Mahkamah Malaysia tangguh penghantaran pulang ahli politik pembangkang Bangladesh
2024.01.18
Kuala Lumpur
Sebuah mahkamah di Malaysia pada Khamis menangguhkan penghantaran pulang seorang ahli politik pembangkang Bangladesh yang ditahan minggu lepas di Kuala Lumpur atas permintaan Dhaka, yang disifatkan oleh keluarga dan kumpulan hak asasi manusia sebagai tindakan keras terhadap kerajaan negara Asia Tenggara itu.
MA Quayum, yang berlindung di Malaysia sejak 2015, telah ditahan pada Jumaat atas alasan berkaitan isu imigresen, kata Ketua Polis Malaysia Razarudin Husain kepada BenarNews.
"Penahanan itu sememangnya benar, ia dibuat atas alasan membabitkan isu imigresen. [Bangladesh] telah meminta penahanan itu kerana pasportnya telah dibatalkan,” kata Razarudin tanpa mengulas lanjut.
Quayum telah didakwa dalam satu kes pembunuhan pada 2015 di negara asal namun telah melarikan diri ke Malaysia pada tahun yang sama dan sejak itu mendapat status pelarian PBB, jadi tindakan menghantar beliau pulang akan terjumlah kepada penghantaran pulang secara tidak sah,” kata peguamnya Kee Shu Min.
"Saya telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat di Balai Polis Daerah Ampang Jaya bahawa kes Quayum akan dipindahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses penghantaran pulang,” hujahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam permohonan habeas corpus yang difailkan pada 15 Jan lepas.
Permohonan itu juga menyatakan bahawa keluarga Quayum bimbang beliau akan diseksa atau dibunuh jika dihantar pulang.
Menerusi afidavit yang dikemukakan kepada mahkamah, anak perempuan Quayum berkata ibunya telah menerima panggilan telefon pada 12 Jan lepas mengenai penahanan bapanya dan beliau diminta membawa pasport ahli politik itu ke balai polis.
"[Ketika itu, polis] hanya memaklumkan bahawa terdapat maklumat yang menunjukkan pasport bapa saya baru-baru ini telah dibatalkan oleh kerajaan Bangladesh. Saya dan keluarga amat terkejut apabila mengetahui tentang pembatalan pasport itu,” katanya dalam afidavit itu.
"Saya yakin bahawa bapa saya telah ditangkap dan ditahan bukanlah disebabkan oleh sebarang kesalahan yang dilakukannya … Saya percaya penahanannya adalah untuk menghantar beliau pulang ke Bangladesh secara paksa secepat mungkin.”
Tarikh pendengaran permohonan habeas corpus Quayum bagi mencabar penahanannya ditetapkan pada 5 April.
‘Penahanan semberono berleluasa’
BenarNews telah menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Shameem Ahsan, yang mendakwa tidak mengetahui penahanan itu.
“Kami tidak tahu apa-apa secara rasminya," kata beliau.
Quayum menyertai parti pembangkang utama di Bangladesh iaitu Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang memboikot pilihan raya umum pada 7 Jan sebagai protes terhadap kerajaan Sheikh Hasina di negara Asia Tenggara itu.
Beliau berdepan pertuduhan berkaitan pembunuhan seorang warga Itali Cesare Tavella pada 2015 di Dhaka. Ketika itu, ahli BNP mendakwa pertuduhan itu adalah bermotifkan politik.
Quayum pula mendakwa beliau berdepan penganiayaan politik dan telah melarikan diri ke Malaysia ketika pembunuhan itu berlaku untuk meminta suaka sebagai pelarian daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian.
Setahun selepas kematian Tavella, sebuah agensi penguatkuasa di Bangladesh yang dikenali sebagai Rapid Action Battalion (RAB) berkata ia telah menemukan bukti yang menunjukkan bahawa warga Itali itu telah ditembak mati oleh kumpulan militan.
Namun Quayum masih dikehendaki bagi kes pembunuhan itu.
Para penyokong Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) mengibarkan bendera parti itu semasa satu perhimpunan di kawasan Naya Paltan di Dhaka, 28 Okt 2023. [Mohammad Ponir Hossain/Reuters]
Sementara itu, SUARAM, sebuah kumpulan hak asasi manusia Malaysia, mendakwa Quayum telah ditahan dalam satu operasi yang dikendalikan oleh polis Malaysia dan National Security Intelligence (NSI) of Bangladesh.
Kumpulan hak asasi itu berkata, permintaan Dhaka adalah sebahagian daripada tindakan keras sistematik oleh kerajaan Hasina terhadap blok politik pembangkang.
"Sejak tahun lepas sehinggalah pilihan raya umum Bangladesh baru-baru ini, pelbagai kumpulan hak asasi manusia antarabangsa telah melaporkan penangkapan semberono yang berleluasa, penahanan, penyeksaan dan layanan buruk terhadap pemimpin pembangkang dan ahli parti BNP oleh pihak berkuasa,” kata Sevan Doraisamy, Pengarah Eksekutif SUARAM, dalam kenyataan pada lewat Rabu.
"Ramai berdepan pertuduhan yang direka sehingga memaksa sesetengahnya menyembunyikan diri. Malah ahli blok pembangkang dan aktivis yang berada dalam buangan di luar negara turut menjadi sasaran penganiayaan.”
‘Dilibat atas alasan politik’
Di Dhaka pada Khamis, BNP mengulangi kenyataan bahawa Quayum telah dilibatkan atas alasan politik dan kerajaan Bangladesh begitu ghairah untuk menghukum beliau.
"Kami percaya beliau tidak terlibat dalam sebarang kes bunuh. Rasanya beliau telah dilibatkan atas alasan politik. Kerajaan tidak mahu bertoleransi dengan keberadaan beliau di luar negara dan begitu ghairah untuk menghukumnya," kata Ahli Jawatankuasa Tetap BNP Nazrul Islam Khan kepada BenarNews
"Kami menjangkakan beliau menerima perlindungan yang diberikan kepada individu dengan status pelarian."
Quayum adalah pemegang kad pelarian UNHCR – yang kini telah diserahkan kepada polis – dan merupakan seorang pemegang visa Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), kata anak perempuannya dalam afidavit yang dikemukakan kepada mahkamah sebagai sokongan kepada permohonan habeas corpus.
UNHCR Malaysia pula enggan mengulas ketika diminta memberi kenyataan berhubung perkara itu oleh BenarNews.
Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokolnya. Kad pelarian UNHCR mengiktiraf dan melindungi pelarian serta pemohon suaka di bawah prinsip tiada penghantaran pulang secara paksa.
Ini bermakna pelarian tidak boleh dihantar pulang ke negara asal di mana mereka mungkin dianiaya, diseksa, diberikan layanan buruk atau hak asasi manusia mereka dicabuli dalam cara lain.
Pelarian juga dilarang dihantar pulang jika tindakan itu mengundang situasi yang boleh membahayakan nyawa tanpa mengira status negara dalam Konvensyen itu, demikian menurut UNHCR di laman sesawangnya.
Jesmin Papri dan Ayon Aman di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.