik Umno dan Pas.

Pada 14 Jan lalu, Azhar ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi.

Pihak berkuasa turut menahan enam lagi individu yang merupakan ahli kumpulan itu.

Mereka dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas tempoh reman tamat.

Azhar turut memuatnaikkan gambar beliau dibawa ke mahkamah di laman sembang sosial Facebook pada sekitar jam 3 petang Isnin, yang mengundang komen pengguna laman itu, di mana rata-rata memberikan semangat kepada beliau untuk bersabar dan meneruskan perjuangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah, sebelum ini memberitahu BeritaBenar bahawa Azhar ditahan berikutan satu laporan polis yang difailkan seorang pegawai kanan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah [JHEAIK].

Pegawai itu turut mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa laporan polis yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook milik Azhar, adalah asli.

Menurut salinan laporan polis itu, Skuad Badar telah melakukan kerja-kerja penahanan dan penguatkuasaan tanpa tauliah selain merupakan pertubuhan yang tidak berdaftar.

Kumpulan itu didakwa memasuki premis tanpa kebenaran serta waran geledah selain tidak diiringi oleh mana-mana pegawai penguatkuasa agama JHEAIK dengan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Skuad Badar dikenali di daerah Sungai Petani dengan aktiviti memeriksa bilik-bilik di hotel murah dan menahan pasangan Melayu Islam yang berkhalwat sebelum dibawa ke tanah perkuburan terdekat bagi sesi tarbyiah dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Pada 14 Nov lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusuf Rawa berkata aktiviti Skuad Badar adalah menyalahi undang-undang kerana mengambil tindakan sendiri tanpa izin daripada pihak berkuasa.

"Penguatkuasaan mesti dilakukan berasaskan undang-undang. Mereka yang mengambil tindakan sendiri di atas nama Islam telah memburukkan nama Islam walaupun niat mereka baik," kata Mujahid.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.