Penceramah IS Di Hukum Penjara Sembilan Tahun

Hata Wahari
2015.10.09
151009-MY-COURT-IS620 Lambang kumpulan ekstremis Negara Islam. 25 April 2015
Ehsan Polis Diraja Malaysia

Seorang penceramah bebas, Zulqarnain Ghaz Ab. Ghani, 31, dijatuhi hukuman penjara kerana menyusup masuk ke Syria dan terlibat dalam kegiatan keganasan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas Zulqarnain - dipercayai hukuman yang paling berat dikenakan ke atas rakyat Malaysia atas kesalahan terbabit dalam kegiatan militan IS.

Hakim Kamardin Hashim mengarahkan hukuman dilaksanakan dari tarikh Zulqarnain ditahan pada 7 Julai lepas selepas tertuduh mengaku bersalah pada 1 Oktober lepas.

Tertuduh mengaku bersalah memasuki Syria di antara 27 April hingga 28 Ogos 2014 untuk memberi sokongan kepada kegiatan keganasan militan IS di Syria.

Kamardin ketika menjatuhkan hukuman memberitahu, mahkamah mengambil kira usia muda tertuduh, kesalahan pertama selain memberi kerjasama dari awal penahanan.

Tertuduh pulang ke Malaysia pada awal Julai lepas untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan dalam pertempuran dengan tentera Syria di Rahajan, Wilayah Hama hingga cedera parah di bahagian bahu kanan dan dirawat di Hospital Lahab, Hama.

Zulqarnain difahamkan bertindak sebagai individu penting yang bertanggungjawab merekrut rakyat negara ini untuk menyertai kumpulan militan IS.

'Orang kanan Ustaz Lotfi'

Menurut laporan akhbar sebelum ini, Zulqarnain yang pernah mengikuti pengajian Diploma Syariah Islam Universiti Malaya (UM) merupakan antara rakyat negara ini yang terawal menyertai kumpulan militan di Syria.

Dia yang dikenali sebagai Abu Khattab dikatakan merupakan orang kanan kepada Ustaz Lotfi Ariffin yang terkorban di Syria dan berkebolehan memahami serta bertutur dalam bahasa Arab.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Hazrin Alif Wahab.

Zulqarnain didakwa buat kali pertama pada 4 Ogos lalu di Mahkamah Majistret Ampang namun pada ketika itu, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan mana-mana harta yang telah digunakan untuk me­lakukan kesalahan itu boleh dirampas oleh pihak berkuasa.

Wan Shaharuddin pada mulanya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman selama 15 tahun atas dasar bahawa hukuman bukan hanya dalam bentuk menghukum tetapi untuk memberi contoh kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

Bagaimanpun, peguam Zulqarnain, Mohd Hazrin meminta mahkamah mengambil kira kerjasama oleh anak guamnya yang mengaku bersalah malahan telah memberi jaminan akan mengadakan beberapa syarahan untuk menyedarkan orang ramai mengenai keganasan yang dilakukan oleh militan IS.

Pada 5 Oktober, seorang komando dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas tuduhan memiliki penerbitan berhubung kumpulan militan IS, Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Adibzakir Zahri, 28, yang berasal dari Alor Setar, Kedah melainkan mengakui dokumen lampiran bergambar yang ditunjukkan oleh pihak pendakwaan di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik.

Tertuduh didakwa memiliki penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS dikenali sebagai 'Islamic State of Iraq and Sham' di Balai Polis Sungai Udang, Sungai Udang, jam 8.50 pagi pada 19 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana penerbitan tersebut, jika sabit kesalahan.

Pada 15 September lalu, lima anggota tentera dan seorang wanita adalah antara lapan individu yang dihadapkan ke mahkamah di beberapa buah negeri atas tuduhan memiliki bahan-bahan berkaitan militan IS dan menggalakkan keahlian dalam kumpulan itu.

Beberapa hari sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menghukum seorang penganggur penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah memiliki bahan penerbitan berkaitan perlakuan pengganas.

Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nazirul Abidin Thalha, 24, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Julai lalu.

Siasatan bahagian Cawangan Khas Bukit Aman berkata, berdasarkan maklumat terdapat 69 orang rakyat Malaysia yang berjuang untuk IS di Syria, dan  mungkin jumlah tersebut boleh mencecah 100 orang, termasuk kanak-kanak.

Seramai 121 individu termasuk 23 wanita daripada pelbagai peringkat umur telah ditahan di seluruh Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.