Kontroversi politik, peraturan ketat punca artis antarabangsa keberatan beraksi di Malaysia

Singapura menjadi pilihan kerana memudahkan proses penganjuran konsert.
Iman Muttaqin Yusof
2023.06.29
Kuala Lumpur
Kontroversi politik, peraturan ketat punca artis antarabangsa keberatan beraksi di Malaysia Kumpulan Radja dari Indonesia membuat persembahan semasa Konsert Majestic Johor 2023 di Larkin, Johor, 11 Mac 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kumpulan Coldplay, atas permintaan ramai, menambah dua lagi tarikh dalam siri jelajah konsert mereka di Singapura pada November ini, kemudian bintang pop  Taylor Swift pula menambah tiga lagi persembahan kepada tiga yang telah dirancang di negara itu pada Mac depan.

"Bagaimana pula dengan kami?" jerit peminat di negara jiran Malaysia, yang hanya mendapat satu persembahan Coldplay dan tiada konsert Swift.

Pencinta muzik dan pengurus acara di Malaysia kecewa dengan halangan pengawalseliaan serta puak Islam konservatif kerana mencipta kontroversi yang menjadikan negara mereka begitu tidak menarik berbanding jirannya untuk menarik artis antarabangsa dalam siri jelajah dunia.

Bagaikan satu tamparan kepada industri konsert Malaysia apabila artis antarabangsa kini memilih untuk mengetepikan negara itu dalam rangka siri jelajah mereka atas alasan kontroversi politik serta peraturan yang ketat.

“Reputasi Malaysia sebagai hab konsert telah rosak susulan tindakan mengadakan bantahan oleh segelintir pihak serta lontaran kata-kata yang mengundang keresahan umpamanya ‘jangan cabar emosi umat Islam’,” kata Rizal Kamal, Presiden Persatuan Seni, Festival dan Acara (Alife) kepada BenarNews.

Kemelesetan reputasi yang berpunca daripada siri bantahan telah mempengaruhi golongan penghibur untuk tidak memilih Malaysia sebagai destinasi konsert sekali gus menyebabkan kerugian ekonomi yang signifikan kepada negara.

“Protes-protes sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada industri konsert malah melibatkan keseluruhan industri pelancongan kerana ramai pelancong tidak lagi berasa dialu-alukan ke Malaysia.

“Ini menimbulkan kitaran negatif yang memberi kesan terhadap kekuatan matawang kita, yang seterusnya menjejaskan keuntungan penganjuran acara sekali gus menjadikan Malaysia semaking kurang menarik di mata artis antarabangsa,” tambah Rizal lagi.

Sebelum ini, konsert Coldplay yang bakal berlangsung di Malaysia berdepan kecaman parti berasaskan Islam yang berpengaruh iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang dikenali sebagai pencabar kuat kepada kerajaan.

Parti itu mendakwa penganjuran konsert artis antarabangsa seperti Coldplay di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam memberi gambaran kepada niat kerajaan untuk “menyemai budaya hedonisme dan penyumbangleweng.”

Bagaimanapun, rata-rata warganet Malaysia mempersoal kenyataan parti itu yang dianggap hiprokrit dan turut menyenaraikan 14 konsert yang telah diadakan semasa negara berkenaan berada di bawah pentadbiran PAS.

Sepanjang 2022, Malaysia telah menganjurkan konsert Billie Eilish, bintang elektropop yang pernah dilanda kontroversi suatu masa dulu, Justin Bieber, Boys Like Girls dan beberapa lagi nama besar lain.

Kehilangan besar

Coldplay telah dijadualkan beraksi selama enam hari di Singapura pada Januari 2024 dan semua tiket telah habis dijual setakat artikel ini ditulis berbanding hanya satu persembahan di Malaysia beberapa bulan akan datang, biarpun mendapat permintaan yang begitu tinggi daripada peminat mereka.

“Ia adalah kehilangan pendapatan yang sangat besar. Singapura bakal menjana sekurang-kurangnya SG$100 juta (AS$74 juta) daripada perbelanjaan pelancong untuk penginapan, tiket penerbangan, makanan dan minuman sepanjang konsert Coldplay sahaja tanpa mengambil kira pendapatan yang dijana daripada jualan tiket,” ujar Rizal.

Senada dengan pandangan Rizal, seorang lagi penganjur menyifatkan perkembangan itu sebagai satu pukulan maut.

Iqbal Ameer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LiveScape Group, penganjur acara yang terkenal di Asia Tenggara berkata negara seperti Singapura mempunyai perancangan yang agresif untuk meletakkan negara mereka sebagai hab hiburan Asia berbanding Malaysia.

“Mereka telah menyatakan komitmen dan melabur dalam penyediaan infrastruktur untuk menarik golongan artis antarabangsa daripada pelbagai lapisan. Kerajaan Singapura dan lembaga pelancongannya memberi sokongan kuat atas usaha ini.

