Pulau Pinang Lumpuh Dilanda Banjir Teruk
2017.11.06
Pulau Pinang

Pulau Pinang, negeri utara Malaysia lumpuh selepas dilanda banjir besar diluar jangkaan sehingga memaksa Ketua Menterinya memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia [ATM] dan Majlis Keselamatan Negara [MKN] daripada kerajaan Pusat bagi menghadapi krisis berkenaan.
Ketua Menteri dari parti pembangkang Tindakan Demokratik [DAP] kelihatan sebak berikutan banjir teruk yang menimpa negeri itu di suatu sidang akhbar. Sebuah video pendek menunjukkan Lim Guan Eng tidak dapat menahan rasa sedih dan memohon bantuan daripada ATM untuk membantu kerajaan negeri menangani bencana yang dihadapi.
"Saya telah berjaya menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menjawab panggilan saya pada jam 3.30 pagi. Dan beliau berjanji untuk menghantar ATM,” katanya dalam keadaan sugul.
Banjir teruk dan terburuk dalam sejarah Pulau Pinang sejak 20 tahun itu berlaku berikutan hujan lebat dan angin kencang yang berterusan selama kira-kira 15 jam sejak Sabtu tanpa henti sehingga Ahad.
Kejadian kenaikan paras air yang mendadak dari 0.2 meter sehingga 4 meter juga berlaku disebabkan pertembungan air laut yang pasang mengakibatkan kawasan tanah rendah di negeri itu tenggelam.
Dianggarkan seramai 1.7 juta penduduk di negeri itu terjejas akibat bencana itu, dan sehingga petang Isnin, terdapat lebih 5,845 mangsa banjir berbanding 3,779 orang yang direkodkan pada Ahad. Mangsa banjir kini berada di sebanyak 62 pusat pemindahan di seluruh negeri berkenaan.
Pihak berkuasa juga mengesahkan tujuh kematian akibat banjir di negeri itu, dengan Perdana Menteri Najib Razak berjanji yang kerajaan pusat akan terus menyalurkan bantuan kerana isu banjir kilat adalah soal kemanusiaan walaupun Pulau Pinang di bawah pentadbiran pembangkang.
“Memang tidak perlu kerajaan negeri minta (bantuan). Kalau ada musibah di mana-mana, walaupun negeri dikuasai oleh pembangkang, kita (kerajaan pusat) memang menyalurkan bantuan,” kata Najib pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang membuat tinjauan di negeri-negeri utara yang terlibat dengan banjir berkata, agensi penyelamat telah dikerah bersiap sedia untuk menghadapi gelombang kedua dan ketiga yang bakal berlarutan sehingga Februari depan.
“Rakyat Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak perlu bersiap-sedia menghadapi hujan lebat, berdasarkan ramalan kaji cuaca. Keadaan cuaca di utara mengikut ramalan MET [Jabatan Meteorologi Malaysia] akan berubah dan gelombang kedua amaran merah dijangka bermula dalam waktu terdekat,” katanya yang melawat mangsa banjir di Kepala Batas, Seberang Perai Utara pada Isnin.
Sebahagian daripada bandaraya George Town, yang ditenggelami air pada kejadian banjir teruk yang melanda Pulau Pinang, 6 November 2017. [BeritaBenar]
Jangan politikkan keadaan banjir
Ahmad Zahid juga mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan bantuan kerajaan persekutuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang itu.
"Jangan politikkan isu bantuan ini kerana mangsa banjir, tanpa mengira parti politik atau kaum, setiap orang harus dibantu - apatah lagi rakyat Malaysia yang prihatin membantu mangsa bencana di negara luar - tentunya keutamaan juga harus diberikan kepada rakyat kita yang menjadi mangsa," katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri itu turut mengarahkan pendaftaran segera mangsa-mangsa banjir yang telah dipindahkan supaya bantuan kewangan dapat dihulurkan secepat mungkin.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata “Keadaan sekarang baik sikit kerana hujan telah reda, tetapi air masih belum surut dan angin masih kuat dan keadaan itu sedikit membimbangkan.”
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussien semasa melawat mangsa banjir di Flat Taman Free School berkata, ATM telah menggerakkan pegawai dan anggota di bawah naungan Divisyen Kedua Infrantri Malaysia (2 Div) Askar Melayu Diraja untuk membantu.
Beliau yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, menerusi anggota yang berada di lokasi banjir, ATM lebih maklum dengan keperluan semasa yang diperlukan mangsa terlibat dan dipertanggungjawabkan untuk menilai bentuk bantuan kepada semua mangsa termasuk kerja pembaikan rumah dan infrastruktur yang rosak.
Banjir teruk dalam tempoh 20 tahun
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, secara teknikal banjir yang berlaku di Pulau Pinang itu merupakan sesuatu diluar jangka disebabkan oleh hujan yang turun selama dua hari yang melebihi taburan biasa dalam tempoh 10 ke 20 tahun lalu," katanya.
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila banjir berlaku semasa keadaan air pasang tinggi menyebabkan pengaliran air hujan ke laut terganggu.
Wan Junaidi pada November lepas, seperti dilaporkan oleh media tempatan pernah berkata pembangunan pesat yang tidak terkawal merupakan antara punca banjir kilat berlaku di Pulau Pinang.
Katanya pelaksanaan projek-projek tidak terkawal menyebabkan terkumpulnya kelodak dalam sistem perparitan sedia ada dan juga sungai.
"Pihak kerajaan negeri perlu memastikan program pembangunan dilaksanakan secara lestari dengan mengambil kira kebajikan rakyat dan bukannya menuding jari kepada kerajaan persekutuan apabila berlaku banjir kilat," katanya
Pengangkutan awam terjejas
Banjir itu turut menjejaskan sistem pengangkutan awam dengan beberapa penerbangan dilencongkan atau dilewatkan, ia termasuk operasi bas Rapid Penang yang diberhentikan di semua laluan dan jaringannya buat sementara waktu.
Kesesakan teruk berlaku di seluruh negeri akibat penutupan banyak jalan utama serta ratusan pokok tumbang di seluruh negeri. Ratusan kenderaan juga didapati terperangkap di dalam banjir di bahagian pulau serta tanah besar.
Walaupun cuaca masih tidak menentu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada Isnin diteruskan seperti biasa dengan lebih 23 ribu calon dari Pulau Pinang serta lebih 34 ribu calon dari Kedah menduduki peperiksaan terbesar itu.
Sebahagian penduduk kecewa dan mendakwa banjir kilat sering berlaku terutama di kawasan Jalan P.Ramlee melebihi 10 kali pada tahun ini sahaja.
Menurut Faiz Mustapa, 33, seorang penduduk disekitar jalan tersebut, kejadian banjir kilat di kawasan tersebut bukanlah perkara baru.
“Sejak tiga bulan ini sahaja, empat kali banjir kilat terjadi,” katanya kepada BeritaBenar.
Isu banjir menyebabkan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang sering dikritik dan dipersoal, dipercayai dari pembangunan tidak terancang, penggondolan bukit dan pembangunan lereng bukit.
Pulau Pinang pada bulan lepas dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di sebuah projek pembinaan kondominium 50 tingkat di Tanjung Bungah yang telah menyebabkan 11 orang maut.
Pelbagai NGO dan aktivis alam sekitar telah mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan semua pembangunan atau projek di lereng bukit kerana ia dilaksanakan tanpa kawalan.