Mahkamah Rayuan Kekalkan Keputusan Mahkamah Tinggi

Melati A. Jalil
2016.08.23
Kuala Lumpur
160823-my-BERSIH-rayuan620.jpg Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah (tengah berpakaian berwarna coklat) dengan bekas pengerusi BERSIH Ambiga Sreenevasan (empat dari kiri) bersama pasukan peguam BERSIH di perkarangan bangunan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 23 Ogos 2016.
[Ihsan BERSIH]

Mahkamah Rayuan pada Selasa telah menolak rayuan Kerajaan Malaysia yang menuntut ganti rugi lebih RM100, 000 (AS$25,000) daripada kumpulan gabungan badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil atas dakwaan menyebabkan kerosakan harta benda semasa perhimpunan BERSIH 3, pada April 2012.

Keputusan mahkamah itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Rohana Yusof yang bersidang bersama Hakim G.V. Varghese dan Mary Lim Thiam Suan yang sebulat suara mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Januari tahun lepas yang turut menolak rayuan kerajaan dalam menuntut ganti rugi.

Hakim Mahkamah Tinggi John Louis O’Hara pada tarikh berkenaan telah menolak saman yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia terhadap bekas Pengerusi Bersama BERSIH 2.0, S. Ambiga dan 14 jawatan kuasa penganjur perhimpunan itu.

Satu saman sivil telah difailkan oleh kerajaan Malaysia pada 15 Mei, 2012, yang antara lain  mendakwa perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April, 2012 telah mengakibatkan kerosakan harta benda awam dan menuntut ganti rugi khas sebanyak RM110,543.27, sebagai kos untuk membaiki kenderaan polis yang rosak.

Semasa membacakan keputusan panel berkenaan Rohana berkata mahkamah mendapati tiada peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA) yang secara jelas menetapkan hak kerajaan untuk membuat tuntutan.

“Kami mendapati Seksyen 3, Akta Prosiding Kerajaan, yang dibacakan bersama-sama Seksyen 39 akta sama, tidak memberikan hak kepada kerajaan untuk menyaman bagi kecuaian atau menuntut ganti rugi di bawah 'common law',

“Seksyen 6(2) PAA tidak mewujudkan “satu hak tuntutan sivil oleh kerajaan" dan kerajaan persekutuan pada masa sama juga tidak diberikan hak untuk menyaman bagi kecuaian di bawah undang-undang lain,” tambah beliau seperti dilaporkan media tempatan.

Katanya, panel berkenaan juga berpuas hati, tiada alasan bagi mereka untuk campur tangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Kerajaan Malaysia gagal membuktikan, para penganjur tidak melaksanakan tanggungjawabnya ketika perhimpunan berlangsung.

BERSIH, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, merupakan sebuah platform yang mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.

Perhimpunan BERSIH disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, dengan perhimpunan paling buruk semasa BERSIH 3, iaitu  pada 23 April 2012. Seramai 24 orang dilaporkan cedera termasuk 12 anggota polis yang bertugas, dengan 512 individu ditahan.

Protes jalanan terakhir dianjurkan oleh gabungan itu ialah BERSIH 4.0 pada Ogos tahun lepas di mana ia dianjurkan secara aman tanpa sebarang gangguan daripada pihak polis.

Sementara itu, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata, keputusan mahkamah rayuan itu adalah penting kerana ia sekaligus mengiktiraf hak untuk berhimpun oleh orang ramai serta bagi kerajaan dalam berkongsi tanggungjawab bagi memastikan perhimpunan dapat berlangsung secara aman.

"Ia satu keputusan yang sangat baik. Kami mengalu-alukan (keputusan tersebut) ia benar-benar mengatakan bahawa di bawah undang-undang, mereka (kerajaan) tidak layak untuk menyaman dalam mendapatkan ganti rugi,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Selasa.

Maria juga meminta kerajaan supaya tidak mengulangi tindakan yang dibuatnya semasa perhimpunan BERSIH 2 dan 3 di mana pihak berkuasa menembak gas pemedih mata terhadap peserta dengan tujuan untuk mengganggu perhimpunan.

"Kami masih mengekalkan bahawa BERSIH  4 adalah satu perhimpunan aman, dan kita boleh mempunyai perhimpunan aman bukan sahaja untuk beberapa jam atau sehari, tetapi selama dua hari,” tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.