Pengawal Pantai Bangladesh Selamatkan Ratusan Etnik Rohingya 'Kelaparan'

Abdur Rahman & Jesmin Papri
2020.04.16
Cox's Bazar & Dhaka, Bangladesh
200416-BD-Rohingya-wire-620.jpg Antara pelarian Rohingya yang diselamatkan di Teknaf, dalam daerah Cox's Bazar di Bangladesh, setelah terkandas hampir dua bulan di laut, 16 April 2020.
(AP)

Ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya yang "kelaparan" dibawa ke darat Bangladesh setelah hampir dua bulan mengikuti perjalanan yang gagal memasuki Malaysia di mana puluhan lagi yang mati terpaksa dilemparkan ke laut, kata pegawai dan mangsa yang diselamatkan pada Khamis.

Pengawal Pantai Bangladesh memberitahu bahawa mereka telah menyelamatkan 396 pelarian Rohingya dari sebuah kapal berhampiran Teknaf, iaitu daerah kecil di tenggara Cox's Bazar, pada malam Rabu.

"Dengan bantuan Pengawal Sempadan Bangladesh, kami menyelamatkan kapal nelayan itu, yang membawa etnik Rohingya dari kawasan Baharchora Jahajpur di Teknaf pada 9 malam Rabu,” kata Left Komander M. Sohel Rana, pegawai Pengawal Pantai yang ditugaskan di Teknaf.

"Mereka kelaparan. Mereka terapung selama 58 hari dan semasa tujuh hari terakhir itu, [kapal] bergerak ke perairan wilayah kami,” katanya kepada BeritaBenar.

Seramai 64 kanak-kanak, 182 wanita dan 150 lelaki telah diselamatkan, katanya.

Seorang wartawan BeritaBenar bercakap dengan mangsa etnik Rohingya yang terselamat dari kapal tersebut.

"Entah bagaimana saya dapat bertahan tanpa makanan mencukupi dalam dua bulan terakhir dan mendarat di Bangladesh," kata mangsa itu yang hanya mahu dikenali sebagai "Majed" dan merupakan pelarian dari sebuah kem di Teknaf  kepada BeritaBenar.

"Rokeya", seorang wanita yang diselamatkan bersama etnik Rohingya yang lain, berkata kapal pukat tunda itu tiba di Malaysia pada akhir minggu pertama tetapi tidak dibenarkan menuju ke darat, sambil memberitahu cubaan kedua berbuat demikian juga gagal. Dalam usaha mengekang penyebaran COVID-19, Malaysia telah menutup sempadan dan pelabuhannya serta melarang kemasukan orang asing.

Etnik Rohingya dapat mengumpulkan sejumlah makanan ketika kapal itu berlayar berdekatan Thailand namun bekalannya juga sedikit, kata Rokeya.

“Kami hanya diberi makanan dan air sehari sekali. Kami sangat sengsara dan ramai yang mati dan jatuh sakit,”katanya kepada BeritaBenar, sambil memeritahu bahawa solat jenazah dilakukan sebelum mayat mereka dilempar ke laut.

M. Sadeque, seorang pelarian dari kem Rohingya Balukhali yang juga selamat dalam perjalanan itu, menyatakan bahawa sebanyak 12 wanita dan 25 lelaki meninggal dunia semasa perjalanan tersebut.

"Tentera Laut Myanmar menahan kapal pukat tunda itu ketika ia berpatah balik dari Malaysia tetapi melepaskannya dengan pertukaran wang dan anak kapal kemudian melarikan diri menaiki kapal pukat lain," katanya kepada BeritaBenar. "Akhirnya, kapal pukat tunda kami berlabuh di dekat Teknaf."

Etnik Rohingya yang diselamatkan itu dibawa ke pos transit di sempadan Bangladesh-Myanmar di mana mereka diberi makan, kata pegawai Pengawal Pantai Bangladesh Sohel Rana. Mereka yang sakit diberikan rawatan sebelum diserahkan kepada UNHCR iaitu agensi pelarian PBB pada tengah hari Khamis.

Jurucakap UNHCR Louise Donovan berkata agensinya bekerjasama dengan kerajaan Bangladesh untuk menguruskan etnik Rohingya.

“Kami difahamkan lelaki, wanita dan kanak-kanak ini berada di laut selama hampir dua bulan dalam keadaan mengerikan dan kebanyakan daripada mereka amat kekurangan air dan zat makanan. Kami menghantar petugas ke tempat itu pagi ini dan cuba mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada pihak berkuasa tempatan,” kata Donovan kepada BenarNews.

"Tumpuan utama kami adalah melakukan pemeriksaan kesihatan dan memberi pertolongan kecemasan kepada mereka," katanya. "Prosedur standard disediakan untuk membantu ketibaan pendatang baru termasuk menjalani pemeriksaan perubatan sepenuhnya dan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditentukan."

Seorang anggota Pengawal Pantai Bangladesh menguruskan etnik Rohingya yang duduk berbaris di luar pusat transit Bangladesh-Myanmar di Teknaf, Cox's Bazar, 16 April 2020. [Abdur Rahman/BeritaBenar]

Malaysia sekat kemasukan kapal tunda lain

Di Malaysia, seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang mengawal pantai negara itu, berkata pihaknya tidak melihat kapal tersebut.

