COVID-19: Malaysia Rekod Positif Jangkitan Harian Tertinggi, 287 Kes
2020.10.02
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia pada Jumaat mencatatkan jumlah harian tertinggi penularan COVID-19, dengan 287 kes positif baharu direkodkan sehingga mencetuskan reaksi kecewa orang awam terhadap sikap pemimpin yang gagal mematuhi SOP semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri Sabah lalu, dan penyebab kepada peningkatan jumlah kes di negara itu.
Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula menunjukkan 128 daripada 287 kes harian baharu adalah daripada Kluster Tembok yang penularannya berlaku di sebuah penjara di Kedah, sekaligus menjadikannya penjara kedua selepas Sabah, berlakunya penularan jangkitan pandemik berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes harian baharu itu merupakan kes jangkitan dalam negara dan tidak kes import direkodkan dan 20 kes adalah melibatkan mereka yang pulang daripada Sabah sekaligus jumlah kumulatif pulang daripada negeri dibawah bayu sejak 20 September lepas adalah sebanyak 139 kes.
“Hari ini, Malaysia mencatatkan sejumlah 287 kes baharu positif COVID-19, iaitu jumlah kes harian yang tertinggi pernah dicatatkan sejak permulaan pandemik ini,” kata Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.
Malaysia pernah mencatatkan kes harian tertinggi dalam negara pada 4 Jun lepas iaitu sebanyak 277 kes direkodkan.
Ketua Pengarah itu berkata jangkitan baharu harian di Kedah adalah tertinggi iaitu 129 kes positif, diikuti Sabah sebanyak 113 kes, Selangor [31], Perak [3], Terengganu [3], Negeri Sembilan [2], Kelantan [2] dan masing-masing satu jangkitan kes di Pahang, Johor, Kuala Lumpur dan Labuan.
Katanya, Kluster Tembok yang mula dikesan sejak Rabu lalu, kini mempunyai jumlah keseluruhan sebanyak 219, dengan 53 daripadanya melibatkan individu bukan warganegara.
BeritaBenar tidak dapat memastikan jika kesemua yang dijangkiti di dalam penjara tersebut adalah di kalangan banduan atau warden kerana jumlah pecahan tidak dikongsi dengan pihak media.
Jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 11, 771 kes dengan kematian kekal 136 manakala bagi peringkat global pula, Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat mengeluarkan statistik yang menunjukkan sejumlah 34.1 juta kes jangkitan dengan lebih 1 juta kematian akibat COVID-19 direkodkan bagi seluruh dunia.
Di Sabah pula, 35 daripada 113 kes positif baharu yang dikesan adalah daripada ‘Kluster Benteng Lahad Datu’, yang berpunca di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada 1 September lalu yang sehingga kini telah merekodkan 924 kes positif wabak COVID-19.
Daripada jumlah itu, 375 kes dari kluster tersebut melibatkan individu bukan warga negara Malaysia.
Dengan jumlah kes harian tertinggi pada Jumaat itu, ia sekaligus merekodkan kes melebihi angka 200 dengan trend terkini peningkatan itu turut mendapat perhatian daripada pimpinan tertinggi negara, di mana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dipercayai akan hadir bagi mempengerusikan sendiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bagi membincangkan permasalahan COVID-19 pada Sabtu.
Perkara itu dinyatakan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa dalam ciapan di Twitter pada petang Jumaat yang membayangkan bahawa mesyuarat itu akan membincangkan tindakan seterusnya bagi membendung penularan wabak koronavirus.
Difahamkan, mesyuarat khas tersebut turut akan membincangkan sama ada kerajaan akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan semula.
Cetus kemarahan
Peningkatan kes harian beberapa hari kebelakangan ini telah mencetuskan reaksi negatif dan rasa kecewa orang awam terhadap kerajaan dan pemimpin politik yang gagal mematuhi mematuhi ‘standard operating prosedur’ (SOP) KKM termasuk tidak memakai topeng muka, menjaga penjarakan fizikal dan gagal mematuhi arahan kuarantin 14 hari di rumah semasa dan selepas berkempen di Sabah.
Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis memohon maaf kepada rakyat dan petugas barisan hadapan berikutan peningkatan wabak akibat penganjuran pilihan raya tersebut.
“Kedudukan terkini COVID-19 merisaukan… dan saya yang mewakil UMNO/BN [Barisan Nasional] mohon maaf kepada rakyat dan ‘frontliners’ berikutan peningkatan wabak akibat pilihan raya negeri Sabah,” kata Ahmad Zahid yang turut menegaskan pilihan raya tersebut bukan kehendak partinya.
Pada 24 September lalu, Ketua Menteri Sabah ketika itu,Shafie Apdal berkata beliau memohon maaf kerana terpaksa mengadakan pilihan raya sedangkan negara sedang bergelut dengan penularan COVID-19 akibat kemelut politik dalaman negeri itu.
“Saya sedar dan tahu pada hari ini kita berhadapan dengan pilihan raya ke-16 di Sabah dan dalam kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah kerana berdepan pilihan raya dalam keadaan Covid-19, dan kemungkinan kita terjangkit dengan penyakit ini,” katanya menerusi laman media sosial Facebook beliau.
Kegusaran itu juga menimbulkan tandapagar baharu iaitu #RakyatJagaRakyat bagi menggantikan tandapagar #KitaJagaKita yang mula digunakan di media sosial pada awal Mac lalu yang dilihat telah digunapakai oleh ahli politik termasuk Muhyiddin dalam poster pilihan raya di Sabah.
“Kalau anda tertanya kenapa #RakyatJagaRakyat mula sohor sejak semalam, ini merupakan respon rakyat terhadap kerajaan yang hanya peduli untuk menjaga kepentingan golongan mereka sendiri daripada COVID-19. Mereka juga telah ‘hijack’ #KitaJagaKita,” ulas aktivis perundangan Syahredzan Johan melalui ciapan Twitternya.
Pengguna Twitter, Razif Rasmi pula berkata tandapagar itu timbul akibat kegagalan ahli politik yang lebih mementingkan perebutan kuasa.
“Sebabkan perebutan kuasa, ahli politik mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat dan hanya menjaga kepentingan masing-masing,” ulas beliau.
Mengulas peningkatan kes tersebut, pakar perubatan awam Gerard Lawrence berkata semua orang perlu terus mematuhi SOP bagi mencegah penularan wabak tersebut yang merebak tanpa penat lelah.
“Wabak ini akan terus menyerang jika kita kembali kepada kebiasaan lampau dan mengambil sikap tidak acuh terhadap SOP. Lihat saja pusat membeli belah, restoran, pengangkutan awam dan taman. Orang awam seakan-akan lupa ada pandemik yang sedang menular dan mentaliti ini harus kita ubah,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata kementerian itu telah menggerakkan aset negara di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memperketatkan kawalan sempadan negara bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Saya turut mengarahkan bilangan anggota dan operasi yang terlibat dalam Op Benteng ditambah sebagai langkah memastikan pencerobohan PATI yang berkemungkinan membawa virus COVID-19 dan penyebarannya dalam kalangan rakyat tempatan dapat dikekang," kata menteri itu.
BeritaBenar juga difahamkan yang seorang daripada Timbalan Menteri yang kembali dari Sabah, kini positif COVID-19 dan sedang mendapat rawatan di sebuah hospital di Selangor, tetapi cubaan untuk mendapatkan pengesahan mengenainya daripada pihak berkuasa gagal.
Selain itu, proses kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin telah dipendekkan sekiranya ujian saringan harian didapati negatif dan mereka yang terlibat dibenarkan pulang tetapi digalakkan menjalani sambungan kuarantin di rumah.