Malaysia: Kluster Depot Tahanan Imigresen Lonjak Jangkitan COVID-19

Nisha David & Noah Lee
2020.05.26
Kuala Lumpur, Malaysia
200526-MY-Immigration10000.jpg Pihak berkuasa membawa pendatang tanpa izin dari pasar borong Selayang di Kuala Lumpur ke depot-depot tahanan, 11 Mei 2020.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Kerajaan Malaysia pada Selasa melaporkan peningkatan harian tertinggi dalam kes koronavirus baru sejak 3 April, yang kebanyakannya berpunca daripada kluster baru yang dikesan di tiga daripada 14 depot tahanan imigresen – dengan seorang tahanan baru-baru ini menggambar satu daripada depot itu sebagai sesak dan tidak bersih.

Pada Selasa, kerajaan mengesahkan 187 kes COVID-19 yang baru menjadikan jumlah keseluruhan kes itu di seluruh negara sebanyak 7,604. Tidak ada kematian akibat koronavirus dilaporkan pada hari berkenaan menjadikan jumlah korban kekal pada 115 orang.

"Penularan tempatan virus itu dalam kalangan warga asing melibatkan 155 kes baru yang dikesan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil," kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah kepada wartawan pada Selasa sambil memberitahu bahawa pegawai sedang menunggu keputusan saringan daripada depot tahanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan di Semenyih, Selangor.

Sebanyak 13 kes positif lain pula melibatkan pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, iaitu satu lagi daerah di ibu negara Malaysia, kata beliau.

Semua pendatang tanpa izin dalam tahanan yang didapati negatif COVID-19 akan dihantar pulang ke negara asal mereka, kata menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri, yang pada Selasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin, memberitahu wartawan bahawa pegawai Kementerian Luar akan berbincang dengan rakan sejawatan mereka dari negara terbabit bagi menguruskan penghantaran pulang rakyat masing-masing.

"Antara lain yang diputuskan pada mesyuarat itu adalah mewajibkan saringan COVID-19 dilakukan ke atas semua pendatang tanpa izin yang ditahan di Depot Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Bukit Jalil dan Semenyih," kata Ismail Sabri pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen nasional dan platform media sosial. Ketiga-tiga depot itu adalah pusat tahanan yang mencetuskan kluster jangkitan tersebut.

Sementara itu, seorang etnik Rohingya yang telah keluar daripada sebuah depot tahanan lain pada bulan lalu, menceritakan tentang keadaan yang berlaku di dalam pusat tahanan tersebut.

“Saya ditahan di depot tahanan Imigresen itu dari Mac 2018 sehinggalah baru-baru ini pada 10 April ditahan di depot Lenggeng di Negeri Sembilan. Saya diberitahu bahawa pusat tahanan ini boleh memuatkan 1,500 orang dan ketika saya berada di sana, keadaan adalah amat sesak,” kata etnik Rohingya berusia 18 tahun itu, yang enggan menyatakan namanya kerana bimbangkan tindakan.

"Bilik saya boleh memuatkan 100 orang, tetapi kerana bertambahnya orang yang ditahan, ada lebih daripada 160 orang di dalam bilik itu."

Dia memberitahu bahawa mereka yang berada di bilik itu tidak dapat menjaga kebersihan dengan betul kerana berkongsi tandas.

"Ruang tidur adalah sangat sempit, dari hujung ke hujung. Kami semua tidur di lantai simen. Tiada tilam, tiada alas, tiada apa-apa,”katanya kepada BeritaBenar. "Tidak hairanlah virus ini mudah merebak, berikutan keadaan yang berlaku di dalam depot."

Para pegawai tidak mengeluarkan perincian mengenai kes koronavirus di depot Lenggeng atau 10 depot tahanan lain yang tidak termasuk dalam kluster itu.

Katil mencukupi di hospital


Ismail Sabri mengumumkan bahawa pendatang asing tanpa izin yang positif COVID-19 akan dirawat di hospital sementara Kementerian Kesihatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang, Selangor, manakala mereka yang diuji negatif akan dikuarantinkan sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.

Beliau berkata kerajaan telah menambah dua lagi hospital untuk merawat pendatang tanpa izin yang dijangkiti coronavirus iaitu di Hospital Kusta Sungai Buloh dan Bangunan Wad Bersalin Lama di Hospital Kuala Lumpur. Ketiga-tiga hospital itu boleh menampung 1,430 pesakit pada satu-satu masa.

Ismail Sabri memberitahu wartawan bahawa usaha untuk mengkuarantinkan dan menghantar pendatang tanpa izin pulang ke negara asal merupakan tindakan kerajaan untuk melindungi rakyatnya yang sebahagian besarnya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, yang menetapkan syarat jarak sosial, ketika Malaysia bertarung memerangi wabak tersebut.

"Pendatang tanpa izin perlu sedar bahawa mereka memasuki negara ini secara haram. Saya tidak tahu jika ada negara di dunia ini yang membenarkan pendatang tanpa izin untuk bebas bergerak ke mana-mana sahaja,” katanya. “Mereka yang memasuki negara ini secara haram adalah melakukan kesalahan mengikut undang-undang dan boleh ditangkap.

“Mereka harus berterima kasih kepada kami. Bayangkan jika mereka tidak ditangkap dan menyebarkan virus itu kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Di seluruh dunia, lebih 5.5 juta orang telah dijangkiti COVID-19 dan hampir 348,000 yang meninggal dunia akibatnya pada Selasa, menurut data yang dikumpulkan oleh pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.


Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.