Sindiket Motti Seludup Pendatang Bangladesh Ditumpaskan
2018.03.16
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Imigresen Malaysia pada Jumaat menumpas sindiket penyeludupan rentas sempadan yang membawa masuk rakyat Bangladesh dari Medan dan Jakarta dengan menggunakan kawasan pesisiran pantai Tanjung Sepat di Selangor sebagai lorong tikus.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Mustafar Ali berkata, sindiket itu yang dikenali sebagai ‘Sindiket Motti’, beroperasi sejak setahun lalu, menyeludup pendatang Bangladesh menggunakan Medan dan Jakarta sebagai transit, sebelum membawa mereka dengan bot daripada Kepulauan Rupat di Indonesia ke Selangor.
“Siasatan awal mendapati pendatang-pendatang berkenaan diuruskan oleh ejen warga Bangladesh yang dikenali sebagai ‘Motti’ dengan modus operasi yang mempunyai persamaan dengan beberapa kes tangkapan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau menambah, dalam operasi yang menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisis Imigresen dan Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di mana seramai 31 warga Bangladesh telah ditahan.
“Seramai 29 warga Bangladesh yang dipercayai baru sahaja tiba bersama dua lagi yang tiba lebih awal di Malaysia, telah ditahan di sebuah rumah flat di Taman Permata Fardason, Kepong pada awal pagi Jumaat,” tambah beliau.
Beliau memberitahu, turut ditahan ialah dua lelaki dan seorang wanita Bangladesh yang dipercayai menyembunyikan dan melindungi pendatang tersebut serta bersubahat dengan pihak sindiket.
Tambah beliau, mangsa akan menaiki penerbangan daripada Dhaka ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur atau Changi [Singapura], sebelum meneruskan penerbangan ke Medan atau Jakarta dan kemudiannya menunggu tekong mengatur perjalanan ke Malaysia menggunakan bot pancung dari Kepulauan Rupat, bagi mengelak daripada dikesan.’
"Sebelum memasuki Malaysia, pendatang berkenaan perlu membayar antara RM12,000 [AS$3,070] hingga RM20,000 [AS$5,210] yang perlu dijelaskan dalam tempoh empat hingga 40 hari semasa berada di rumah transit di Medan atau Jakarta, sebelum boleh dihantar ke Kepulauan Rupat untuk mengambil bot ke Selangor,” kata Ketua Pengarah JIM itu.
Mustafar berkata, pendatang hanya akan diserahkan kepada ejen atau majikan selepas mereka selesai membuat bayaran yang dikenakan itu.
Beliau juga memaklumkan bahawa pasukan penguatkuasa terpaksa memecah masuk ke dalam kediaman yang menjadi transit kerana penghuni enggan membuka pintu dan sejurus pintu berjaya dibuka, kesemua pendatang cuba melarikan diri melalui tingkap dan terdapat juga yang mahu merempuh anggota serbuan namun berjaya dihalang.
Katanya, hasil pemeriksaan di kediaman tersebut menemukan pakaian yang masih basah berselerakan di atas lantai ruang tamu dan bilik, dipercayai dipakai oleh pendatang yang baru tiba dan diarahkan oleh tekong untuk terjun ke dalam laut mengharungi air separas dada sebaik sahaja tiba di lokasi pendaratan.
“Mereka ditempatkan di sebuah bilik kecil dengan keadaan berhimpit dan tidak dibenarkan keluar manakala telefon bimbit dirampas oleh penjaga bagi mengelakkan mereka berhubung dengan sesiapa,” tegas beliau.
Jelasnya lagi, kesemua pendatang yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala suspek-suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010).