Judi Atas Talian: Mahkamah Malaysia Dakwa 89 Warga China

Noah Lee
2019.01.31
Kuala Lumpur, Malaysia
190131-MY-Chinese-betting-1000.jpg Sepasukan Polis Malaysia bersedia untuk sidang media mengenai penipuan dalam talian melibatkan warga China di Kuala Lumpur, 28 September, 2018.
[AP]

Seramai 89 orang warga dari China dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis, 10 hari selepas mereka ditahan pihak berkuasa Malaysia di sebuah premis di ibu negara kerana dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian haram dalam talian.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 49 tahun didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Akta Pertaruhan 1953 kerana membenarkan aktiviti pertaruhan haram dijalankan di sebuah tempat pada jam1.30 pagi 21 Januari lepas.

"Bahawa kamu pada 21 Jan 2019 jam lebih kurang 1.30 pagi di premis unit 909, Tingkat 9 Menara Hai-O Jalan Bukit Bintang di dalam daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah didapati membenarkan aktiviti pertaruhan haram dijalankan sesebuah tempat.

"Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953," menurut kertas pertuduhan.

Atas sebab jumlah tertuduh yang ramai, pertuduhan ke atas mereka dibuat di tujuh Mahkamah Majistret yang berbeza dengan 62 mengaku tidak bersalah telah direkodkan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin, Farah Adlini Mohd Mohd Din, Noorasyikin Sahat, Namirah Hanum Mohamed Albaki dan Rahni Kartini Abd Rahim selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Mandarin.

Manakala pengakuan oleh 27 orang lagi yang tertuduh yang didakwa di hadapan Majistret Umzarul An-Nur UMar dan Maizatul Munirah Abdul Rahman tidak direkodkan kerana mahkamah tidak mempunyai jurubahasa pada masa itu.

Di bawah undang-undang berkenaan, setiap tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000(AS$4,889) dan tidak lebih RM200,000(AS $48,898) serta boleh dihukum penjara maksima 5 tahun jika disabitkan kesalahanoleh mahkamah.

Susulan pertuduhan itu, kesemua Majistret telah membenarkan setiap warga asing berkenaan diikat jamin dengan jumlah jaminan di antara RM2,300(AS $562) hingga RM11,000(AS $2,689).

Mahkamah juga menetapkan pada 1, 4, 7, 8, 12 dan 13 Mac akan datang sebagai tarikh sebutan untuk kes terhadap kesemua tertuduh.

Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Afiq Nazrin Zaharinan, Amirul Asyraf Abdul Rashid,Nur Farah Adilah Noordin,Siti Hajar Mohd Ashif dan Ahmad Zikri Jaafar, Ruzanna Razali dan Noorelynna Hanim Abd Halim.

Menurut sumber polis, kesemua tertuduh adalah di antara 93 orang yang ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Kontijen Kuala Lumpur.

Beroperasi empat bulan lepas


Menurut maklumat, mereka yang ditahan dalam operasi itu termasuk tujuh wanita, manakala selebihnya adalah lelaki.

"Operasi itu dilakukan selepas polis mendapat maklumat bahawa terdapat aktiviti perjudian yang dipercayai dijalankan oleh satu sindiket di premis berkenaan," kata salah seorang sumber polis kepada BeritaBenar.

Kesemua mereka didapati mempunyai dokumen perjalanan yang sah kecuali dua orang yang didapati berada dalam negara dengan dokumen yang telah tamat tempoh, menurut seorang lagi sumber.

Menurut sumber itu lagi, siasatan awal polis mendapati kegiatan sindiket berkenaan telah beroperasi hampir 4 bulan lepas dan premis itu, digunakan untuk tujuan transaksi perjudian yang dipercayai di negara China sahaja, dan tiada pelanggan dari negara Malaysia dikesan.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan dapati sindiket ini turut menjalankan aktiviti pertaruhan judi berunsurkan perjudian atas talian (online) dengan memperdayakan pengguna bahawa permainan tersebut senang dimainkan dan peluang untuk menang adalah tinggi dengan menghantarkan QR Code kepada pengguna untuk mencuba nasib,” kata sumber itu kepada BeritaBenar pada Khamis.

Difahamkan bahawa pihak berkuasa turut merampas sejumlah 212 set komputer, 20 komputer riba dan 77 telefon bimbit yang dipercayai digunakan sebagai alat untuk menjalankan aktiviti perjudian.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim pula dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, pihak berkuasa negara itu tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket berkenaan didalangi rakyat tempatan.

"Sindiket ini mensasarkan warga China dan tidak mustahil didalangi rakyat tempatan," katanya seperti dipetik akhbar Harian Metro.

Pada Julai tahun lepas Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memberitahu media bahawa polis menghadapi cabaran dalam menangani isu perjudian terutamanya perjudian dalam talian kerana perkembangan teknologi semasa dan juga penggunaan server dan aplikasi telefon bimbit yang menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Mohamad Fuzi turut berkata bagi tempoh Januari hingga 20 Julai, 2018, pihaknya menahan 32 individu di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA) berkaitan pelbagai kesalahan berkaitan judi termasuk judi dalam talian.

"Ini menunjukkan pengurangan berbanding tahun lepas apabila 34 individu telah dikenakan tindakan di bawah POCA," katanya kepada media.

Beliau turut berkata PDRM turut mengambil langkah tambahan dengan membuka bilik gerakan bagi orang awam untuk membuat laporan di setiap kontijen negeri berkaitan aktiviti perjudian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.