Mahkamah Rayuan Kekal Hukuman Penjara 10 tahun Terhadap Penjaga Zoo
2018.04.24
Kuala Lumpur

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Selasa mengekalkan hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhi ke atas seorang penjaga zoo kerana menyokong kumpulan militan Negara Islam (IS) dan memiliki barangan berkaitan keganasan dua tahun lepas.
Hakim Mohtarudin Baki, yang bersidang bersama-sama Hakim Yaacob Md Sam dan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Shahrullizam Ramli, 32, bapa kepada tiga anak, berhubung hukuman yang dijatuhi ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas kerana tidak punya merit.
“Rayuan ditolak, hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Mohtarudin semasa membacakan keputusan bersama itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke berhujah bahawa hukuman penjara10 tahun yang dijatuhi Mahkamah Tinggi adalah setimpal dan patut dikekalkan kerana tertuduh aktif dalam kumpulan aplikasi sembang Telegram Gagak Hitam.
Kumpulan Gagak Hitam merupakan sel IS di Malaysia yang pernah diketuai pengganas paling dikehendaki, Wanndy Mohamad Jedi. Wanndy telah terbunuh dalam satu serangan dron di Syria pada Mac 2017.
Wong juga berhujah bahawa Mohd Shahrullizam, yang turut berada dalam kumpulan aplikasi sembang itu, telah mengucapkan tahniah di atas kejadian berkaitan satu insiden letupan.
Dalam rayuannya, Mohd Shahrullizam telah meminta tempoh hukuman yang lebih singkat berikutan penglibatan pasifnya dalam kumpulan sembang penyokong IS dengan alasan dia tidak menyalurkan dana dan ideologi berhubung pengganas serta tidak berbai’ah.
"Saya cuma terlibat dalam Telegram selama tiga bulan sebelum ditahan. Banyak rakan saya yang berdepan pertuduhan sama telah dijatuhi hukuman penjara antara enam hingga tujuh tahun,” katanya kepada mahkamah.
Penjelasan tertuduh bagaimanapun gagal meyakinkan panel hakim Mahkamah Rayuan itu.
Hakim Mohtaruddin turut menyoal Mohd Shahrullizam jika dia tahu jumlah hukuman maksimum penjara bagi kesalahan yang dilakukannya, dan tertuduh menjawab “30 tahun.”
“Hukuman yang dikenakan cuma satu pertiga daripada hukuman maksimum. Kesalahan yang kamu lakukan adalah serius. Jangan bermain dengan api,” kata hakim berkenaan.
Disabitkan dua pertuduhan
Mohd Shahrullizam telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos tahun lepas kerana menyokong IS dan tiga tahun lagi kerana memiliki barangan berkaitan keganasan. Hakim terbabit telah mengarahkan supaya kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan pada 19 Julai 2016.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Shahrullizam didakwa memberi bantuan kepada pengganas IS melalui aplikasi sembang Telegram di bawah nama 'Sharul' di 177-B5 Batu 11, Gombak dari 25 Mac hingga 29 Jun 2016.
Bagi kesalahan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun, atau denda dan juga boleh dilucutkan harta, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki barangan berkaitan IS seperti pelekat kereta, pengikat kepala dan bendera yang mempunyai logo kumpulan militan di tempat sama pada 19 Julai, 2016.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, jika disabitkan kesalahan.
Kira-kira 400 ditahan
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, semasa Forum Pertahanan Putrajaya baru-baru ini, memaklumkan bahawa sejumlah 389 orang telah ditahan di Malaysia sejak 2013 kerana disyaki terlibat dengan kegiatan IS.
Najib berkata 34 daripada 95 rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan IS di Syria dan Iraq telah terbunuh di zon konflik, dan daripada jumlah itu, sembilan merupakan pengebom bunuh diri.
Ketua Unit Antikeganasan Bukit Aman, Timbalan Ketua Pengarah Polis Diraja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini turut mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 10 pasangan dari Malaysia berada di Syria bersama-sama IS.
Seorang wanita berumur 30 tahun, yang dipercayai berjuang bersama-sama militan IS di Syria, telah menghubungi kerajaan Malaysia untuk membantu mencari jalan membawa dia serta empat anaknya keluar dari kem pelarian di Syria dan kembali ke tanah air.
Suami wanita itu kini meringkuk dalam penjara selepas ditangkap oleh pejuang Kurdish.
Menurut sumber polis, pada tahun ini, sudah 28 orang diberkas kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti IS dan lima daripada mereka telah didakwa di mahkamah.
Selebihnya, menurut sumber, masih ditahan ataupun telah diperintah diletakkan di bawah tahanan selama dua tahun mengikut Akta Pencegahan Jenayah.