Singapura Penjara Empat Warga Bangladesh Biayai Keganasan

Hata Wahari
2016.07.12
Kuala Lumpur
160712-my-bd-sg-motorcade-620 Kereta perisai yang digunakan untuk membawa empat warga Bangladesh yang disabitkan atas tuduhan berkaitan keganasan dilihat di luar sebuah mahkamah di Singapura, 12 Julai 2016.
AFP

Mahkamah Singapura pada Selasa telah memenjarakan empat pekerja asing warga Bangladesh antara 24 dan 60 bulan kerana membiayai keganasan di negara mereka, menurut laporan media negara itu.

Kesemua mereka yang berusia antara 26 dan 31, mengaku bersalah atas semua pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara di bawah Akta Pembiayaan Keganasaan negara itu.

Mereka juga adalah kumpulan pertama yang disabitkan atas kesalahan di bawah akta berkenaan di Singapura, menurut laporan Agence France-Presse [AFP].

Keempat-empat lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada lapan anggota kumpulan pengganas Negara Islam Bangladesh (ISB) yang diketuai oleh Rahman Mizanur seorang pemegang pas khas Singapura [S-Pass] yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada April lepas.

Hakim Daerah, Kessler Soh berkata dalam menjatuhkan hukuman bahawa keganasan membawa "ancaman bukan sahaja kepada masyarakat di negara itu tetapi masyarakat antarabangsa secara menyeluruh".

"Pembiayaan keganasan dan sebarang tindakan menyokong keganasan mesti terus dikutuk dan dihalang," kata hakim berkenaan seperti dilaporkan oleh AFP pada Selasa.

Rahman, 31, dijatuhi hukuman 60 bulan penjara setelah didapati bersalah atas dua tuduhan pembiayaan keganasan dan berjaya mengumpulkan kira-kira RM3,000 [AS$757] antara 20 Mac dan 25 Mac, disamping aktif merekrut ahli-ahli baru melalui dana yang dikumpulkan itu, menurut laporan akhbar ‘Singapore Today’.

Manakala, Miah Rubel, 26; dan Md Jabath Kysar Haje Norul Islam Sowdager, 30;  masing-masing dijatuhkan hukuman 30 bulan penjara setiap seorang, dengan Sohel Hawlader Ismail Hawlader, 29, mendapat hukuman penjara selama dua tahun.

Hukuman ke atas mereka berkuatkuasa mulai 27 Mei lepas, iaitu ketika mereka dibawa ke mahkamah untuk didakwa buat kali pertama. Kesemua mereka telah mengaku bersalah kepada mahkamah semasa dibicarakan pada 31 Mei lepas.

Manakala dua lagi iaitu Zzaman Daulat, 34 dan Mamun Leakot Ali, 29 mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Dua lagi warga Bangladesh yang ditahan bersama kesemua lelaki terbabit masih lagi belum diambil tindakan di bawah undang-udang yang membenarkan penahanan tanpa bicara itu.

Mengaku keliru

Singapore Today melaporkan Rahman ketika memohon diringankan hukuman memberitahu mahkamah bahawa beliau telah dikelirukan oleh rakan dan media sosial serta kesal dengan kesalahannya itu.

“Ini adalah kesalahan saya yang terbesar, saya memohon maaf atas kesalahan ini dan aktiviti yang salah, saya amat menyesal… Saya mempunyai anak yang baru lahir dan saya mahu melihat dia, saya berjanji, saya tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan,’’ katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Rahman mengasaskan ISB, selepas beliau cuba mendapatkan visa ke Turki dan Algeria, untuk menyertai kumpulan pengganas IS di Iraq dan Syria.

Mahkamah diberitahu, setiap ahli ISB telah bersumpah untuk mengikuti dalang IS Abu Bakr al -Baghdadi sehingga mati dengan memegang peranan dan tanggungjawab tertentu.

Rahman kemudian menjalankan kempen untuk mendapatkan dana bagi membeli senjata supaya dapat melakukan serangan di Bangladesh, dengan kesemua anggota ISB bersetuju  menyumbang sebahagian daripada gaji mereka terhadap inisiatif  itu.

Keempat-empat mereka tidak mempunyai wang untuk melantik peguam,* dengan undang-undang Singapura pula tidak membenarkan mereka untuk mendapatkan bantuan guaman jika disabit atas kesalahan membiayai keganasan, menurut AFP.

Januari lepas, Kementerian Dalam Negeri Singapura mendedahkan bahawa 27 pekerja binaan warga Bangladesh telah ditahan atas kesalahan berkaitan keganasan dan didapati mahu melancarkan jihad bersenjata di luar negara. Kesemua mereka telah dihantar pulang ke negara masing-masing.

‘Radikal’

Dalam pada itu, Jurucakap Polis Metropolitan Dhaka, Masudur Rahman semasa dihubungi BeritaBenar berkata mereka yang didapati bersalah di Singapura itu perlu menjalani hukuman menurut undang-undang negara berkenaan.

“Kecuali kedua-dua negara memutuskan sebaliknya,” katanya kepada BeritaBenar semasa diminta mengulas mengenai hukuman penjara empat warga Bangladesh itu pada Selasa.

Profesor CR Abrar, seorang penyelidik mengenai isu penghijrahan dan pelarian serta hubungan antarabangsa di Universiti Dhaka berkata, hukuman mahkamah Singapura jelas membuktikan bahawa kesemua mereka yang terlibat itu telah di'radikal'.

"Ketua kumpulan berkenaan Mizanur Rahman, telah diradikal di Bangladesh dan gagal memperoleh visa untuk masuk Syria dan Algeria, lantas beliau pergi ke Singapura dengan menjadi salah seorang rekrut pelampau yang menyasarkan kumpulan yang berbeza, "kata Profesor Abrar kepada BeritaBenar.

Insiden di Singapura itu, katanya, boleh memberi kesan negatif terhadap pengambilan pekerja Bangladesh ke negara itu dan juga negara-negara lain, jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil.

Pihak berkuasa Bangladesh secara konsisten menafikan bahawa IS mempunyai operasi di negara mereka, di mana penulis sekular, warga asing dan mereka yang beragama minoriti,  intelektual dan aktivis telah dibunuh dua tahun lepas di dalam serangan bersenjata oleh kumpulan radikal Islam yang disyaki.

Baru-baru ini, Bangladesh telah dikejutkan dengan serangan pengganas ke atas sebuah kafe yang sesak dengan warga asing yang akhirnya membawa kepada 20 orang tebusan dibunuh dengan dua pegawai polis turut terkorban dalam insiden itu.

Perdana Menteri Sheikh Hasina telah mengisytiharkan tempoh berkabung, dan berikrar untuk mengambil tindakan tegas untuk membasmi keganasan. Kumpulan pengganas IS dipercayai bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Mac lepas, Singapura turut mengumumkan bahawa negara itu telah mempertingkatkan langkah keselamatan dalam memerangi keganasan bagi melindungi bandar rayanya daripada ancaman yang ditimbulkan oleh pengaruh IS yang semakin menular di Asia Tenggara.

"ISB menimbulkan kebimbangan keselamatan di Singapura kerana sokongan (puak radikal) terhadap IS dan kesediaan (mereka untuk) mengambil jalan keluar dengan menggunakan kekerasan di luar negara," kata Kementerian Dalam Negeri Singapura.



Kamran Reza Chowdhury di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.