Malaysia Tahan Bekas Diplomat Didakwa Terlibat Bunuh Pemimpin Pada 1975
2022.02.10
Dhaka & Kuala Lumpur

Malaysia pada Khamis mengumumkan penahanan bekas diplomat Bangladesh ke Kuala Lumpur dan kini menunggu untuk diekstradisi ke negara asal, yang didakwa terlibat dalam pembunuhan di penjara pada 1975 membabitkan empat pegawai kanan kerajaan yang telah digulingkan.
M. Khairuzzaman, bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, adalah seorang pegawai tentera yang telah bersara dan tinggal di Kuala Lumpur selama lebih sedekad.
“Kami beraharap dapat membawa beliau pulang tidak lama lagi,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Bangladesh M. Shahriar Alam kepada pemberita di Kementerian Luar di Dhaka pada Khamis.
“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Undang-Undang akan sama-sama meneliti jika terdapat peluang untuk menghidupkan semula kes terhadapnya (pembunuhan di penjara) atau langkah selanjutnya yang boleh diambil.”
Shahriar berkata Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah mengeluarkan notis bertulis kepada kerajaan Bangladesh berhubung penahanan Khairuzzaman kerana “melanggar undang-undang imigresen.”
“Mereka yang ditahan atas isu imigresen Malaysia ditempatkan di pusat deportasi untuk dihantar pulang ke negara asal. Beliau juga ditahan di sana,” kata Shahriar.
“Setakat yang saya tahu atau faham, terdapat peluang untuk menyoal siasat beliau secara fizikal sekali lagi berhubung kes pembununhan di penjara itu,” katanya. “Kementerian Undang-Undang boleh menjelaskan perkara ini.”
Khairuzzaman sebelum ini dikaitkan dengan kemelut yang membawa kepada kudeta tentera pada Ogos 1975 apabila pemimpin pengasas Bangladesh, yang juga bapa perdana menteri ketika ini, telah dibunuh. Dua puluh sembilan tahun kemudian, apabila Bangladesh dipimpin oleh parti yang kini merupakan pembangkang utama, sebuah mahkamah telah membebaskan Khairuzzaman daripada kesemua pertuduhan.
Shahriar turut disoal sama ada Khairuzzaman dihantar pulang susulan kes berkaitan pembunuhan di penjara pada 1975 itu.
“Jika mana-mana ekspatriat melakukan jenayah, jika seseorang itu tinggal melebihi tempoh atau terjumlah dalam keadaan yang luar biasa, kami akan membawanya pulang. Proses itu akan disusuli dengan kes terhadapnya,” katanya. “Kerajaan Malaysia memaklumkan kami bahawa beliau telah melanggar undang-undang imigresen dan kami membawa pulang seorang warganegara Bangladesh, itu sahaja.”
Di Malaysia pada Khamis, seorang pegawai kerajaan mengesahkan bahawa pihak berkuasa tempatan telah menahan Khairuzzaman, yang merupakan pemegang kad pelarian PBB, di rumahnya di Ampang dekat Kuala Lumpur.
“Ya, beliau telah ditahan pagi semalam dan akan dihantar pulang ke Bangladesh. Jabatan Imigresen telah membantu polis Bangladesh dalam penahanan ini,” kata sumber yang merupakan pegawai kanan kerajaan, yang meminta identitinya dirahsiakan kerana beliau tidak diberikan kuasa untuk bercakap dengan media, kepada BenarNews.
Di Putrajaya, Menteri Dalam Negeri Malaysia Hamzah Zainuddin memberitahu pemberita bahawa penahanan Khairuzzaman adalah sah di sisi undang-undang.
“Berdasarkan prosedur perundangan sedia ada, jika terdapat kesalahan, kita tahan, atau jika terdapat permintaan dari negara asal yang kita rasa ada kebenarannya,” kata Hamzah kepada pemberita.
