Demam Coldplay landa Malaysia, Indonesia: Pejuang agama desak batalkan konsert

Parti-parti berasaskan Islam berkata kumpulan rock Britain itu tidak bermoral kerana mereka telah menyuarakan sokongan kepada komuniti LGBTQ+.
Iman Muttaqin Yusof & Tria Dianti
2023.05.30
Kuala Lumpur & Jakarta
Demam Coldplay landa Malaysia, Indonesia: Pejuang agama desak batalkan konsert Vokalis utama Coldplay, Chris Martin, ketika membuat persembahan di Stadium Wembley di London, 12 Ogos 2022.
[Maja Smiejkowska/Reuters]

Tatkala berita tersebar bahawa kumpulan rock Britain, Coldplay, akan mengadakan konsert di Malaysia dan Indonesia hampir enam bulan dari sekarang, ia telah mencetuskan kekecohan dalam kalangan peminat dan kumpulan konservatif di kedua-dua negara berkenaan - namun, bagi sebab yang sangat berbeza.

Bagi para peminat muzik, ini adalah peluang untuk melihat kumpulan yang mencatat kedudukan teratas carta itu membuat persembahan secara langsung buat pertama kalinya di negara mereka. Tetapi, bagi pihak berkuasa Islam separuh rasmi Indonesia dan parti Islam tegar di Malaysia, Coldplay dianggap tidak bermoral kerana mereka menyokong komuniti LGBTQ+.

Memandangkan tentangan dan bantahan itu datangnya daripada kumpulan arus perdana - dan bukan pinggiran - ia menyebabkan para pemerhati berfikir sejenak di dua negara berjiran yang mempunyai majoriti penduduk Islam itu.

Malaysia baru sahaja melalui pilihan raya umum penuh sengit, yang menyaksikan PAS menawan kerusi terbanyak dalam kalangan semua parti di Parlimen, manakala Indonesia pula akan mengadakan pilihan raya umumnya pada Januari depan.

Bagaimanapun, sikap tidak bertoleransi telah meningkat di kedua-dua negara sejak beberapa tahun lalu, kata penganalisis.

Apabila Coldplay mengumumkan tarikh jelajah konsert dunianya, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membuat catatan Instagram dengan satu video pendek bagi mengalu-alukan kedatangan kumpulan yang memenangi Anugerah Grammy itu.

“Coldplay, Selamat datang ke Kuala Lumpur,” menurut catatan pemimpin berusia 75 tahun itu.

“Marilah kita bekerjasama (untuk) melindungi alam sekitar kita dan memastikan dunia terus selamat. Terima kasih,” kata beliau dalam video itu, yang merujuk kepada inisiatif pembersihan sungai kumpulan itu di Asia termasuk di Malaysia.

Di Indonesia, peminat muzik Yudhistira Amran Saleh, 32, menghabiskan masa berjam-jam dalam talian dengan menggunakan komputer meja, komputer riba dan telefon untuk menyertai barisan maya bagi membeli tiket pra-jualan kumpulan rock tersebut. Beliau memperoleh empat tiket yang bernilai 20 juta rupiah (AS$1,300) untuk konsert Coldplay pada 15 November di Jakarta.

“Ini adalah peluang seumur hidup. Ini juga kali pertama saya akan menonton konsert dengan isteri saya. Biasanya, saya pergi sendirian,” kata Yudhistira kepada BenarNews.

Rakan senegaranya, Anwar Abbas, yang juga timbalan pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI) pula memberi pendapat yang berbeza.

Coldplay, kata ahli majlis itu, tidak sepatutnya dibenarkan membuat persembahan di Indonesia.

"Mereka tiada tempat di negara ini untuk membuat persembahan dan mengadakan konsert," katanya kepada BenarNews, sambil memberi peringatan bahawa negara itu boleh "berpecah belah" jika maksiat dibiarkan berleluasa.

“Jika yang mereka cari hanyalah wang, buka sahaja rumah perjudian dan pelacuran. Tetapi perkara ini tidak dibenarkan. Begitu juga dengan amalan LGBT.”

Di Malaysia, Nasrudin Hassan, ahli jawatankuasa kerja pusat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menuduh Coldplay mempromosikan budaya "hedonisme dan penyelewengan."

“Saya nasihatkan supaya dibatalkan persembahan kumpulan ini di Malaysia. Ia tidak membawa apa-apa faedah kepada agama, bangsa, dan negara,” katanya dalam catatan Facebook beliau pada 9 Mei.

'Maaf, tetapi kami juga sayangkan kamu'

Coldplay telah menjual lebih daripada 100 juta rekod dan memenangi tujuh anugerah Grammy. Penyanyi utamanya Chris Martin juga terkenal dengan aktiviti sosialnya dan gambar-gambar persembahan pentas kumpulan itu menunjukkan beliau mengibarkan bendera Pride LGBTQ.

Dalam satu temu bual dengan Martin, stesen radio nasional Malaysia, HITZ bertanya kepada vokalis utama kumpulan itu apakah mesej yang beliau mahu bawa untuk peminat di negara tersebut.

