Majlis Peguam Lulus Resolusi Tidak Percaya Pelantikan Ketua Hakim
2017.08.03
Kuala Lumpur

Badan peguam tertinggi Malaysia dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Khamis sebulat suara meluluskan usul tidak percaya terhadap keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan dua hakim tertinggi negara itu.
Resolusi yang diluluskan oleh Majlis Peguam Malaysia itu secara majoriti menolak langkah kerajaan melanjutkan pelantikan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dan menyifatkan ia sebagai tidak berperlembagaan dan menggugat kebebasan kehakiman negara.
Menurut George Varughese, Presiden badan peguam itu bersedia untuk memboikot segala majlis sosial bersama badan kehakiman Malaysia itu termasuk menggalakkan ahli majlis tersebut menolak jemputan sosial dari badan kehakiman berkenaan.
“Majlis Peguam mengambil keputusan berkenaan sebagai tanda protes kami terhadap badan kehakiman itu termasuk juga kami tidak akan menghantar jemputan untuk majlis sosial kami kepada mereka. Kami akan hanya meneruskan hubungan dengan badan kehakiman untuk perkara rasmi sahaja,” Varughese berkata dalam sidang media selepas EGM itu, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, di ibu negara Malaysia.
Beliau berkata, “Ini satu bentuk bantahan untuk menunjukkan ketidakpuasan hati kami dalam pelantikan yang tidak berperlembagaan tetapi kami secara peribadi tidak menentang Raus dan Zulkefli.”
Mesyuarat itu dihadiri oleh 993 peguam dengan majoriti yang besar menetapkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah.
Menurut seorang peguam yang menghadiri mesyuarat itu, 643 peguam menyokong resolusi itu, empat membantah dan 3 berkecuali. Baki jumlah peguam telah pulang sebelum undian dibuat.
Tolak jawatan
Majlis peguam itu juga meminta kedua-dua hakim tersebut untuk menolak perlantikan mereka dan tidak menghakimi mana-mana kes, tugas atau hal-hal pentadbiran berkenaan jawatan mereka, menurut Varughese.
Mengikut Perlembagaan, tempoh perkhidmatan hakim tidak boleh dilanjutkan bagi mereka yang telah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.
Md Raus akan mencapai umur persaraan mandatori pada Khamis dan Zulkefly pula pada 27 September ini tetapi akan kekal menjadi hakim tambahan yang tidak terikat dengan had umur yang sama.
Tempoh perkhidmatan masing-masing dilanjutkan kepada tiga dan dua tahun dengan kedua-dua hakim itu dilantik sebagai hakim tambahan kepada Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi negara, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Najib pada 7 Julai lepas.
Kerajaan telah mengumumkan bahawa langkah itu dibuat mengikut Perkara 122 Perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong Malaysia, bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang telah meluluskan pelantikan itu.
Cabaran undang-undang
Varughese berkata majlis itu juga berhasrat untuk memulakan cabaran undang-undang terhadap pelantikan itu tetapi mahukan Ketua Hakim Malaya (CJM) Ahmad Maarop untuk menasihati Yang di-Pertuang Agong bagi melantik hakim-hakim yang bersara sebagai hakim tambahan untuk mendengar kes itu.
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan kami akan melakukannya tidak lama lagi,” katanya.
“Sudah pastinya mereka akan menjadi pihak berkepentingan jika salah seorang daripada mereka membuat keputusan untuk mendengar cabaran kami itu. Malah, kami berpendapat semua anggota Mahkamah Persekutuan sekarang juga akan mempunyai kepentingan jika menghakimi atau membuat keputusan berkaitan cabaran itu.
Sementara itu, pakar perlembagaan Aziz Bari ketika dihubungi BeritaBenar mengakui dari segi proses dan prosedur ia agak sukar kerana “yang sepatutnya menjadi pengadil sudah menjadi pihak yang dipertikaikan kedudukannya.”
“Pada saya, ini memerlukan pekenan Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak menolak atau meminta kerajaan mengkaji semula nasihat dan syor mereka,” katanya.
Tambahnya, perkara itu boleh dilakukan kerana peranan seorang Raja berperlembagaan adalah memastikan perlembagaan “tidak dipijak atau dimanipulasikan” oleh mana-mana pihak.
Bekas Ketua Hakim Negara Abdul Hamid Mohamad, pakar-pakar perlembagaan dan Majlis Peguam Malaysia berpendapat bahawa istilah hakim tambahan dalam Perlembagaan membenarkan pelantikan ke mahkamah persekutuan, tetapi ia tidak boleh digunakan untuk menambah tempoh lanjutan perkhidmatan.
Kerajaan mempertahankan tindakan itu dengan menyatakan bahawa Perlembagaan membenarkan urusan sedemikian dan mencabar pengkritik untuk membawa perkara itu ke mahkamah.
"Perlembagaan Persekutuan tidak melarang mana-mana hakim tambahan di mahkamah persekutuan daripada memegang jawatan lain," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, Azalina Othman, pada bulan lalu. "Saya berpendapat bahawa pengalaman dan kepakaran kedua-dua hakim itu amat diperlukan oleh sistem kehakiman negara."
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.