Namun, agensi itu menguatkuasakan arahan untuk tidak membenarkan kapal yang membawa warga asing memasuki negara itu dalam usaha mengekang penyebaran koronavirus, kata komandan Wilayah Utara APMM Kapten Zulinda Ramly kepada BeritaBenar pada lewat Khamis.

"Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19, APMM bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia untuk memperkuat sempadan maritim Malaysia dengan menyekat sebarang kemasukan haram ke perairan Malaysia," katanya melalui Facebook Messenger.

Sementara itu, ketika berita mengenai etnik Rohingya diselamatkan di Bangladesh tersebar pada Khamis, Tentera Udara Diraja Malaysia mengumumkan bahawa pihaknya telah menyekat sebuah kapal pukat tunda lain yang membawa etnik Rohingya daripada memasuki negara itu.

"Dengan keadaan penempatan serta kehidupan yang daif di tempat asal mereka, adalah sangat dibimbangi kumpulan pendatang asing tanpa izin yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau jalan laut akan membawa kluster baru COVID-19 ke negara ini," kata tentera udara itu dalam catatan di laman Facebook.

Pihak tentera udara yang mengesan kehadiran kapal itu telah memaklumkan kepada pihak tentera laut yang mengerahkan dua kapalnya untuk menghalang kapal pukat yang membawa kira-kira 200 lelaki, wanita dan kanak-kanak itu daripada memasuki perairan Malaysia. Anggota yang menaiki satu daripada kapal tentera laut itu turut menghulurkan bekalan makanan kepada kapal pukat tunda itu atas “dasar kemanusiaan."

Pada 31 Mac, APMM memintas sebuah kapal yang membawa hampir 60 etnik Rohingya di luar pulau Langkawi, berhampiran pantai barat laut negara itu.

Pada ketika itu pegawai menyatakan bahawa etnik Rohingya berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri kerana mereka ditemukan dalam perairan Malaysia dan tanpa dokumen yang sah. Pegawai APMM tidak bertindak tegas terhadap etnik Rohingya itu atas dasar kemanusiaan, kata Pengarah Wilayah Utara Laksamana Madya Rozali Mohammed Said.

Kapten Zulinda tidak segera menjawab pertanyaan BeritaBenar mengenai mengapa mereka yang menaiki kapal itu dibenarkan mendarat di daerah Langkawi pada 31 Mac, jika APMM mendapat perintah berkaitan COVID-19 supaya menyekat kemasukan kapal-kapal yang membawa rakyat asing.

Kumpulan hak asasi bersuara


Amnesty International (AI) dan Save the Children mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan sokongan kepada etnik Rohingya yang diselamatkan itu namun menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan mereka dijangkiti coronavirus.

"Lega melihat hampir 400 pelarian etnik Rohingya ini diterima oleh Bangladesh. Dengan penderitaan yang mereka lalui, terapung di laut selama dua bulan, mereka perlu diberi bantuan perubatan segera selain makanan serta tempat tinggal yang mencukupi,” kata Biraj Patnaik, pengarah Amnesty Asia Selatan.

"Selepas melarikan diri daripada kekejaman terhadap kemanusiaan di Myanmar dan kemudian tidak diterima masuk oleh Malaysia, mereka tiada lagi tempat untuk dituju - fakta jelas yang ditunjukkan menerusi sikap tidak peduli kerajaan lain yang enggan memberi perlindungan kepada mereka dan 32 orang penumpang lain yang dilaporkan mati."

Agensi berita Agence France-Presse melaporkan bahawa angka kematian itu mungkin hampir dua kali ganda berbanding apa yang didakwa AI.

"Pelarian Rohingya sudah banyak menderita. Perkara terakhir yang mereka perlukan ialah virus merebak dalam kem yang sesak dan padat tanpa kemudahan kesihatan mencukupi untuk menyokong mereka,” kata Patnaik.

Save the Children Rohingya juga menyuarakan kebimbangan serupa khususnya untuk 64 kanak-kanak yang diselamatkan dari kapal pukat tunda itu.

"Kanak-kanak etnik Rohingya adalah anak-anak yang paling terpinggir dalam planet ini," kata Athena Rayburn, pengurus advokasi hak kanak-kanak bagi NGO itu.

"Walaupun terselamat daripada kekejaman yang memaksa mereka meninggalkan Myanmar, kem-kem di Bangladesh bukanlah tempatnya buat kanak-kanak. Akses pendidikan dan perkhidmatan penting lain adalah terhad, dan kanak-kanak berisiko mengalami keganasan, eksploitasi dan penganiayaan," katanya sambil memberitahu bahawa kem-kem itu kini berdepan risiko wabak COVID-19 "yang berpotensi membawa akibat buruk. "

Kira-kira 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke kem-kem di dan sekitar Cox’s Bazar dari negeri Rakhine di Myanmar pada Ogos 2017 selepas pihak tentera melancarkan tindakan keras sebagai tindak balas terhadap serangan maut oleh kumpulan pemberontak di pos keselamatan kerajaan.

Mereka menyertai ribuan etnik Rohingya lain yang sebelum itu melarikan diri dari Myanmar, yang menjadikan jumlah pelarian di kem-kem berkenaan adalah melebihi 1 juta orang.

Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.