“Semua orang dialu-alukan menghadiri dan menyaksikan persembahan kami. Kami sayang semua orang, semua jenis orang, semua agama. Semua pemimpin, semua pengikut – tiada siapa yang dikecualikan,” katanya kepada hos rancangan itu.

“Kami benar-benar mahu anda datang menyaksikan persembahan kami dan berasa bebas untuk menjadi diri sendiri dan berasa bebas untuk membiarkan semua orang menjadi diri mereka sendiri. Bagi mereka yang tidak gembira dengan kedatangan kami, kami memohon maaf, tetapi kami juga sayangkan kamu.”

Kerajaan di Malaysia dan Indonesia telah mempertahankan konsert Coldplay yang akan diadakan itu dan menyatakan bahawa mereka telah mengambil langkah untuk memastikan adanya jaminan keselamatan pada acara tersebut.

Bagi pihak kementeriannya, Menteri Pelancongan Indonesia Sandiaga Uno berkata beliau telah berkomunikasi dengan pemimpin agama dan meminta input dan nasihat mereka mengenai konsert Coldplay itu.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan konsert itu berada dalam koridor undang-undang," katanya.

Beliau menyatakan harapan bahawa konsert Coldplay akan meningkatkan reputasi Indonesia sebagai destinasi untuk artis dan pelancong antarabangsa.

Walaupun homoseksualiti tidak secara jelas menjadi perkara jenayah di bawah undang-undang jenayah baharu yang diluluskan oleh badan perundangan Indonesia pada tahun lalu, namun perbuatan melakukan seks di luar perkahwinan boleh dihukum sehingga satu tahun penjara.

Polis boleh menyiasat perbuatan seksual tersebut hanya jika ahli keluarga membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Di Malaysia, homoseksualiti adalah haram dengan hukuman berat menanti mereka yang ditangkap berbuat demikian. Mereka yang bersalah melakukan perbuatan liwat boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 2.01.38 PM.jpeg

Poster Jelajah Dunia Coldplay di akaun media sosial rasmi kumpulan Britain itu memaparkan tarikh konsertnya pada November. [Twitter melalui @coldplay]

Di sebalik kekecohan agama, tiket untuk konsert di Jakarta sudah habis dijual dalam beberapa minit sahaja pada 17 Mei. Sehari sebelumnya di Malaysia, tiket turut habis dijual dalam masa tiga jam, menurut laporan berita tempatan.

Bagi Nadia Yusof, 28, kejayaannya membeli tiket untuk menyaksikan konsert kumpulan itu di Kuala Lumpur merupakan impian menjadi kenyataan.

"Saya sangat teruja dengan konsert Coldplay," kata Nadia, yang terpaksa bersaing dengan ratusan ribu peminat lain yang cuba membeli tiket secara dalam talian.

"Saya berasa cemas kerana saya bimbang saya tidak dapat membeli tiket."

Tetapi, ramai yang beratur secara dalam talian selama berjam-jam hampa kerana gagal membeli tiket.

Sementara itu, ramai yang mahu menjual semula tiket yang dibeli pada harga terlalu tinggi – ada yang meminta sebanyak 50 juta rupiah (kira-kira AS$3,500) untuk satu tiket – dalam pelbagai platform e-dagang dan media sosial di Indonesia.

Peminat menggunakan media sosial untuk meluahkan kemarahan mereka dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan serta meminta penganjur bertindak keras terhadap penjual semula tiket ini.

Jualan tiket di Malaysia juga dicemari oleh gangguan teknikal, program bot dan pihak penjual semula, yang membeli tiket secara pukal dan menjualnya semula pada harga yang terlalu tinggi secara dalam talian.

Berikutan itu, terdapat gesaan di kedua-dua negara supaya membenarkan Coldplay menambah satu hari lagi persembahannya.

Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, berkata pada satu sidang media bahawa penganjur konsert Live Nation telah merekodkan kira-kira 700,000 cubaan membeli tiket sepanjang tempoh jualan dalam talian.

Namun, kementeriannya tidak dapat mengesahkan sama ada pembeli itu adalah program bot tulen atau automatik, katanya.

Walaupun mendapat tentangan daripada sesetengah pihak dan kekecewaan terhadap penjualan tiket, kebanyakan peminat tetap tidak terpengaruh dengan perkara itu.

“Majoriti individu yang menentang konsert adalah rakyat Malaysia yang konservatif dan trol internet yang mahu mengeksploitasi subjek yang kontroversi,” kata Muhammad Syahmi, 27, yang sering menonton konsert di Malaysia.

“Selain itu, suara-suara bising mereka juga tidak dapat menyebabkan pembatalan sebenar mana-mana konsert setakat ini.”

Bagi ibu dua anak Rosita Budi Suryaningsih, 35, dari Indonesia, muzik dan agama adalah berbeza.

“Bagi saya, muzik adalah universal,” katanya kepada BenarNews.

"Ia tiada kaitan dengan agama."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.