Pengarah Kejohanan Catur Nafi Tegur Gadis 12 Tahun Bepakaian Menggoda

Fadzil Aziz
2017.05.02
Kuala Lumpur
170502-MY-CHESS-1000.jpg Kejohanan Catur Dunia yang berlangsung di New York, 26 November 2016.
AFP

Seorang pengarah kejohanan catur Malaysia, yang terbabit dalam kontroversi melibatkan pakaian singkat seorang gadis berusia 12 tahun pada satu kejohanan catur di Putrajaya, menafikan telah menegur gadis itu berpakaian “menggodakan”.

Pengarah Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 Sophian A Yusuf  juga menafikan pernah bertemu dengan peserta itu atau pun menegur gadis itu, yang didakwa berskirt pendek.

“Saya difitnah. Saya juga tidak pernah keluarkan perkataan ‘menggoda’ sepanjang kejohanan itu. Saya tidak pernah jumpa pemain berkenaan. Saya tidak tahu cara dia berpakaian sepanjang kejohanan itu sehingga seseorang menulisnya di media sosial,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan media tempatan pada Selasa.

Isu gadis itu mula tular di laman media sosial Malaysia apabila dia, yang tidak dinamakan, menarik diri daripada kejohanan tersebut kerana didakwa memakai pakaian kurang sesuai iaitu skrit atas paras lutut pada hari pertama kejohanan.

Rata-rata pengamal media sosial Malaysia telah mengecam pegawai kejohanan tersebut dan menggesa tindakan diambil terhadapnya dan pihak penganjur.Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung dua hari bermula 14 April lepas.

Isu itu menjadi lebih sensasi apabila pengamal tegar media sosial di Malaysia menyebarkan gambar Sophian, yang juga merupakan Penolong Setiausaha Persekutuan Catur Malaysia (MCF).

Selain digesa meletakkan jawatan, Sophian juga dituduh sebagai pedofilia dengan segelintir pemegang akaun media sosial di negara itu mengesyorkan polis supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Sophian, yang mengakui episod tersebut telah memberi kesan negatif kepada keluarganya, berkata, beliau telah membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenai tuduhan melulu pengamal media sosial negara itu.

Berpakaian menghormati orang

Kejohanan tersebut tidak mempunyai kod pakaian tertentu namun, ia menggunakan undang-undang catur Persekutuan Catur Dunia yang ia menggariskan peserta hendaklah berpakaian “perwatakan dihormati orang”.

Kontroversi tersebut bermula apabila jurulatih gadis itu, Kaushal Khandhar menerusi catatan Facebook beliau pada minggu lalu mendakwa, ketua pengadil kejohanan telah maklumkan kepada peserta terbabit dan ibunya bahawa pakaian sehingga paras lutut gadis itu “menggoda” dan “satu godaan dari sudut tertentu yang amat jauh”.

Dalam catatan yang sama, Kaushal mendakwa ketua pengadil tersebut memaklumkan pakaian gadis itu tidak sopan dan melanggar kod berpakaian bagi kejohanan itu.

Kejadian tersebut secara tidak langsung menyebabkan anak didiknya itu “terganggu” dan “malu”, katanya.

Gadis yang tidak dinamakan itu merupakan juara catur daerah di Kuala Lumpur.

Gadis itu kemudian menarik diri daripada kejohanan itu kerana gagal mendapatkan pakaian “sesuai” untuk dipakai pada hari pertandingan yang bermula pada 9 pagi keesokannya.

Menurut laporan media tempatan, gadis itu dan ibunya dipercayai menetap di sebuah hotel di Putrajaya sempena kejohanan itu.

Sophian turut mendakwa kes gadis itu telah dikendalikan pengadil kejohanan dan beliau hanya mengetahui mengenai perkara berkenaan selepas tamatnya kejohanan pada 16 April.

Menurutnya, seorang pembantu wanita kejohanan itu yang bertindak menasihatkan peserta berkenaan selepas pengadil mendapati pakaiannya tidak sesuai pada hari pertama kejohanan.

Tindakan gadis dan ibunya tidak mematuhi nasihat itu menyebabkan amaran terpaksa dikeluarkan pengadil selepas pusingan kedua bermula.

“Pengadil terbabit kemudiannya melaporkan perkara itu kepada ketua pengadil kerana peserta berkenaan tidak menukar pakaiannya,”katanya.

Sophian juga menegaskan bahawa gadis itu tidak pernah “diancam akan hilang kelayakan” sebaliknya, beliau menarik diri secara sukarela.

Sebelum ini, ibu peserta terbabit mendakwa ketua pengadil telah mengganggu mutu permainan anaknya apabila dimaklumkan perkara itu pada kira-kira 10 malam.

Wanita itu turut mendakwa anaknya terpaksa menarik diri daripada kejohanan berkenaan kerana gagal menepati kod berpakaian kejohanan menjelang pusingan kedua yang bermula  pada 9 pagi esoknya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.