Bersih Adakan Perhimpunan Nyalakan Lilin Setiap Malam Sehingga Maria Bebas

Amir Hadi Azmi
2016.11.21
Kuala Lumpur
161121-MY-bersih-lede-1000.jpg Sekumpulan penyokong Bersih membawa sepanduk semasa mereka berhimpun di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, 19 November 2016.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Bersih, gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil Malaysia mula mengadakan perhimpunan menyalakan lilin di ibu negara dan lima buah bandar lagi dalam usaha untuk mendesak pihak berkuasa negara supaya membebaskan pengerusinya, Maria Chin Abdullah yang sedang di dalam tahanan.

Pengerusi Bersih Maria Chin telah ditahan, iaitu sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan pada Sabtu.

Perhimpunan memasang lilin yang bermula di Dataran Merdeka pada malam Isnin, akan diadakan setiap malam sehingga Maria dibebaskan, kata pegawai Bersih dalam laman Facebook.

Selain itu, lima buah bandar lain iaitu Pulau Pinang, Kuching, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuantan turut menganjurkan perhimpunan sama dalam usaha untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa.

Maria ditahan ketika berada di pejabat Bersih di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur pada Jumaat dan merupakan antara 24 aktivitis yang ditahan pihak berkuasa negara itu menjelang perhimpunan Baju Kuning dan Baju Merah pada Sabtu lepas.

Aktivis wanita itu ditahan untuk tempoh maksimum 28 hari bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), atau Sosma, di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melibatkan diri dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa mengesahkan kenyataan peguamnya Eric Paulsen semalam bahawa aktivis wanita itu ditahan selama tempoh tersebut, lapor akhbar The Sun.

Selain itu, pemimpin Bersih lain turut ditahan termasuk pengurus Bersih 2.0 Mandeep Singh, dua orang pemimpin mahasiswa, dua orang ADUN DAP, bekas setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan, pemimpin Baju Merah Jamal Yunos dan lain-lain.

Pihak polis memberi alasan bahawa mereka yang ditahan telah menghasut masyarakat supaya "merusuh" dan "merosakkan demokrasi berparlimen" yang dianggap sebagai tindakan yang tidak berasas oleh pihak penganjur.

Malah, beberapa daripada pemimpin Bersih telah dibebaskan polis pada Isnin.

Lelaki ini tidak memakai baju kuning sebaliknya beliau sangat kreatif dalam menunjukkan sokongan kepada Bersih [Hadi Azmi/BeritaBenar]

Pada Isnin, pegawai Bersih turut mengumumkan bahawa peguam mereka akan memohon writ Habeas Corpus di mahkamah dalam usaha untuk membebaskan beliau (Maria).

"Kami cuba sedaya upaya untuk membebaskan Maria secepat mungkin. Peguam kami bekerja 24 jam, dan pada Selasa, mereka (peguam) akan memfailkan permohonan Habeas Corpus di mahkamah Kuala Lumpur. Kami berterima kasih kerpada pasukan peguam kami, " kata aktivis Bersih.

Satu lagi perhimpunan yang dikenali sebagai "Wanita Bergerak Untuk Maria" akan diadakan pada Rabu ini di mana kaum wanita akan berarak bermula dari Padang Merbok ke Bangunan Parlimen mulai 10.30 pagi.

Perhimpunan lilin pertama yang diadakan di ibu negara pada Isnin turut dihadiri bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad yang turut membantah penahanan Maria. "Bebas Maria, Bebas Maria," laung Mahathir bersama-sama dengan kira-kira 450 penyokong, lapor Malaysiakini.

Mahathir berkata, negara ini ditadbir oleh kepimpinan kleptokratik.

"Saya sedih apabila diberitahu Maria dikurung dalam penjara. Ini adalah perbuatan kejam Perdana Menteri Najib Razak...Orang-orang seperti ini tidak seharusnya menjadi perdana menteri," tambah beliau.

Artis grafik politik Fahmi Reza [baju hitam] bersama gambar muka badut Perdana Menteri Najib Razak pada perhimpunan Bersih di ibu negara Kuala Lumpur, 19 November, 2016. [Hadi Azmi/BeritaBenar]

'Sorok kebenaran'

Sementara itu, bekas Pengerusi Bersih, S. Ambiga turut membantah penahanan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Adakah ini adil? Patutkan kita terima keadaan ini?

"Hari ini, kita akan buat apa sahaja dan yakin bahawa dia (Maria) akan dibebaskan tak lama lagi!" katanya.

Beliau menjelaskan, Bersih memperjuangkan kebenaran dan beliau sendiri tidak faham mengapa mereka (kerajaan) sangat takut dengan Bersih.

Ambiga bertanya, mengapa kerajaan menyorokkan kebenaran?

BERSIH, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, merupakan sebuah platform yang mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.

Bersih, yang telah menganjurkan lima perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, dengan yang pertama diadakan pada November 2007.
Protes jalanan terakhir dianjurkan oleh gabungan itu ialah BERSIH 4.0 pada Ogos tahun lepas di mana ia dianjurkan secara aman tanpa sebarang gangguan daripada pihak polis selama dua hari di Kuala Lumpur dan juga di dua lagi bandar iaitu di Kuching dan Kota Kinabalu.

Selain itu, perhimpunan yang sama juga diadakan di beberapa buah bandaraya di seluruh dunia.

Sementara itu Perdana Menteri Najib Razak yang sedang menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru berkata, beliau melihat masyarakat Malaysia sudah bosan dengan kumpulan Bersih atau merasakan tindak-tanduk perhimpunan yang dipromosikan kumpulan berkenaan tidak memberi faedah kepada negara.

"Kita sebagai rakyat Malaysia mestilah menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Kalau tidak, negara kita jadi negara huru hara, rakyat yang menderita," katanya yang mengulas mengenai perhimpuan Bersih 5 seperti dilaporkan agensi berita nasional negara (Bernama).

Mengulas mengenai kehadiran Dr Mahathir dalam Bersih 5, Najib berkata ia menunjukkan Dr Mahathir akan melakukan perkara-perkara yang berbeza dengan apa yang dilakukannya ketika menjadi Perdana Menteri.

 

Kumpalan Baju Merah yang pro-kerajaan turut berarak mengadakan protes mereka terhadap perhimpunan Bersih di ibu negara, Kuala Lumpur, 19 November, 2016. [Muzliza Mustafa/BeritaBenar]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.