BERSIH Terima Hadiah Hak Asasi Manusia Gwangju 2016

Ahmad Najmi Nasruddin
2016.04.21
Kuala Lumpur
160421-my-bersih-gwangju620 Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah bersama beberapa pemimpin gabungan badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil di Malaysia, di hadapan Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, 2 September 2015.
AFP

BERSIH (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) dan aktivis pro-demokrasi Vietnam Dr. Nguyen Dan Que telah dipilih sebagai pemenang bersama Hadiah Hak Asasi Manusia Gwangju 2016 pada Khamis.

Hadiah Gwangju itu adalah anugerah yang diberikan oleh Yayasan Peringkatan Mei 18  Korea Selatan kepada individu, kumpulan atau institusi sama ada di Korea atau di luar negara yang telah menyumbang, mempromosi dan memajukan hak asasi, demokrasi dan keamaan melalui kerja mereka.

Anugerah itu bertujuan memperingati semangat 18 Mei 1980 Pergerakan Pendemokrasian Gwangju di mana rakyat pro-demokrasi berjuang menentang pemerintahan tentera Chun Doo-hwan dimana seramai 154 rakyat Gwangju terbunuh, 74 hilang dan 4,141 cedera dalam undang-undang tentera semasa insiden rampasan kuasa junta itu.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah semasa dihubungi BeritaBenar berkata, anugerah tersebut adalah satu pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang berkerjasama dalam menegakkan keadilan.

"Penganugerahaan ini adalah satu pengiktirafan kepada semua rakyat Malaysia yang komited dalam menghantar pesanan reformasi dalam menegakkan hak berpelembagaan, kebebasan bersuara, berhimpun, maklumat dan juga pilihanraya," kata Maria sambil mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Gwangju serta para jurinya yang memilih BERSIH untuk menerima Hadiah Gwangju 2016 itu.

‘Sokongan rakyat’

Menurutnya lagi, anugerah berkenaan membuktikan kepercayaan dan sokongan rakyat dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

BERSIH dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, yang terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil, sebagai sebuah platform untuk mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah.

BERSIH yang menjadikan tuntutan pembaharuan terhadap pilihan raya sebagai agenda nasionalnya, kerana berpendapat berlaku ketirisan dan rasuah dalam sistem pilihan raya negara itu, telah mengadakan beberapa siri perhimpunan meminta kerajaan mendengar suara rakyat Malaysia.

Perhimpunan jalanan terbaru dan terbesar pernah dianjurkan adalah selama dua hari bermula 29 Ogos tahun lepas di beberapa bandaraya utama seluruh Malaysia, seperti Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Gwangju 2016 dalam satu kenyataan berkata, pemilihan itu dibuat selepas mendapati nilai hak asasi manusia dan damai telah ditonjolkan oleh kedua-dua pemenang anugerah tersebut, Nguyen Dan Que dan BERSIH.

“Kami amat memuji pencapaian Que walaupun selepas penjara ngerinya yang telah memberi ilham kepada rantau Asia yang lain. Tambahan pula, jawatankuasa telah mencapai persetujuan untuk memilih BERSIH sebagai pemenang bersama dengan Que, dengan mengharapkan mereka bersatu dengan kami untuk menggalakkan hak asasi manusia dan keamanan di Asia,” menurut kenyataan itu.

Keputusan pada Khamis itu akan mengeratkan perpaduan dan kerjasama di rantau Asia serta memberi satu peluang besar untuk menggalakkan hak asasi manusia dan keamanan, kata jawatankuasa itu lagi.

Maria turut mengucapkan tahniah kepada Que kerana dedikasi berterusan dan kerjasamanya terhadap kempen demokrasi di Vietnam.

Perjuangan Que


Sementara itu, Dr. Nguyen Dan Que adalah seorang aktivis demokrasi di Vietnam yang mengkritik rejim komunis yang mengamalkan diskriminasi dalam polisi penjagaan kesihatan.

Beliau ditahan buat pertama kalinya pada 1978 bersama 50 aktivis yang lain selepas mengkritik sistem politik Vietnam dan selepas pembebasannya, telah menubuhkan gerakan yang dikenali sebagai “High Tide Humanist”, dengan arah perjuangan tanpa keganasan dalam memastikan hak asasi manusia bagi rakyat Vietnam.

Dr. Que telah penerima pelbagai anugerah atas komitmennya untuk memperjuangkan hak asasi manusia dengan menerima Anugerah Raoul Wallenberg, Anugerah Hak Asasi Manusia RFK dan Hellman-Hammett Grant dari Human Rights Watch.

Vietnam telah menahan beliau, selepas Dr. Que mengkritik kerajaan negara itu mengenai jaminan kebebasan maklumat dan menambah baik kebebasan media pada 2003.

Pada 29 Julai 2004, Kerajaan Vietnam mengadakan perbicaraan secara tertutup dan tidak memberikan beliau akses kepada peguam selama 30 bulan di dalam penjara atas alasan “menyalahgunakan hak demokrasi untuk menjejaskan kepentingan negara."

Beliau bagaimanapun dibebaskan pada Februari 2005.

Antara mereka yang pernah menerima Hadiah Gwangju ialah Xanana Gusmo, pemenang pertama pada tahun 2000 dan Ang San Suu Kyi pada 2004.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.