Video Terbaru BRN Tidak Jejas Rundingan Damai

Hata Wahari & Nasueroh
2015.09.09
150909-MY-TH-BRN620 Abdul Karim Khalib dari Barisan Revolusi Nasional (BRN), salah satu daripada kumpulan pemberontak Selatan Thailand mengkritik kerajaan negara itu sebagai "Penjajah" dalam video enam minit yang dimuat naik dalam Youtube. 7 Sept, 2015.
Youtube

Anggota Majlis Syura Patani (MARA Patani) yang juga Presiden Patani Liberation Organisation (PULO) MKPP, Kasturi Mahkota, menegaskan kepada BeritaBenar bahawa rundingan damai di antara MARA Patani dengan kerajaan Thailand tidak akan terjejas dengan tindakan seorang anggota majlis Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengeluarkan video yang menuntut kemerdekaan.

“Video yang dipaparkan itu tidak ada sedikit pun menunjuk penentangan terhadap MARA Patani, cuma menunjukkan tentangan terhadap pihak Thai sahaja… maka bagi saya dan PULO, proses dialog tidak terjejas malah dapat diteruskan seperti biasa…

“Cuma saya kesal sedikit kerana video itu menunjuk sedikit sebanyak keretakan dalam BRN sendiri dan sekaligus memberi ruang kepada pihak Thai untuk meneruskan proses pecah dan perintah mereka," katanya menjawab soalan BeritaBenar melalui e-mel pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai video sepanjang enam minit yang dimuat naik dalam YouTube pada Isnin, di mana jurucakap bagi ‘jabatan penerangan Barisan Revolusi Nasional’, salah satu daripada kumpulan pemberontak paling lama beroperasi di Selatan Thailand, membacakan pengisytiharan bahawa ‘kemerdekaan Patani’ kekal menjadi ‘objektif paling utama’ BRN.

Video itu kali pertama dikeluarkan oleh salah satu daripada kumpulan pemberontak selatan sejak rundingan damai diadakan pada Disember 2013.

Patani merupakan satu daripada wilayah di kawasan sempadan selatan Thailand dengan majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Sejak 2004, lebih daripada 6,000 orang terbunuh dan 10,000 orang lagi cedera dalam keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan.

'Satu bahasa, satu negara'

Video itu menampilkan penceramah tunggal, yang memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Karim Khalib yang muncul dalam beberapa video yang dikeluarkan oleh BRN pada 2013.

Video terbaru itu tidak menyebut MARA Patani, tetapi ia mempersoalkan integriti dan kebolehpercayaan pihak kerajaan Thailand, dengan menuduh Thailand melakukan "penipuan" dan "manipulasi" pada masa lepas.

"Rundingan damai itu mungkin mengulangi penipuan penjajah pada masa lalu, kerana penjajah memang terkenal dengan manipulasi dan keganasan," kata Abdul Karim.

Abdul Karim menjadi sebahagian daripada delegasi pemberontak dalam rundingan 2013, yang diusahakan oleh Malaysia, tetapi beliau tidak muncul bersama-sama tujuh orang lelaki yang mewakili MARA Patani di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam video itu, Abdul Karim mendakwa bahawa dasar penjajah "pecah dan perintah" telah mengawal kawasan yang dikenali sebagai Patani sejak 1786.

"Selagi ideologi politik penjajah tidak berubah, dan tidak mengakui hak orang Melayu Patani untuk menentukan nasib sendiri mengikut PBB [Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - Perhimpunan Agung] Resolusi 1514, revolusi rakyat Melayu Patani akan berterusan sehinggalah orang Melayu Patani mencapai kebebasan," Abdul Karim berkata sambil memberi amaran.

"Akhir sekali, kami menegaskan bahawa pengakuan ini adalah satu pengiktirafan kepada pendirian bersatu kami: satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Tiada kanan. Tiada kiri. Kemerdekaan atau Syahid [kematian yang mulia], " tambah beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Deep South Watch, sebuah NGO yang berpengkalan di wilayah Patani yang memantau konflik di rantau itu, Srisomphob Chitpiromsri pada Selasa berkata, video terbaru dalam talian itu, mendedahkan potensi perpecahan dalaman berhubung usaha-usaha semasa untuk memulakan semula rundingan damai rasmi dengan kerajaan Thailand.

"Kenyataan ini berkaitan dengan bahagian BRN yang menyokong perjuangan cara lama dengan keganasan, dan ini adalah pengumuman mengenai pendiriannya,

"Ia adalah gambaran bahawa, di dalam BRN, terdapat  perbezaan pendapat berhubung proses damai itu. Tetapi saya percaya kenyataan itu tidak akan memberi kesan kepada dialog berkenaan," kata beliau kepada BeritaBenar.

Beliau juga merujuk kepada usaha ‘pintu belakang’ yang dijalankan sejak April lalu yang bertujuan memulakan rundingan damai rasmi antara pihak pemberontak dan kerajaan Thailand yang dikuasai tentera, yang merampas kuasa pada Mei 2014.

Pusingan terakhir rundingan damai rasmi diadakan pada 2013 di bawah kepimpinan kerajaan awam.

Bulan lepas, sebuah kumpulan baru dikenali dengan nama MARA Patani memperkenalkan diri sebagai badan induk yang akan mewakili pelbagai pertubuhan dan kumpulan pemberontak selatan Thailand atau Deep South sebagai satu barisan dalam rundingan damai pada masa depan.

Pengerusi MARA Patani Awang Jabat dan ketua perundingnya Matshukri Hari adalah pegawai-pegawai kanan BRN.

Selepas sesi terakhir rundingan tertutup di Kuala Lumpur dengan delegasi Thai diketuai oleh Jeneral Aksara Kerdpol, Awang memberitahu pada sidang media bahawa kemerdekaan yang kekal adalah matlamat menyeluruh kesemua anggota gabungan MARA Patani itu.

'Benar-benar ikhlas'

Sementara itu, Pegawai Tentera Thailand Mejar Jeneral Nakrob Boonbuathong, yang terlibat dalam usaha kerajaan memujuk pemberontak kembali ke meja rundingan, pada Selasa berkata, bahawa video terbaru itu "tidak memberi sebarang kesan terhadap rundingan damai itu."

"Kerajaan Thailand benar-benar ikhlas dalam mengadakan proses perbincangan damai ini," kata Nakrob kepada BeritaBenar di Bangkok.

"Saya tidak tahu bila klip video itu dirakamkan. Ia tidak mengkritik MARA Patani. Jika ia tidak bersetuju dengan MARA Patani, klip ini sepatutnya menyatakan nama."

Pada mesyuarat 25 Ogos lalu di Kuala Lumpur, MARA Patani menetapkan beberapa syarat sebelum mengadakan rundingan.

Para pemberontak menuntut kerajaan Thailand supaya mengiktiraf MARA Patani sebagai badan perunding yang sah, dan memberi jaminan imuniti kepada para perundingnya.

Isu imuniti untuk ahli-ahli pasukan perunding pemberontak 'adalah amat sensitif’, kata Nakrob.

"Kita tidak boleh menetapkan bila 'rundingan rasmi' berikutnya akan diadakan kerana jawatankuasa kecil sedang memikirkan tiga syarat yang dibangkitkan semasa pra rundingan terbaru itu," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.