“Segala apa yang berlaku, kita buat megikut prosedur,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Khairuzzaman dan seorang lagi kakitangan tentera didakwa membunuh empat pemimpin pengasas Bangladesh iaitu Syed Nazrul Islam, Tajuddin Ahmad, M. Mansur Ali dan A.H.M. Quamruzzaman di dalam Penjara Pusat Dhaka pada November 1975.
Ia susulan pembunuhan Sheikh Mujibur Rahman, yang merupakan pemimpin pengasas Bangladesh dan bapa Perdana Menteri Sheikh Hasina.
Sheikh Mujibur Rahman, presiden pengasas Bangladesh (tengah), melambai kepada penyokongnya dari atas sebuah kenderaan bergerak berhampiran lapagan terbang Dhaka selepas meringkuk lebih sembilan bulan di dalam sebuah penjara di Pakistan, 10 Jan 1972. Sheikh Mujibur telah dibunuh dalam kudeta tentera pada Ogos 1975, dan dua lelaki yang berdiri di sebelah kiri beliau iaitu Tajuhuddin Ahmad, perdana menteri pertama (yang memegang bunga), dan Mansur Ali, seorang lagi pegawai kanan dalam Kabinet (berkaca mata, berdiri di belakang lelaki yang memakai kopiah kelabu) telah dibunuh di dalam Penjara Pusat Dhaka pada November 1975. [Foto AP]
Tiga lagi defendan telah disabitkan dengan kesalahan dan dihukum mati pada 2004 iaitu hampir tiga dekad selepas pembunuhan itu. Dua tahun kemudian, Mahkamah Tinggi membebaskan dua defendan dan mengekalkan hukuman mati defendan ketiga. Pendakwaan mengemukakan rayuan dan pada 2013, ketiga-tiganya, yang melarikan diri, telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan.
Khairuzzaman pula telah dibebaskan daripada pertuduhan sama pada 2004. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar setahun sebelum itu dalam kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri Khaleda Zia, yang merupakan seteru Hasina.
Khairuzzaman telah berkhidmat sebagai diplomat di Kuala Lumpur ketika Hasina kembali berkuasa pada 2009. Selepas diarahkan kembali ke Dhaka, beliau memilih untuk tinggal di Malaysia dan menerima kad pelarian daripada UNHCR.
“Tidak ada undang-undang atau peraturan yang sepatutnya digubal oleh PBB dengan kepentingan negara anggota terjejas atau proses perundangan dihalang,” kata Shahriar ketika ditanya mengenai kad itu. “Ia tidak sepatutnya berlaku. Kami akan meneliti perkara ini.”
Peguam hak asasi manusia Malaysia Sumitha Shaanthinni berkata negara itu bukan penandatangan konvensyen pelarian jadi ia tidak mempunyai obligasi untuk memberikan perlindungan kepada pelarian dan menambah bahawa kehadiran UNHCR di Malaysia adalah atas dasar kemanusiaan.
“Bagaimanpun, pakar undang-undang berhujah bahawa Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat secara keseluruhannya – termasuk untuk mencari suaka – telah menjadi sebahagian daripada undang-undang antarabangsa. Oleh itu, tiada negara yang sepatutnya melanggar prinsip undang-undang antarabangsa ini dengan menghantar pulang pencari suaka ke negara asal,” katanya.
Merujuk kepada isu Rohingya, beliau berkata Malaysia sudah berulang kali melanggar prinsip ini dengan menghantar pulang pemegang kad pelarian UNHCR.
Para pegawai UNHCR di Kuala Lumpur belum memberikan maklum balas terhadap pertanyaan BenarNews mengenai kes Khairuzzaman dan penghantaran pulang beliau.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di ibu negara Malaysia enggan mengulas ketika dihubungi BenarNews. Pihak imigresen dan polis Malaysia juga tidak memberikan maklum balas ketika diminta memberikan kenyataan berhubung perkara itu.