BERSIH Terima Anugerah Demokrasi dan Hak Asasi Manusia Asia

Hadi Azmi
2017.11.16
Kuala Lumpur
171116-my-bersih-620.jpg Sekumpulan penyokong Bersih berjalan dengan sejambak bunga berwarna kuning ketika perhimpunan Bersih 5, di Kuala Lumpur, 19 November, 2016.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

BERSIH (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) terpilih sebagai pemenang anugerah Asia Democracy and Human Rights Award (ADHRA) bagi tahun 2017, menurut kumpulan  pemantau pilihanraya Malaysia itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Anugerah tersebut yang dilancarkan pada 2006 oleh Taiwan Foundation for Democracy (TFD) bertujuan untuk menghargai sumbangan individu atau pertubuhan yang melakukan pembangunan demokrasi dan hak asasi manusia secara aman di rantau Asia.

Dalam kenyataan kepada media, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata pengiktirafan itu memberi makna kepada sambutan sepuluh tahun demonstrasi BERSIH 1 yang dianjurkan pada tahun 2007.

“Meskipun penyokong kami berdepan dengan penahanan, gertakan dan perlecehan, BERSIH berdiri teguh dalam perjuangan menuntut keadilan dan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong badan tersebut sambil menyatakan yang anugerah itu merupakan kemenangan kepada perjuangan kuasa rakyat.

“Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat Malaysia, pada waktu kita sedang berusaha untuk membawa reformasi kepada Malaysia dengan pendekatan yang lebih demokratik….. Bagaimanapun, perjuangan kami belum berakhir dan kami memerlukan rakyat untuk menyahut cabaran dalam melindungi hak mereka untuk mengundi,” katanya.

BERSIH dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, yang terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil, sebagai sebuah platform untuk mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah.

BERSIH menjadikan tuntutan pembaharuan terhadap pilihan raya sebagai agenda nasionalnya berpendapat berlaku ketirisan dan rasuah dalam sistem pilihan raya Malaysia, telah mengadakan beberapa siri perhimpunan meminta kerajaan mendengar suara rakyat negara itu.

Peranan luas memantau

Pengerusi TFD Su Jia-chyuan berkata BERSIH, yang dianggotai 93 badan kemasyarakatan mempunyai peranan yang luas untuk memantau parti-parti politik dari kedua belah pihak dan dalam masa yang sama mewakili kepelbagaian badan kemasyarakatan di Malaysia.

“Taiwan pernah melalui kepayahan dan keperitan dalam peralihan demokrasi dan kami faham dengan nilai demokrasi yang hanya akan dinikmati melalui pilihanraya yang adil,”kata Jia-chyuan dalam kenyataan TFD semasa membuat pengumuman mengenai keputusan anugerah itu pada Rabu.

TFD akan menjadi tuan rumah kepada majlis anugerah Asia Democracy and Human Rights yang ke-12 pada 10 Disember bersempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia. BERSIH telah mengesahkan akan ke Taipei untuk menerima anugerah berkenaan.

Anugerah ADHRA ini merupakan anugerah hak asasi manusia antarabangsa kedua yang dimenangi oleh BERSIH.

Pada 21 April 2016 BERSIH dan aktivis pro-demokrasi Vietnam Dr. Nguyen Dan Que telah dipilih sebagai pemenang bersama Hadiah Hak Asasi Manusia Gwangju 2016.

Kerajaan Malaysia walau bagaimanapun bertindak menyekat perjalanan keluar negara bagi Maria Chin Abdullah, Pengerusi Bersih ke Korea Selatan untuk menerima anugerah berkenaan atas dasar, menghalang rakyatnya yang cuba menjatuhkan atau mencemuh kerajaan di negara asing, menurut sebuah akhbar tempatan, yang tindakan itu telah mendapat pelbagai kritikan daripada penyokong kebebasan sivil.

Bagaimanapun, sekatan perjalanan keatas Maria telah ditarik balik oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada 17 Mei iaitu dua hari selepas sekatan perjalanan itu dikenakan terhadapnya.

Ketua Pengarah Imigresen pada ketika itu Sakib Kusmi kemudiannya mengesahkan kewujudan dasar baru itu kepada akhbar berkenaan dengan berkata bahawa memiliki pasport antarabangsa Malaysia adalah "satu keistimewaan dan bukan hak."

“Kerana kerajaan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan pasport antarabangsa kepada rakyatnya di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan juga menggunakan budi bicara sama ada untuk mengeluar, menangguh atau membatalkan dokumen perjalanan," kata Sakib.

Maria mencabar tindakan kerajaan Malaysia dengan membawa kes itu ke mahkamah namun kes itu ditolak oleh Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad yang memutuskan bahawa Seksyen 59A (1) Akta  Jabatan Imigresen Malaysia 1959 dengan jelas menyatakan bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen tidak tertakluk kepada semakan kehakiman kecuali atas alasan prosedur.

“Dengan dua alasan ini sahaja sudah jelas menunjukkan bahawa keputusan larangan ke atas pemohon tidak boleh disemak. Peruntukan ini dengan jelas menunjukkan niat legislatif bahawa keputusan Ketua Pengarah dan Menteri Dalam Negeri tidak boleh disemak di mana-mana mahkamah”

Hadiah Gwangju itu adalah anugerah yang diberikan oleh Yayasan Peringkatan Mei 18  Korea Selatan kepada individu, kumpulan atau institusi sama ada di Korea atau di luar negara yang telah menyumbang, mempromosi dan memajukan hak asasi, demokrasi dan keamaan melalui kerja mereka.

BERSIH kini sedang dalam proses merekrut sukarelawan di bawah kempen PEMANTAU untuk menjadi pemerhati bebas dalam Pilihanraya Umum ke 14 yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.