Pelancaran Portal Pekerjaan Pendatang Tanpa Dokumen Bangladesh Mengejutkan Malaysia

S. Adie Zul
2021.04.15
Kuala Lumpur
Pelancaran Portal Pekerjaan Pendatang Tanpa Dokumen Bangladesh Mengejutkan Malaysia Pekerja asing Migrant berkumpul sambil menikmati hidangan yang disumbangkan oleh kumpulan amal di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur, 25 Dis, 2007.
[AFP]

Menteri Sumber Manusia Malaysia pada Khamis berkata beliau amat terkejut dengan pelancaran portal pekerjaan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh untuk membantu rakyatnya berhubung terus dengan perekrut Malaysia, tanpa membuat sebarang rundingan, atau persetujuan Kuala Lumpur.

Perwakilan Bangladesh di Kuala Lumpur itu telah melancarkan sebuah portal dikenali sebagai ‘Chakrir Khoj’ pada 8 April lalu yang bertujuan untuk membantu pendatang tanpa dokumen dari negara itu mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

M. Saravanan, menteri yang bertanggungjawab terhadap Sumber Manusia berkata, Kerajaan Malaysia menggunakan portal pekerjaannya sendiri dan perekrut swasta berlesen dibenar untuk menguruskan tenaga kerja bagi negara tersebut, dan pelancaran portal berkenaan adalah bercanggah dan mengelirukan majikan serta prospek pekerjaan Malaysia.

“Saya amat terkejut dengan tindakan pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh yang telah melancarkan portal pekerjaan ini tanpa sebarang rundingan atau pemakluman rasmi kepada Kementerian Sumber Manusia. Tindakan itu bertentangan dengan peranan dan tanggungjawab misi diplomatik asing,” kata Saravanan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata adalah tidak wajar bagi perwakilan itu melancarkan portal pekerjaan yang boleh menjejaskan perancangan kerajaan Malaysia dalam menguruskan permintaan sebenar bagi tenaga kerja asing di negara berkenaan.

Selain itu, menurut Menteri berkenaan, kewujudan portal tersebut juga boleh menyebabkan ledakan pekerja tanpa izin dari Bangladesh ke Malaysia dan seterusnya boleh membawa kepada eksploitasi status imigresen yang tidak pasti, kerana ramai akan tertarik dengan peluang pekerjaan yang dijanjikan dan sekaligus mencemar imej Malaysia.

Portal yang diperkenalkan oleh perwakilan Bangladesh dikenali sebagai “Chakrir Khoj’ bertujuan membantu majikan mencari pekerja warga Bangladesh yang berada di Malaysia, selain membantu warganya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau tinggal melebihi tempoh masa untuk menyertai Program Rekalibrasi.

Putrajaya melalui Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri telah melancarkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sejak 16 November lepas sehingga 30 Jun yang dikendalikan sepenuhnya oleh agensi kerajaan dengan sektor pekerjaan yang terlibat adalah pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

Melalui program berkenaan majikan yang memerlukan tenaga kerja tidak lagi perlu melibatkan vendor atau pihak ketiga.

Saravanan turut menambah yang kementeriannya memandang serius dengan pelancaran itu, kerana pengambilan pekerja asing di Malaysia dikendalikan oleh agensi pekerjaan swasta berlesen dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta perlu menurut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246).

Beliau juga berkata, portal tersebut turut boleh menjejaskan peluang dan usaha lebih 400 agensi pekerjaan swasta kategori C yang berdaftar dengan JKT untuk membawa masuk pekerja asing.

“Agensi tempatan itu telah hampir setahun tidak menjalankan perniagaan tetapi perlu membayar yuran lesen yang tinggi untuk kekal sebagai ejen,” kata beliau.

Menteri tersebut turut menerangkan yang kementerian sumber manusia juga mempunyai portal pekerjaan nasional iaitu MyFutureJobs dengan kekosongan jawatan yang melibatkan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang diiklankan di portal berkenaan.

Katanya, Mesyuarat Kabinet juga telah membincangkan isu pekerja warga asing pada Rabu dengan Kementerian Sumber Manusia telah diminta untuk mengemukakan keperluan sebenar pekerja warga asing di semua sektor pekerjaan mengambil kira pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Walaupun saya sedar akan kebergantungan kepada tenaga asing, terutama dalam sektor yang tidak diminati oleh warga tempatan, kementerian masih mengambil pelbagai langkah yang sewajarnya dalam memastikan peluang pekerjaan sedia ada perlu diberikan keutamaan kepada rakyat tempatan,” kata Saravanan.

Pengumuman Bangladesh

Pelancaran portal berkenaan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur Md Golam Sarwar secara maya minggu lalu dengan menurut diplomat itu mensasarkan pekerja Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen untuk mendapatkan pekerjaan.

“Inisiatif ini adalah untuk membantu Program Rekalibrasi yang dilancarkan oleh kerajaan Malaysia tanpa menjejaskan rundingan berterusan oleh kedua-dua negara untuk pengambilan pekerja baru dari Bangladesh.

"Portal pekerjaan dilancarkan oleh Suruhanjaya Tinggi hanya untuk mempermudah proses pengesahan yang sedang berjalan, kerana kami diminta oleh Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia, dalam beberapa pertemuan, untuk membantu Program Rekalibrasi dengan apa cara yang mungkin," kata Md Golam dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut memberitahu bahawa Suruhanjaya Tinggi itu ada menerima permintaan dari beberapa majikan Malaysia untuk membantu mencari pekerja Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen.

Dalam pada itu, Mohd Asri Abd Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Malaysia telah menghadiri program secara maya anjuran Suruhanjaya Tinggi Bangladesh minggu lalu.

Seorang jurucakap jabatan yang meminta namanya tidak disiarkan kerana dia tidak mendapat kebenaran untuk bercakap kepada media berkata kehadiran Mohd Asri tidak menggambarkan penerimaan kerajaan.

"Kehadiran Timbalan Ketua Pengarah itu adalah atas undangan untuk membincangkan mengenai Program Rekalibrasi pekerja asing. Sekiranya kami mengetahui sebelumnya bahawa jemputan itu berkaitan dengan pelancaran portal pekerjaan yang tidak diperakui oleh kami (kerajaan Malaysia), Kementerian Sumber Manusia tidak akan menerima undangan tersebut, " kata jurucakap itu kepada BenarNews.

Malaysia mempunyai sekitar 1.7 juta pekerja asing berdokumen di negara itu, demikian menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada 2018, dengan lebih daripada 268,000 adalah warga Bangladesh.

Bank Dunia pula menganggarkan bahawa antara 1.23 hingga 1.46 juta pendatang tanpa dokumen bekerja di Malaysia pada 2017.

Pada Oktober, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berkata ladang kelapa sawit dan getah berdepan dengan kekurangan tenaga kerja setelah kerajaan menutup sempadan negara bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.

Program Rekalibrasi semula itu adalah rancangan kerajaan bagi menangani kekurangan tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.