“Proses permohonan permit begitu lancar dan mereka menawarkan persekitaran perniagaan yang lebih baik berbanding Malaysia,” kata Iqbal kepada BenarNews.

“Aspek yang paling penting yang kita terlepas ialah peluang ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta kesan gandaan yang mampu dijana melalui kehadiran pelancong ke negara itu dan membuat tempahan penginapan di sana.”

Iqbal, yang turut memiliki pejabat di Singapura, berkata menganjurkan acara di negara itu adalah perkara yang sangat mudah.

“Apabila penganjur acara berhasrat membawa artis antarabangsa ke Malaysia, mereka berdepan dengan pelbagai halangan. Antaranya adalah garis panduan, permit selain pelbagai permohonan yang perlu dilalui. Kami terpaksa berdepan dengan pelbagai proses tersebut,” ujarnya lagi.

BenarNews menghubungi Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mendapatkan komen namun enggan mengulas.

230628-MY-Konsert2.jpg

Vokalis kumpulan Radja dari Indonesia, Ian Kaselo beramah mesra dengan para peminat di Konsert Majestic Johor 2023 di Larkin, Johor, 11 Mac 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Kurang kerenah birokrasi

Baru-baru ini, penyanyi pop yang merangkul anugerah Grammy Taylor Swift memilih Singapura sebagai destinasi eksklusif Asia Tenggara bagi konsert jelajah dunia beliau, dengan mengadakan persembahan selama enam malam berturut-turut di negara jiran itu.

Merujuk pengumuman terbaharu Swift itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seorang pemimpin parti berteraskan generasi muda (MUDA), berkata sejumlah besar peminat penyanyi itu dari segenap Asia Tenggara sanggup berkunjung ke Singapura untuk menghadiri konsert yang bakal diadakan.

“Ia sekali gus merancakkan ekonomi tempatan menerusi penjualan tiket, tempahan hotel, makanan dan membeli-belah,” katanya sambil meluahkan kekecewaannya terhadap halangan yang terpaksa dihadapi dalam menganjurkan konsert di Malaysia.

“Kita perlu mengurangkan kerenah birokrasi. Menteri dan agensi mesti bergerak seiring dengan penganjur konsert swasta untuk secara aktif menarik acara sebegini,” ujarnya kepada BenarNews.

“Malaysia tidak mampu untuk berterusan kehilangan peluang melalui pelancongan hiburan. Seperkara yang jelas di sini adalah Singapura komited untuk mengejar peluang-peluang sebegini.

Bagi peminat Swift di Malaysia pula, mereka meluahkan kekecewaan terhadap parti politik yang bersikap konservatif, serta hakikat mereka terpaksa berbelanja lebih untuk menyaksikan persembahan penyanyi pujaan mereka itu di negara jiran.

“Tindakan mempolitikkan agama telah mewujudkan persekitaran yang kompleks kepada artis untuk membuat persembahan di negara majoriti umat Islam, termasuk Malaysia,” ujar Irdina Razak, seorang peminat berusia 23 tahun kepada BenarNews.

“Walaupun kita memahami bahawa sesetengah persembahan mungkin tidak selari dengan sensitiviti budaya tempatan, isu ini telah melarat hingga ke tahap di mana ahli politik mengeksploitasi konsert untuk menyebarkan ideologi ekstrem mereka dan “menyekat” acara-acara seperti itu atas alasan bersifat tidak Islamik,” tambah wanita itu lagi.

Katanya lagi ia sekali gus menyebabkan artis terkenal merasakan mereka tidak dialu-alukan dan terpaksa berdepan pelbagai halangan untuk mengadakan persembahan di Malaysia.

Seorang lagi peminat, Iqbal Zaquan, 22, berkata beban kewangan dan keletihan yang dikaitkan dengan perjalanan ke negara lain untuk menyaksikan konsert tidak seharusnya berlaku.

“Sewajarnya kita tidak perlu resah mengenai penjalanan ke negara luar, ia begitu menyesak dan meletihkan,” katanya kepada BenarNews.

Iqbal turut memberi angaran kos tiket konsert dan perjalanan ke Singapura yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM2,000 (AS$428).

Beliau berharap Malaysia dapat melakukan perubahan bagi menambat minat artis luar negara membuat persembahan di negara itu.

“Malaysia sangat tegas mengenai tatacara persembahan artis dan bagaimana mereka berpakaian semasa membuat persembahan.

Saya berharap negara ini bersedia untuk mengubah perspektif mereka dan membenarkan serta mengalu-alukan lebih banyak persembahan di Malaysia. Ini akan membantu sektor pelancongan kita untuk berkembang,” katanya.

Iskandar Zulkarnian di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.