Malaysia: Rekrut Ikrar Kesetiaan IS Melalui Aplikasi Media Sosial
2017.02.09
Kuala Lumpur

Ramai dikalangan anggota baru yang direkrut di Malaysia mempercepatkan upacara angkat sumpah menyertai kumpulan pelampau Negara Islam (IS) melalui aplikasi dalam talian, kata Ketua Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] pada Khamis.
Sumpah kesetiaan dikenali sebagai "Bai'ah", dalam Bahasa Arab bermaksud "kesetiaan" - hanya mengambil masa kira-kira seminit melalui aplikasi seperti Telegram, dan ini membolehkan IS meningkatkan jumlah anggota barunya dengan lebih cepat kerana mereka tidak perlu lagi mengangkat sumpah secara tradisional di hadapan seorang pemimpin IS, kata Ayob Khan Mydin Pitchay.
Kebanyakan mereka yang menyertai kumpulan dan telah ditangkap oleh cawangan khas PDRM, dipercayai telah bersumpah dalam talian tanpa menemui pemimpin IS, kata pegawai kanan polis itu.
"Pada masa dahulu, anggota baru perlu menghadiri satu majlis dan bersalaman dengan pemimpin. Hari ini, mereka boleh melakukannya dalam talian, dengan hanya menggunakan aplikasi, " kata Ayob tanpa memberi angka berapa ramai anggota IS Malaysia telah berbuat demikian.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 271 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dimana 66 individu telah pun dibebaskan, menurut angka terbaru daripada kerajaan.
"Mereka berbuat demikian kerana mahu mengembangkan pengaruh kumpulan pengganas mereka dan sekaligus mempunyai anggota di mana-mana. Dengan kemajuan teknologi, Bai'ah boleh dilakukan di mana sahaja. Mereka juga boleh menggunakannya untuk mengumpul data keanggotaan mereka di seluruh dunia, " kata Ayob.
Petani dipenjara ada kaitan IS
Mengenai anggota IS lain yang ditahan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa telah menyabitkan seorang petani berusia 25 tahun, Zairosfitri Jainuddin Azhar, dengan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mempunyai kaitan dengan IS.
Penyiasat mendakwa, beliau telah menyatakan sokongannya kepada IS melalui akaun kumpulan Telegram yang dikenali sebagai Gagak Hitam yang digunakan oleh sel militan tempatan.
Zairosfitri bersama 66 ahli kumpulan chat itu menyertainya dengan menggunakan nama samaran "zairos sijack" pada 25 Mac 2016, menurut siasatan.
Kumpulan Gagak Hitam diketuai oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, pejuang IS yang berpangkalan di Syria didakwa merancang serangan bom yang mencederakan lapan pelanggan di kelab malam yang terletak di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur tahun lepas
Warga Filipina didakwa
Sementara itu, penyiasat Malaysia telah mendakwa seorang lelaki Filipina atas kesalahan cuba melatih anggota IS serta memiliki kad pengenalan palsu [MyKad] menurut laporan media tempatan pada Khamis.
Lelaki itu, yang dikenalpasti sebagai Nurhan Sahi Hakim, dari Zamboanga, Filipina, seorang penjual jam tangan dalam talian, telah dijatuhi hukuman penjara sehingga 30 bulan oleh sebuah mahkamah di Kota Kinabalu, Sabah, serta didenda RM1,000 (AS$225), atau boleh menerima hukuman tambahan tiga bulan penjara sekiranya dia gagal membayar denda, kerana mengakui memiliki Kad Pengenalan palsu
Nurhan diminta hadir di mahkamah pada 8 Mac depan bagi menghadapi tuduhan yang lebih serius, termasuk di antaranya, cuba merekrut orang lain untuk menyertai IS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 13 Jan lepas, menurut seorang penyiasat.
Nurhan berdepan dengan hukuman penjara sehingga 30 tahun, jika disabit kesalahan.