Bangladesh Akan Hantar Pekerja Ke Malaysia: Menteri
2016.11.16
Dhaka, Bangladesh

Penganggur Bangladesh boleh mula mencari pekerjaan di Malaysia seawal bulan depan, kata Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Nurul Islam selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia.
Berikutan perbincangan pada Selasa dengan Richard Riot, Menteri Sumber Manusia Malaysia, Nurul Islam memberitahu pemberita bahawa penerbangan membawa pekerja Bangladesh ke negara itu boleh bermula seawal minggu pertama bulan Disember.
"Tidak lama lagi, Malaysia akan mula mengambil pekerja Bangladesh untuk sektor pembinaan, perladangan dan pembuatan," kata pejabat Menteri itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
"Menteri Malaysia berkata mereka akan mula merekrut pekerja dari Bangladesh tidak lama lagi dan kerajaan negara itu juga bersedia untuk mengambil pekerja dari Bangladesh."
Islam, bagaimanapun, tidak memaklumkan jumlah bilangan warga Bangladesh yang akan mencari pekerjaan di ketiga-tiga sektor itu di Malaysia, dan Riot kembali ke Malaysia pada Rabu selepas lawatan dua hari beliau tanpa memberi kenyataan kepada media.
Ketika dihubungi di Kuala Lumpur pada petang Rabu, Peter Dennis, Setiausaha Sulit Kanan Richard Riot enggan mengulas, sambil memaklumkan kepada BeritaBenar bahawa menteri itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pertemuan di Dhaka.
Jumlah belum diketahui
Tiada perjanjian telah ditandatangani pada mesyuarat kali ini di ibu negara Bangladesh itu, dan tidak jelas sama ada perbincangan terkini adalah susulan daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada Februari lepas..
Laporan awal sebelum ini menyebut yang Kuala Lumpur telah bersetuju untuk merekrut seramai 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi pekerjaan dalam sektor pertanian dan perkilangan.
Tetapi sehari selepas MoU itu ditandatangani, Malaysia telah mengumumkan moratorium terhadap semua pekerja asing baru dari Bangladesh dan juga negara lain. Pada bulan Mei pula, pegawai imigresen Malaysia berkata, ada rancangan untuk memberi kelonggaran kepada dasar pengambilan pekerja asing dengan syarat majikan dapat membuktikan bahawa pekerja asing berkenaan penting untuk perniagaan mereka, menurut laporan dalam Malay Mail Online.
Kira-kira 300,000 warga Bangladesh bekerja di Malaysia, menghantar kira-kira 110 bilion taka ($1.4 bilion) pulang ke tanah air setiap tahun, menurut perangkaan kerajaan.
Berita mengenai perbincangan dua hala terkini di Dhaka itu telah menarik ramai penganggur ke Biro Tenaga Manusia, Pekerjaan dan Latihan Bangladesh di ibu negara tersebut dengan agensi-agensi merekrut mula berjanji untuk mencari pekerjaan kepada pelanggan mereka dengan kos 40,000 taka (AS$507) seorang.
Kami tidak boleh memikirkan bagaimana ramainya rakyat Bangladesh akan berpeluang untuk pergi ke Malaysia. Agensi merekrut akan menghubungi majikan di Malaysia dan seterusnya menghantar ke destinasi mereka, mengenakan bayaran kira-kira 40,000 taka bagi setiap seorang.
Tetapi saya fikir ada kemungkinan untuk menghantar orang [dalam] jangka waktu dua minggu seperti yang dinyatakan oleh Menteri, "Jahangir Alam, Pegawai Penerangan Kementerian Kebajikan Ekspatriat', memberitahu BeritaBenar pada Rabu.
Beliau berkata kerajaan akan terlibat dalam proses gunatenaga supaya agensi merekrut tidak mengeksploitasi pekerja.
Kebimbangan
Sementara itu, kumpulan hak asasi migran mempersoalkan kemungkinan rakyat Bangladesh diberi peluang bekerja di Malaysia dalam masa terdekat.
"Anda patut melihat bagaimana menteri memberi komen yang telah memberi kesan terhadap pengganggur dan belia miskin: mereka telah mula melawat ejen pengambilan dengan membawa wang. Tiada siapa yang tahu bagaimana caranya untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia dalam masa kurang daripada dua minggu, " Syed Saiful Haque, pengerusi Yayasan Pembangunan Warbe, kumpulan yang menyokong hak-hak pendatang memberitahu BeritaBenar.
Beliau berkata, orang tengah yang menerima rasuah sudah tentu akan memancing belia miskin dan buta huruf serta keluarga mereka dengan janji-janji pekerjaan di Malaysia sambil mengenakan bayaran.
"Mereka pergi mencari broker dan ejen, kerana kerajaan tidak membuat sebarang kenyataan yang jelas mengenai prosedur untuk bekerja di Malaysia. Orang tengah akan mengambil kesempatan. Mereka akan memberitahu setiap pekerja bahawa jika mereka tidak membayar wang yang lebih, maka mereka tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Oleh itu ramai orang akan menjual tanah dan barang-barang berharga untuk diberikan kepada orang tengah, "kata Haque.
Razlan Rashid di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.