Pembangkang, BERSIH Desak Kerajaan Malaysia Benarkan Pemantau Bebas

N. Nantha
2018.02.01
Kuala Lumpur
180201-my-pembangkang-1000.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohammed (tengah), anaknya, Mukhriz Mahathir (kiri) dan bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (kanan) ketika menghadiri perhimpunan anjuran Bersih 5.0 yang meminta supaya Perdana Menteri, Najib Razak meletak jawatan di Kuala Lumpur, 19 November, 2016.
AFP

Pemimpin gabungan parti pembangkang dan pertubuhan pemantau pilihanraya telus Bersih menuntut kerajaan membenarkan kehadiran pemantau pilihanraya antarabangsa yang bebas semasa proses Pilihan Raya Umum ke-14 [PRU14] jika Perdana Menteri Najib Razak yakin bahawa tiada sebarang penipuan bakal berlaku.

Gesaan mereka disuarakan berikutan kenyataan Najib selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Najib di sidang media selepas mesyuarat itu berkata bahawa sistem pilihanraya Malaysia yang sedia ada diurus dengan ketat dan tiada peluang untuk berlakunya penipuan.

"Peluang untuk menipu tidak wujud. Bagaimana mereka mengatakan Suruhanjaya Pilihanraya berlaku tidak adil? Sistem yang ada sekarang tidak berubah sejak dahulu. Malahan ianya jauh lebih baik," kata beliau ketika itu.

Pada Khamis, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah menyambut baik kenyataan Najib dan meminta beliau supaya tidak membantah jika pemantau tempatan dan antarabangsa termasuklah dari Bersih 2.0 menjadi pemantau ketika pilihanraya itu.

"Selain itu, Najib juga perlu menempatkan kerajaan pemangku bebas, menyediakan daftar pengundi yang bersih, mengurangkan pengundi askar dari kem yang belum dibina dan juga menolak cadangan persempadanan semula bila SPR membawa kes itu ke Parlimen untuk didebatkan.

"Ini akan menunjukkan keikhlasan beliau dan integriti pentadbiran kerajaan dan juga komitmen kepada pilihanraya yang bersih dan adil," kata Maria kepada BeritaBenar ketika dihubungi.

Baru-baru ini, gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan yang diketuai pengerusinya Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan duta-duta dari Kesatuan Eropah di Kuala Lumpur di mana aduan berkenaan salahlaku SPR dibangkitkan, menurut Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu.

Mohamad berkata perjumpaan tersebut adalah untuk memberikan tekanan kepada pengurusan Najib bagi memastikan pilihanraya akan datang dijalankan dengan adil.

Ketika ditanya perjumpaan PH dengan duta-duta Kesatuan Eropah, Najib berkata pembangkang terpaksa mengadu kepada kuasa asing agar keputusan pilihanraya nanti boleh diragui.

"Mereka cuma mahukan kontroversi. Mereka mendakwa sistem ini tidak adil walaupun sebenarnya ia sistem yang sama melantik Mahathir. Ia sistem yang sama memberikan kita kesenangan," kata Najib.

Empat belas duta dan pegawai antarabangsa dari negara-negara di Eropah hadir dalam pertemuan tersebut yang diadakan di kediaman ketua duta Eropah di Malaysia Maria Castillo Fernandez minggu lalu.

Sementara itu, presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin dalam kenyataan balas beliau kepada Najib, telah mencabar perdana menteri itu untuk menjemput pemantau bebas dalam pilihanraya akan datang.

"PH mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 akan menjadi pilihanraya yang terkotor dalam sejarah Malaysia. Tatkala gelombang kebangkitan rakyat menolak Najib dan Barisan Nasional semakin ketara, jentera Barisan Nasional juga sedang giat merancang pelbagai penipuan untuk mempertahankan kuasa," kata beliau dalam satu kenyataan media sambil mendesak Najib untuk membenarkan pemantau bebas.

Menurut Muhyiddin, Najib tidak perlu membohongi rakyat dengan mengatakan Barisan Nasional (BN) tidak akan menipu dalam pilihanraya akan datang.

"Hakikatnya, penipuan telah dan sedang dilakukan oleh BN kerana mereka semakin hari semakin takut akan kalah dalam pilihanraya. Buktinya, sehingga ke hari ini, Najib masih belum berani untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya," kata Muhyiddin dengan menambah dengan kuasa yang ada, Najib dan BN akan melakukan apa sahaja untuk terus kekal berkuasa.

Gabungan parti pemerintah yang diketuai oleh Najib akan menghadapi saingan gabungan parti pembangkang yang dipengerusikan oleh bekas perdana menteri malaysia ke 4, Mahathir Mohamad yang juga merupakan pengkritik nombor satu Najib dalam isu skandal 1Malaysia Development Berhad. Najib menafikan sebarang penglibatan dalam skandal tersebut.

Gabungan parti pembangkang menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri sebagai langkah mengukuhkan keyakinan rakyat kepada parti pembangkang.

Mahathir yang kini berusia 92 tahun kembali dalam arena politik untuk menjatuhkan Najib.

Beliau dinamakan sebagai calon perdana menteri dalam konvokesyen PH baru-baru ini manakala isteri kepada Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail telah dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Sebagai seorang pemimpin autokratik beberapa dekad lalu, Mahathir telah menyumbat beberapa pemimpinan parti lawan ke dalam penjara termasuklah Anwar.

Mahathir berkata kepada pemberita bahawa tidaklah mudah bagi parti politik yang dulunya parti lawan untuk menerima dan bekerjasama dengan beliau sekarang.

"Tapi mereka tahu betapa pentingnya untuk menjatuhkan kerajaan sekarang. Mereka yang tidak selesa dengan saya, polisi saya, tindakan saya, walaupun iannya susah bagi mereka, mereka sedar bahawa apa yang penting adalah masa hadapan bukannya masa lalu," kata Mahathir.

Anwar, ahli politik yang dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan meliwat suatu masa dahulu pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri Malaysia.

Penyokong Anwar mendakwa bahawa penahanannya berunsur politik.

Beliau dijangkakan bebas pada 8 Jun menurut Jabatan Penjara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.