SPRM Siasat Kes Seleweng Dana di Kementerian Belia dan Sukan

Fahirul N. Ramli
2016.03.21
Kuala Lumpur
160321-my-khairy620 Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin,(tengah)bercakap pada sidang media di Putrajaya, 27 April, 2015.
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan mengambil keterangan (SPRM) saksi-saksi dalam kes dakwaan penyelewengan RM107 juta (US$26.5 juta) daripada Kementerian Belia dan Sukan, kata ketua pasukan siasatan SPRM pada Isnin.

Pada  Jumaat, sembilan orang ditangkap berhubung kes itu termasuk setiausaha  bahagian sebuah jabatan yang berusia 56 tahun di kementerian itu, yang disyaki menggelapkan RM20 juta (AS$4.95 juta) sejak 2010.

"Saksi-saksi yang akan dipanggil  hari ini adalah daripada kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat," kata Pengarah Siasatan SPRM Azam Baki kepada BeritaBenar, sambil menjangka bahawa tiada tangkapan lagi dibuat berhubung dakwaan itu.

Badan anti-rasuah itu berkata, wang itu telah disalurkan kepada syarikat-syarikat untuk program-program kontrak palsu dan ke akaun bank suspek utama.

Azam berkata,  para penyiasat sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat lain turut  terlibat dalam kes rasuah itu, selain daripada mereka yang telah dikenal pasti dalam siasatan itu.

"Ada kemungkinannya, sudah tentu. SPRM perlu memastikan tentang perkara itu, kita tidak main teka teki di sini, " kata Azam.

Setiausaha bahagian itu dipercayai mendalangi penyelewengan dana itu, dan SPRM menahan reman beliau serta lapan lagi suspek selama seminggu bermula dari 18 Mac, kata Azam.

Suspek utama yang tidak dinamakan itu menggunakan 69 akaun bank - semuanya kini dibekukan - untuk mengendalikan transaksi dengan mengarahkan jabatan kewangan agensi yang berkaitan untuk membuat bayaran kepada kira-kira 14 syarikat bagi program-program palsu yang tidak pernah dilaksanakan, kata SPRM pada sidang media pada Sabtu.

Suspek yang bertugas di kementerian itu sejak 1998, akan menerima bahagiannya daripada syarikat-syarikat, dengan setengah daripadanya merupakan cek yang dideposit ke dalam akaun bank peribadinya,  kata Azam.

Dalang yang disyaki itu turut menerima pembayaran lain daripada kontraktor, termasuk wang yang dibelanjakan untuk rumah, kereta mewah, bayaran insurans dan unit amanah dana berjumlah berjuta-juta ringgit,  kata ketua siasatan SPRM itu.

"Beliau mampu membeli jam berjenama yang mahal, satu daripadanya berharga RM400,000 [US$ 99,000], timbunan barang kemas bernilai tidak kurang daripada RM600,000[US$148,000], dan 'cadar katil' bernilai lebih daripada RM300,000[US$74,000], " kata Azam kepada pemberita.

Kesemua 69 akaun bank itu yang mengandungi kira-kira RM8.3 juta (US$2 juta) telah dibekukan mengikut undang-undang anti-rasuah, pencegahan pengubahan wang dan undang-undang lain negara itu.

Pada Isnin, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa seorang setiausaha bahagian kementerian itu adalah antara suspek kes berkenaan.

"SPRM telah memaklumkan kepada saya beberapa minggu lalu mengenai penyiasatan itu, dan saya telah menyatakan bahawa kementerian dan agensi-agensinya bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan yang lancar, dan holistik," kata Khairy.

Khairy berkata mekanisme dalaman kementerian serta pengurusan dananya juga akan disiasat. Penahanan itu tidak akan menjejaskan persediaan kementerian bagi  Sukan Asia Tenggara tahun depan, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.