Malaysia, Indonesia Suarakan Kebimbangan Terhadap Sekatan Imigresen Trump

Ismira Lutfia Tisnadibrata & Hadi Azmi
2017.02.03
Jakarta & Kuala Lumpur
170203-SEA-usban-1000.jpg Penunjuk perasaan membuat bantahan di luar pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur terhadap larangan imigresen oleh pentadbiran Trump ke atas tujuh negara Islam di Timur Tengah dan Afrika yang dilaksanakan oleh negara itu, 3 Feb, 2017.
AFP

Langkah Amerika Syarikat yang menyekat rakyat daripada tujuh negara Islam daripada memasuki negaranya atas alasan keselamatan boleh membahayakan usaha memerangi keganasan, Kementerian Luar Indonesia berkata minggu ini, manakala Malaysia meminta penjelasan tentang bagaimana dasar itu akan memberi kesan terhadap rakyat Malaysia.

Tetapi kedua-dua negara Asia Tenggara itu bukan antara negara yang dikenakan larangan berkenaan.

Perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Donald Trump minggu lalu mengenakan larangan 90 hari ke atas rakyat daripada tujuh negara - Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman - daripada memasuki Amerika Syarikat. Ia juga membekukan selama sekurang-kurangnya 120 hari kemasukan pelarian dari mana-mana negara di dunia, serta turut menghalang pelarian Syria daripada masuk ke Amerika.

"Walaupun ini adalah hak kedaulatan Amerika Syarikat, Indonesia meluahkan kekesalan mendalam terhadap dasar tersebut, kerana ia mungkin akan memberi kesan negatif terhadap usaha global dalam memerangi keganasan dan pengendalian isu-isu berkaitan pelarian," Arrmanatha Nasir, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia, memberitahu BeritaBenar dalam satu mesej teks.

"Adalah salah untuk mengaitkan radikal dan keganasan dengan agama tertentu," katanya.

Presiden Joko "Jokowi" Widodo berkata rakyat Indonesia tidak perlu bimbang mengenai larangan itu.

"Kita tidak ada kaitan dengan dasar itu, jadi mengapa perlu bimbang?" kata beliau dalam satu kenyataan.

Indonesia adalah negara paling ramai penduduk Islam di dunia. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang terdiri daripada 57 negara-negara Islam, termasuk Indonesia dan Malaysia, serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] telah menyuarakan kebimbangan  dengan tindakan yang dilihat sebagai diskriminasi terhadap umat Islam.

Malaysia tidak terbabit: Kedutaan

Di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, kira-kira 100 penunjuk perasaan pada Jumaat membuat bantahan terhadap larangan itu di luar pejabat Kedutaan AS. Mereka menyampaikan surat kepada Duta Amerika, di mana mereka menyifatkan larangan itu sebagai memecah-belahkan dan mencemar agama Islam.

"Perintah eksekutif itu akan mewujudkan pemisahan di kalangan penduduk dunia yang berbeza agama dan asal-usul. Ia juga akan mengukuhkan persepsi yang salah terhadap Islam, dan merosakkan reputasi rakyat ketujuh-tujuh negara berkenaan; pengorbanan agama di negara-negara yang dilanda perang, " kata surat yang ditandatangani oleh pelbagai parti dalam pakatan pembangkang.

Kementerian Luar Negara Malaysia telah meminta penjelasan daripada kedutaan, selepas sebuah akhbar Malaysia melaporkan bahawa seorang rakyat Malaysia adalah di antara 71 pelancong asing yang ditahan oleh pihak berkuasa imigresen di Lapangan Terbang John F. Kennedy di New York, kerana dasar baru itu.

"Kementerian telah meminta penjelasan daripada  Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sama ada larangan perjalanan itu melibatkan Malaysia dan rakyatnya. Rakyat Malaysia yang mempunyai visa dan dokumen perjalanan yang sah dibenarkan untuk memasuki Amerika Syarikat, " kata seorang pegawai dalam satu kenyataan.

Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menyatakan, rakyat Malaysia boleh membuat perjalanan ke Amerika Syarikat dengan visa yang sah, dan ini menunjukkan bahawa Malaysia "tidak terjejas" dengan perintah eksekutif.

‘Selektif dan diskriminasi’

OIC menggesa pentadbiran Trump untuk menimbang semula perintah yang dibuat secara menyeluruh dan menyatakan ini akan "merumitkan lagi keadaan yang semakin meruncing yang kini dihadapi oleh pelarian."

"Tindakan selektif dan diskriminasi seperti itu hanya akan meluapkan semangat pelampau  radikal dan akan dijadikan bahan api oleh penyokong keganasan pada waktu kritikal ketika OIC dan rakan-rakannya, termasuk Amerika Syarikat, sedang bertungkus-lumus memerangi ekstremisme dan keganasan dalam pelbagai bentuk, " badan Islam sedunia itu berkata dalam satu kenyataan.

Antonio Guterres, Setiausaha Agung baru PBB, turut mempunyai sentimen yang sama dan meminta AS untuk menarik balik larangan tersebut.

"Langkah-langkah tersebut sememangnya melanggar prinsip asas kami dan saya fikir bahawa ianya tidak berkesan jika tujuannya adalah untuk benar-benar megelak pengganas daripada  memasuki Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita pada Rabu, menurut Agence France-Presse [AFP].

Mengejar pelampau

Pentadbiran Trump mempertahankan tindakannya dengan berkata ia tidak menyasarkan orang yang mengamalkan Islam dan bahawa ia bertujuan untuk menghentikan pengganas asing atau penjenayah dari menyusup masuk ke AS.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat Jabatan Keselamatan AS menyenaraikan beberapa jenis pelawat dari tujuh negara yang larangan 90 hari untuk masuk ke Amerika Syarikat tidak terlibat, termasuk pemegang pasport dual dan diplomat.

"Yang penting, tujuh negara ini adalah satu-satunya negara yang sekatan kemasukan seketika digunapakai. Tiada negara lain menghadapi layanan sedemikian. Ataupun mana-mana negara lain dikenal pasti dikenakan sekatan kemasukan pada masa depan buat masa ini, ia bertentangan dengan laporan palsu," kata kenyataan itu.

Ia juga berkata bahawa pada masa akan datang kerajaan AS akan memaklumkan terlebih dahulu kerajaan negara asing yang mereka perlu memberikan maklumat lanjut mengenai rakyat mereka yang ingin masuk ke Amerika Syarikat.

"Matlamatnya adalah untuk memastikan bahawa mereka yang dipilih memasuki negara ini tidak mempunyai sikap bermusuhan terhadap Amerika Syarikat dan prinsip-prinsip asasnya," katanya.

"Akibat [daripada] penapisan pelampau [oleh AS] akan meningkatkan radikalisme di dalam Amerika sendiri," kata Rakyan Adibrataa, seorang pakar keselamatan yang berpusat di Jakarta, memberi amaran.

“Langkah unilateral oleh kerajaan Amerika Syarikat yang baru, Rakyan memberitahu BeritaBenar, boleh "menjadi alasan bagi negara-negara yang sudah membenci Amerika untuk membencinya lebih lagi,”


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.